IMAM - PAPISMA : Ucapan Takziah dan Simpati kepada keluarga dan waris Dr. Nur 'Afifah Mohd Ghazi

1:49 AM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN AKHBAR: IMAM - PAPISMA

Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan Persatuan Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) merakamkan ucapan takziah dan simpati kami kepada keluarga dan waris Dr. Nur 'Afifah Mohd Ghazi di atas pemergian Allahyarhamah dalam kemalangan jalan raya pada 8 July 2015. Dunia perubatan telah kehilangan seorang lagi doktor muda yang telah mengabdikan dirinya untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Kami dimaklumkan bahawa sebelum kemalangan, Dr. 'Afifah baru selesai menjalankan tugas "On-Call" selama 24 jam. Tugasan terakhir Allahyarhamah tersebut telah melibatkan beberapa kes kritikal sepanjang malam. Kami juga sedia maklum bahawa Allahyarham telah diberi pelepasan masa bekerja "Post-Call off".


Tragedi kemalangan ini menimbulkan semula pelbagai isu berkenaan dengan keselamatan doktor dan petugas kesihatan. Ramai doktor telah menyatakan bahawa mereka pernah terlibat dengan kejadian yang serupa melibatkan kemalangan. Tidak boleh dinafikan lagi bahawa keletihan fizikal dan kelesuan mental adalah salah satu faktor penyumbang terhadap kemalangan jalan raya.


IMAM dan PAPISMA menasihatkan para petugas kesihatan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan bagi melindungi nyawa masing-masing. Kehidupan dan kebajikan para Petugas Kesihatan haruslah dijaga bagi memastikan perkhidmatan yang berkualiti dapat diberikan kepada orang awam secara berterusan.

Kami menggesa Pihak-Pihak Berkuasa yang berkenaan untuk mengkaji isu kemalangan ini berserta dengan aspek-aspek kebajikan lain bagi para petugas kesihatan secara menyeluruh dan mengusahakan inisiatif bagi penambahbaikan suasana kerja.

IMAM dan PAPISMA juga menyeru semua persatuan perubatan (Badan Bukan Kerajaan) serta Pegawai-Pegawai Perubatan di Malaysia tanpa mengira kedudukan, untuk bekerjasama dengan Pihak Berkuasa bagi menyediakan suatu penyelesaian yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak. Marilah kita bersama - sama mengenepikan sebarang perbezaan dan membuat usaha bersama untuk perubahan yang positif.

IMAM dan PAPISMA juga sedang mengumpul data serta maklumat dan akan mengemukakan cadangan kami kepada Pihak Berkuasa untuk dipertimbangkan.


Kematian Dr 'Afifah tidak harus dijadikan sebagai fokus negatif tetapi sebaliknya harus dihormati dengan mengambil pengajaran serta menghormati nilai-nilai kemanusiaan.



Marilah kita sama-sama mendoakan roh Allahyarhamah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.



PROF DATO' DR ABD. RAHIM MOHAMAD
Presiden

Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM)



DR SUHAZELI ABDULLAH

Pengerusi

Majlis Penasihat PAPISMA Malaysia



10 Julai 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.