Rakyat Menjadi Hakim 3 Himpunan - Tuan Ibrahim Tuan Man

5:13 PM 0 Comments A+ a-



Rakyat menjadi hakim 3 himpunan

Himpunan Bersih 4 yang diadakan pada 29 dan 30hb Ogos lalu telah berjaya menarik ribuan rakyat yang perihatin terhadap isu negara khususnya isu yang melibatkan PM.

Namun, di Bersih 4, ada usaha pihak tertentu membuat provokasi meletakkan gambar Perdana Menteri dan Presiden PAS untuk dipijak sebagai simbolik kerjasama antara PAS dan Umno. Tapi, hakikatnya usaha provokasi ini gagal.

Bagi Presiden PAS, tindakan itu dianggap sebagai satu tindakan mereka yang tidak faham dengan keadaan semasa. Lebih mengharukan apabila Presiden PAS memaafkan tindakan kedua mereka. PAS cuma menegur, satu reaksi biasa daripada organisasi yang sihat, apabila melihat pemimpinnya dijadikan bahan provokasi oleh golongan yang tidak bermoral.

Lihatlah bagaimana ahli Umno bertindakbalas dengan upacara membakar patung pemimpin pembangkang sebelum perhimpunan baju merah yang bakal diadakan besok. Tindakan ini bukan sahaja hodoh malah merosakkan imej Umno sendiri. Ini jelas menunjukkan bahawa PAS berbeza daripada Umno dari segi tindakan dan hemah politiknya.

Bersih telah menggunakan kawasan sekitar Dataran Merdeka sebagai lokasi himpunan. Timbul dakwaan bahawa perhimpunan tersebut telah menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya dan sedikit sebanyak mengganggu urusan perniagaan. Namun dari pengamatan umum, ia berjaya kerana perhimpunan itu keseluruhannya aman serta keadaan dan kebersihan yang terkawal.

Besok 16 September 2015, perhimpunan baju merah yang dianjurkan pelbagai NGO yang diketuai ahli dan bekas pemimpin Umno akan diadakan di Kuala Lumpur. PAS telah menyatakan secara tegas bahawa ia tidak terlibat dan melarang ahlinya terlibat di dalam perhimpunan baju merah ini.

Cadangan asal salah satu lokasi perhimpunan ini ialah di Bukit Bintang - iaitu kawasan yang terkena api sentimen perkauman khususnya tragedi di Plaza Low Yat baru-baru ini. Namun begitu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak polis dan KDN tidak mengizinkan 3 lokasi yang dicadangkan iaitu Bukit Bintang, Petaling Street dan Low Yat daripada menjadi lokasi utama perarakan himpunan baju merah ini.

Persoalannya, apakah penganjur akan akur dengan larangan ini?

Memandangkan himpunan ini didalangi Umno, rakyat boleh menilai sejauh mana himpunan ini berjaya menarik sokongan akar umbi Umno untuk berhimpun. Apakah perhimpunan baju merah tidak mengganggu peniaga sebagaimana yang didakwa terhadap Bersih 4? Apakah kedai tidak perlu ditutup dan peniaga akan mendapat manfaat dari himpunan tersebut? Apakah ia akan mengganggu jalan lintas? Apakah sentimen perkauman akan dimainkan?

Sebelum himpunan bermula, sudah ada insiden membakar patung. Ini sudah mengalah insiden memijak gambar di Bersih 4. Apakah ada yang lebih menjengkelkan di perhimpunan September 16 nanti?

Tindakan pihak polis dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum, semasa dan selepas himpunan Bersih 4 akan menjadi perhatian khusus terhadap penilaian sikap mereka yang bakal diambil di perhimpunan baju merah 16 September ini. Apakah pula nilai bil membersihkan Kuala Lumpur yang akan diterima penganjur selepas perhimpunan nanti? Apakah pihak berkuasa boleh bertindak secara konsisten dan adil?

Semua ini akan dinilai rakyat.

Selepas ini, ada satu lagi perhimpunan Hijau yang bakal diadakan pada 17 Oktober 2015 di Stadium Sultan Muhammad ke IV Kota Bharu. Rakyat juga akan menilai apakah himpunan ini mempunyai insiden-insiden yang melampau, ataupun mengganggu peniaga dan juga kerjasama antara polis dan penganjur?

Sebagai rakyat yang bakal menentukan kerajaan, perhati dan nilailah himpunan kuning anjuran Bersih, himpunan merah anjuran Umno dan hijau anjuran PAS.

Ini dapat sedikit sebanyak membantu anda sebagai rakyat yang memikir, meneliti dan menilai untuk membayangkan bagaimanakah bentuk kerajaan yang anda inginkan - dan apakah pemimpin yang bakal anda pilih bagi menjaga kebajikan dan peduli rakyat benar-benar dapat melaksanakan amanah?

Apa pula warna himpunan selepas ini? Inilah warna warni politik Malaysia.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
15 September 15


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.