Saham FGV : Bukti Kegagalan Membela Peneroka Felda - Khairuddin Aman Razali
Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)
SAHAM FGV : BUKTI KEGAGALAN MEMBELA PENEROKA FELDA
1. Semalam, nilai semasa saham Felda Global Ventures (FGV) ialah RM1.64 seunit. Pun begitu, harga dagangan terakhir saham itu setakat sehingga 25 Ogos 2015 lalu ialah RM1.21 iaitu merosot sebanyak 73.4% berbanding RM4.55 seunit saham semasa ia mula disenaraikan pada 28 Jun 2012.
2. Sekalipun nilainya pernah mencecah sehingga RM5.39 pada hari pertama ia diniagakan di Bursa Malaysia dan pernah melonjak ke RM5.45 lima minit selepas ia didagangkan, hakikatnya sehingga minggu pertama September 2015 ia terus mengalami trend penurunan.
3. Berikutan itu, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) telah dikeluarkan daripada senarai 30 syarikat utama Bursa Malaysia akibat kejatuhan nilai sahamnya dan keuntungan yang berkurang.
4. Paling terkesan dengan kejatuhan nilai saham FGV ini ialah 112,635 orang peneroka di seluruh negara. Jika setiap peneroka membeli 800 unit saham dan membayar sebanyak RM3,560 untuk jumlah itu, kini setiap peneroka terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2,592 atau berjumlah RM291,949,920 (RM291.9 juta) secara keseluruhannya.
5. Justeru, sasaran untuk meraih RM10.5 bilion daripada penyenaraian tersebut kelihatan semakin tidak berkesampaian dan durian runtuh untuk peneroka pun tidak lagi didendangkan kini.
6. Tidak dinafikan bahawa naik turun saham adalah bermusim. Namun, tiada siapa yang dapat mengunjurkannya secara pasti dalam keadaan kejatuhan berterusan harga minyak sawit mentah di pasaran global ditambah pula dengan peningkatan kos pengurusan dan hasil tuaian yang tidak bertambah kerana kebanyakan pokok kelapa sawit sudah berusia serta faktor-faktor lain yang turut menyumbang kepada ketidaktentuan ini.
7. Inilah bahana yang terpaksa ditanggung oleh para peneroka akibat tindakan UMNO/BN yang mentadbir Kerajaan. Setelah berbuat licik mahu menyenaraikan Felda Holdings Berhad (FHB) di zaman Mahathir pada 2004 – walaupun gagal – UMNO/BN sekali lagi menggunakan jalan belakang dengan cara menyenaraikan FGVHB yang memiliki 49% saham dalam FHB pada 2012.
8. Akibatnya, para peneroka yang memiliki pegangan saham sebanyak 51% dalam FHB melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) terpaksa turut menanggung kerugian akibat penyenaraian tersebut. Tanah milik para peneroka kini terdedah kepada ancaman dimiliki oleh pelabur-pelabur asing dan golongan kapitalis yang tamakkan keuntungan.
9. Sewajarnya para peneroka mula dan bersungguh membuat perubahan agar 54 parlimen dan 92 DUN di Felda tidak lagi terus menjadi mangsa UMNO/BN tanpa pembelaan yang sewajarnya.
10. Sementara pendekatan ‘top-down’ belum berjaya mengubah Kerajaan dalam mengenakan polisi yang bermanfaat terhadap warga Felda, pendekatan ‘bottom-up’ juga seharusnya digerakkan secara konsisten dan konstruktif bagi membolehkan suatu anjakan berlaku dalam kalangan warga peneroka menjelang PRU14 akan datang.
11. UMNO/BN ternyata telah gagal membela nasib para peneroka dan tidak harus lagi kegagalan ini dibiarkan berterusan pada masa hadapan.
Sekian.
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Selasa, 15 September 2015 | 1 Zulhijjah 1436 H
Sila kongsi artikel ini...