Ahli Parlimen Barisan Nasional Boleh Selamatkan Malaysia - Rafizi Ramli

4:34 PM 0 Comments A+ a-



AHLI PARLIMEN BARISAN NASIONAL BOLEH SELAMATKAN MALAYSIA

Rakyat Malaysia tidak pernah berada dalam keadaan kemurungan dan kehampaan seperti yang dialami sekarang sepanjang ingatan saya sejak hampir 30 tahun lalu. Sebelum ini, krisis-krisis politik tidak membawa kesan terus kepada ekonomi rakyat dan mereka terpisah dari percakaran orang atasan yang berebut kuasa.

Keadaan berbeza kali ini. Matawang yang merudum membawa kesan mendadak kepada harga barang, harga minyak, daya saing ekonomi Malaysia dan sentimen pelaburan antarabangsa yang terus meminggirkan Malaysia. Rakyat resah dengan pelbagai skandal kewangan yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, tetapi mereka berasa tidak ada apa-apa upaya untuk membuat perubahan kerana mereka tahu institusi-institusi utama juga dipengaruhi Perdana Menteri.

Rakyat semakin hilang keyakinan dan kepercayaan kepada ahli politik yang mereka lihat tidak mampu menolak ke tepi perbezaan politik demi menyelamatkan Malaysia. Lebih-lebih lagi ahli politik di pihak Umno dan Barisan Nasional yang nampaknya begitu mudah terpedaya dengan jawatan dan pangkat.

Saya yakin Ahli-ahli Parlimen baik dari parti-parti pembangkang atau Barisan Nasional faham sentimen ini. Sebab itu saya masih menaruh harapan bahawa akan ada 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang masih mempunyai kesedaran dan kecintaan kepada rakyat untuk berani tampil ke hadapan menyokong satu undi tidak percaya untuk menukar Perdana Menteri.

Saya faham mereka akan berdepan dengan ugutan atau tawaran pangkat dan wang. Namun, saya juga percaya mereka juga turut gelisah dengan perkembangan yang berlaku dan mereka masih ada kesedaran untuk membezakan yang benar dari yang tidak benar.

Oleh yang demikian, sebagai Ahli Parlimen, saya dengan terbuka menyatakan sokongan saya kepada mana-mana Ahli Parlimen yang berjaya mendapatkan 25 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional untuk membuat undi tidak percaya terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan syarat-syarat berikut:

1. Satu kerajaan peralihan (“transitional government”) ditubuhkan dengan mandat selama 2 hingga 3 tahun untuk memulihkan demokrasi dan institusi utama negara

2. Reformasi terhadap sistem dan amalan pilihanraya agar Pilihanraya Umum 14 (PRU14) dapat diadakan secara bebas, adil dan telus

3. Satu agenda reformasi yang jelas mengenai ekonomi rakyat (termasuk memansuhkan GST), keluhuran undang-undang, kebebasan media dan perkara-perkara lain dipersetujui secara bersama

Saya merayu Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional supaya meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan menyedari kuasa yang ada pada mereka. 25 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional ini boleh melakar sejarah sebagai pimpinan yang menyelamatkan Malaysia dari ambang kerosakan yang sedang berlaku.

Saya juga menyeru Ahli-ahli Parlimen yang lain yang bersetuju dengan undi tidak percaya bagi tujuan penubuhan sebuah kerajaan peralihan seperti di atas untuk turut sama menyatakan sokongan terbuka supaya rakyat tahu bahawa Ahli-ahli Parlimen tidak terpisah dari sentimen rakyat.

Siapakah 25 Ahli Parlimen Barisan Nasional yang berani tampil untuk menyelamatkan Malaysia?

RAFIZI RAMLINAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
21 OGOS 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.