Dato Seri Anwar Ibrahim terus Dinafikan Hak Rawatan Perubatan, Perlukan Pembedahan Segera. - Nurul Izzah

4:12 PM 0 Comments A+ a-



Dato Seri Anwar Ibrahim terus Dinafikan Hak Rawatan Perubatan, Perlukan Pembedahan Segera.

Hari ini adalah hari ke 218 bapa kami, Dato Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan sebagai tahanan politik Malaysia.

Kami berasa amat kecewa dengan layanan buruk, serta sikap acuh tidak acuh kerajaan dalam memberikan rawatan perubatan yang diperlukan Dato Seri Anwar, yang menjadi bertambah buruk semenjak dipenjarakan pada 10 Februari 2015. Beliau telah mengadu berkenaan kesakitan yang dialami di bahu kanan beliau semenjak Mac 2015. Sehingga kini beliau masih lagi tidak mendapat rawatan, dan kesakitan beliau itu telahpun merebak ke kedua-dua belah bahu beliau.

Semalam, kami telah menemui bapa kami, dalam pertemuan berjadual tiga minggu sekali di Penjara Sungai Buloh.

Kami amat terkesan dan bimbang, apabila kami diberitahu yang Dato’ Seri Anwar memerlukan pembedahan segera.

Pilihan yang diberikan oleh pakar-pakar yang telah memeriksa beliau adalah samada pembedahan-mikro, ataupun pembedahan penggantian bahu. Menurut pakar-pakar tersebut, alternatif lain seperti suntikan steroid tidak memadai; dan fisioterapi dan ubat tahan sakit yang lain tidak mungkin dilakukan dalam penjara, sepertimana yang berlaku pada Dato’ Seri Anwar.

Dengan cadangan-cadangan yang begitu jelas, kami sekeras-kerasnya mengutuk keengganan Dato Dr Jeyaindran Sinnadurai membenarkan kemasukan Dato’ Seri Anwar ke hospital. Keluarga kami juga tidak mendapat apa-apa penjelasan berkenaan dengan keadaan kesihatan DSAI oleh panel doktor yang terlibat dalam rawatan perubatan beliau.

Dr Jeyaindran merupakan doktor yang menyusun keperluan perubatan Dato’ Seri Anwar semasa pemenjaraan beliau diantara 1998 dan 2004. Beliau juga merupakan saksi utama pendakwa dalam kes Fitnah 2, dan merupakan doktor peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Jumaat lepas, keluarga kami telah memohon bantuan daripada Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato Noor Hisham Abdullah untuk mempercepatkan rawatan yang diperlukan oleh Dato’ Seri Anwar.

Kami amat kecewa sekali apabila mendapati beliau menggunakan laporan yang berusia 3 bulan yang lepas dan cadangan yang disediakan oleh Dr Jeyaindran.

Secara am, Dr Jeya menyarankan Dato’ Seri Anwar hanya memerlukan fisioterapi intensif dan ubat tahan sakit. Ingin kami ingatkan saranan yang dibuat seperti fisioterapi perlu dilakukan setiap hari, tetapi hanya dibuat sekali sebulan! Apa yang lebih menyedihkan, fisioterapi yang dilakukan tidak dilakukan secara menyeluruh, kerana kekurangan kemudahan di dalam penjara.

Tindakan pihak berkuasa dan Dr Jeya yang enggan menghantar Dato’ Seri Anwar ke hospital untuk menjalani fisioterapi adalah amat tidak munasabah. Dalam pemenjaraan beliay sebelum ini (1999 - 2004) beliau dibenarkan untik menjalani fisioterapi dan rawatan lain dengan kekerapan yang betul di HKL ataupun PPUM

Kami menuntut agar perhatian segera diberikan kepada permintaan kami untuk mengadakan sesi penerangan di antara keluarga kami, panel doktor dan Dato’ Seri Anwar sebagai pesakit supaya beliau boleh membuat keputusan pembedahan apa yang beliau akan jalani.

Kami ingin memberikan amaran kepada pihak berkuasa yang keluarga Dato’ Seri Anwar tidak akan berdiam diri dengan kelewatan dan sikap tidak professional Dr Jeya berkenaan rawatan segera yang diperlukan oleh Dato’ Seri Anwar. Sekiranya perkara ini berterusan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan drastik untuk melindungi hak bapa kami untuk mendapatkan rawatan, termasuk memfailkan laporan kepada Majlis Perubatan Malaysia, sekiranya perlu.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah JPRP KEADILAN


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.