Rebranding Parti Islam Baharu 'AMANAH' - Adeysham Nor

11:49 AM 0 Comments A+ a-

RE-BRANDING PARTI ISLAM BAHARU "AMANAH"
Adeysham Nor




Maksud Re-Branding dalam bahasa Melayu adalah penjenamaan semula. Semua orang tahu, Parti Amanah Negara yang bakal dilancarkan pada 16 September ini adalah serpihan dari Parti Islam Se-Malaysia atau PAS.


Semua orang juga tahu, Parti Amanah Negara atau singkatan rasminya AMANAH adalah juga sebuah parti Islam. Dasar perjuangannya juga Islam yang mana Al-Quran, Sunnah, Ijma & Kias adalah sumber rujukan utama untuk AMANAH.

Saya terkesan dengan saranan oleh Dr. Mazlee Malek, seorang penganalisis politik terkenal yang meminta supaya AMANAH menampilkan muka-muka baharu dalam barisan kepimpinannya supaya imej PAS tidak lagi membayangi parti AMANAH. Inilah yang dipanggil re-branding.

Saya berasa sedikit gembira apabila melihat bekas orang kanan IKRAM kini dilantik sebagai Naib Pengerusi AMANAH. Beliau adalah muka baru yang diperlukan AMANAH untuk memulakan langkah re-branding ini.

Saya juga gembira apabila melihat Xifu Naser kini mula aktif dalam beberapa aktiviti AMANAH. Beliau adalah pemimpin kanan dalam NGO Cina Muslim (MACMA) yang mempunyai ratusan ribu ahli & penyokong.

Selama ini, golongan Cina Muslim dilihat tidak begitu rapat dengan parti Islam kerana di mata mereka, imej PAS lebih dilihat sebagai sebuah 'Parti Islam Se-Melayu' dan bukannya Parti Islam Se-Malaysia.

Saya berharap penglibatan aktif beberapa tokoh MACMA seperti Xifu Naser dan yang lain-lain lagi akan dapat memecahkan tembok persepsi itu dan seterusnya dapat memacu proses re-branding AMANAH.

Selain itu, saya juga menunggu penglibatan aktif daripada beberapa pendakwah bebas yang berpengaruh besar seperti Dr Asri & rakan-rakannya dalam aktiviti AMANAH. Dr Asri misalnya mempunyai ratusan ribu peminat di negara ini dan peminatnya pula merentasi sempadan kaum dan agama.

Mungkin ramai yang belum tahu bahawa AMANAH juga membuka pintu keahliannya kepada bukan Islam. Saya dimaklumkan, taraf keahlian mereka sama dengan taraf ahli yang beragama Islam. Mereka juga bebas memegang apa-apa jawatan dalam AMANAH selagi mereka menerima Islam sebagai dasar parti AMANAH.

Pendekatan ini diambil dari aspirasi Perlembagaan Malaysia yang mengiktiraf setiap warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama biarpun mereka berlainan kaum & agama. Sepertimana dalam Perlembagaan Malaysia, bukan Islam dalam masa yang sama hendaklah mengakui Islam adalah agama rasmi bagi negara ini.

Walaupun begitu, sudah tentulah kepimpinan tertinggi AMANAH akan dipegang oleh seorang Muslim sepertimana Perdana Menteri Malaysia juga mestilah seorang Muslim. Ini adalah sebahagian dari kontrak sosial yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Kita tidak dapat nafikan usia AMANAH masih lagi bayi dan surat beranaknya pun belum keluar lagi. Untuk itu AMANAH amat memerlukan pemimpin seperti Mat Sabu dan kumpulan G-18 untuk menggerakkan penubuhannya.

Suka atau tidak suka, Mat Sabu yang pernah digelar Saidina Khalid Al Walid PAS oleh Almarhum TGNA mempunyai pengaruh politik yang besar dalam landskap politik Malaysia.

Beliau sudah pun diuji dan disahkan kental oleh 'SIRIM' politik Malaysia. Biarpun pernah dibuang daerah dan dipenjarakan 2 kali di bawah ISA, namun beliau tetap istiqamah mendaulatkan ISLAM FOR ALL.

Orang seperti Mat Sabu sangat diperlukan oleh sebuah parti baharu untuk meneruskan survivalnya sepertimana PKR berjaya survive atas faktor DS Anwar yang akhirnya beliau hanyalah sebagai Ketua Umum sahaja bagi parti PKR.

Saya yakin dan percaya proses re-branding AMANAH sebagai sebuah parti Islam baharu yang bersifat inklusif akan dapat dilaksanakan juga dan sudah tentulah proses re-branding ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan meliputi pelbagai aspek penjenamaan.

Aktivis Hishamuddin Rais yang saya temui di KL tempohari berpesan kepada saya,

"Engkau jangan mimpilah AMANAH akan nampak kuat dalam tempoh 10 tahun sebab ini Malaysia bro. Politik Malaysia ialah politik dunia ke 3. Kau tak ada media, tak ada akses, tak dapat derma billion ringgit... 50 tahun lagi pun belum tentu kecuali ada MIRACLE berlaku."

Ya, saya mengharapkan keajaiban itu. Saya mengharapkan pertolongan Allah. Biarlah 50 tahun lagi atau 500 tahun lagi, yang penting langkah pertama telah kita mulakan hari ini. InshaAllah proses re-branding ini akan berjaya juga dan mungkin bukan saya yang akan menikmati hasilnya..

Mungkin cucu-cicit saya dan mungkin cucu cicit anda yang membaca tulisan ini.

Nota: Saya amat mengalu-alukan jika ada muka² baharu yg ingin menyertai kepimpinan Pemuda AMANAH Jasin & Negeri Melaka.

Adeysham Nor
Pengarah Komunikasi,
Pemuda AMANAH Negeri Melaka,
& Ketua Pemuda AMANAH Jasin.

‪#‎AmanahNegara‬
‪#‎HarapanBaru‬


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.