Perutusan Hari Malaysia - AMK
PERUTUSAN HARI MALAYSIA AMK
Angkatan Muda KEADILAN ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia terutamanya generasi muda. Kami mengharapkan agar kesemua rakyat Malaysia tidak kira di mana, sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak, dan juga mereka yang berada di perantauan, dapat menyambut hari ulang tahun penyatuan Malaysia ini dengan aman dan bersepadu. Hari Malaysia adalah suatu peristiwa yang amat penting kerana ia menekankan ciri kepelbagaian serta perpaduan kita. Kedua-dua aspek itu saling bergantung pada satu sama lain, dan kedua-duanya kekal menjadi sumber kekuatan dan kecekalan kita.
Memang benarlah rakyat Malaysia pada hari ini sedang menghadapi pelbagai masalah. Kegawatan ekonomi, ketidakstabilan politik yang berpanjangan, penyalahgunaan kuasa serta tadbir urus yang lemah dan provokasi perkauman termasuklah yang sedang berlaku ketika kita menyambut hari penting negara ini. Mungkin juga ada yang akan memandang Hari Malaysia dengan penuh sinis, terutamanya anak muda. Namun begitu kita tidak akan berlaku adil kepada diri sendiri dan warisan perjuangan negara jika kita putus harapan dan membiarkan peristiwa ini berlalu sahaja.
Kami yakin Malaysia masih boleh diselamatkan. Kita masih mempunyai masa depan yang cerah jika nilai keberanian dan kebijaksanaan diamalkan untuk merealisasikan impian. Tapi apa yang penting adalah kita memahami bahawa reformasi mesti berlaku dari setiap sudut termasuklah, politik, ekonomi dan sosial. Kita mesti mempunyai keinginan untuk berubah sama ada secara kendiri mahupun untuk negara. Hanyalah masyarakat yang sedar dan berketerampilan, dari setiap suku kaum, yang mampu melakukan perubahan ini dengan memastikan pihak yang berkuasa bertanggungjawab terhadap tindak tanduk mereka.
Pastinya akan ada kekangan di dalam usaha ini. Tapi ketahuilah bahawa setiap generasi mempunyai hakikat kecermalangan tersendiri. Inilah cabaran utama kita; untuk menyatukan setiap individu masyarakat dan menggerakkan Malaysia ke hadapan. Di hari yang bersejarah ini, marilah kita bertekad untuk mencapai kecemerlangan ini.
Sekali lagi kami ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada semua rakyat Malaysia.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
Sila kongsi artikel ini...