AMANAH dan Pakatan Baru - Zulhazmi Shariff
AMANAH DAN PAKATAN BARU
Esok 16 September 2015, sempena Hari Malaysia, Parti Pekerja-Pekerja Malaysia akan menjenamakan semula parti tersebut dengan nama Parti Amanah Negara (Amanah). Sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, kita sewajarnya mengalu-alukan kehadiran AMANAH untuk bersama memeriahkan suasana politik negara dan menampilkan suatu gerakan politik baru dalam negara.
Diketahui umum bahawa Pakatan Rakyat yang sebelum ini dianggotai oleh PAS, DAP dan KeADILan telah berkubur, maka kehadiran AMANAH membuka ruang baru kepada rakyat Malaysia untuk berhadapan dengan Umno/BN yang sejak merdeka mentadbir negara.
Pakatan Rakyat yang berkubur adalah angkara kedegilan dan kejumudan parti tertentu yang hanya memikirkan ruang lingkup parti itu sahaja tanpa memikirkan kepentingan rakyat keseluruhan, justeru dengan kehadiran AMANAH diharapkan agar suatu Pakatan baru membawa harapan rakyat menjatuhkan Umno/BN yang berterusan menjahanamkan Malaysia.
Umum mengetahui bahawa sudah berlaku beberapa siri perbincangan di antara parti-parti pembangkang yang sebelum ini bersama dalam Pakatan Rakyat. Walau pun begitu, para pimpinan di atas sana perlu meneladani sejarah supaya ianya tidak berulang yang akan terus memberikan keuntungan kepada Umno/BN. Jangan diulangi kesilapan lama.
Siri-siri pertemuan menampakkan bahawa PAS tidak boleh bersama DAP dan AMANAH atas alasan yang sama berkuburnya Pakatan Rakyat. PAS tetap dengan pendirian bahawa DAP menentang Islam sehingga mencampuri urusan amalan orang-orang Islam sedangkan hakikatnya tidak begitu. AMANAH dianggap pengkhianat yang mesti dihapuskan bukan sebagai rakan sekutu yang boleh berganding tangan.
DAP tidak pernah mencampuri urusan amalan orang-orang Islam. DAP tidak pernah menghalang orang Islam mengamalkan ajaran Islam. Penggerak-penggerak AMANAH tidak pernah khianat dengan perjuangan. Penggerak-penggerak AMANAH tetap dan tegas dengan dasar perjuangan yang diperjuangkan sebelum ini bersama PAS tetapi dianggap serong dan salah sehingga mereka disingkirkan yang menatijahkan penubuhan AMANAH.
Perjuangan mesti berpaksikan prinsip kebenaran bukan kepentingan puak atau golongan tertentu. Kepentingan rakyat keseluruhan adalah tunggak perjuangan. Kebersamaan dalam Pakatan hendaklah atas prinsip dan tolak ansur.
Atas dasar prinsip yang teguh, kehadiran AMANAH amatlah dialu-alukan dan diharapkan agar dapat menggerakkan kebangkitan rakyat bersama Pakatan baru membawa hasrat rakyat menjatuhkan Umno/BN seterusnya menyelamatkan Malaysia dari kerosakan.
Selamat Datang AMANAH.
Selamat Datang Pakatan Harapan Rakyat.
BERANI BERUBAH
ZULHAZMI SHARIFF.
15092015.
Batu Caves.
Sila kongsi artikel ini...