JawatanKuasa Khas Ekonomi : Libatkan Pakar Kewangan & Ekonomi Islam - Khairuddin At-Takiri

7:47 PM 0 Comments A+ a-

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)
JAWATANKUASA KHAS EKONOMI : LIBATKAN PAKAR KEWANGAN & EKONOMI ISLAM
1. Penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi ini membuktikan Kerajaan ‘baru tersedar’ tentang bahaya kejatuhan berterusan nilai Ringgit. Itupun setelah Kerajaan ‘puas’ menafikan ia sebagai suatu ancaman terhadap negara dan menepis semua dakwaan bahawa Kerajaan melakukan banyak kesilapan dalam isu ini.
2. Soal apa juga faktornya, Kerajaan harus mengambil sikap bertanggungjawab terhadap apa juga keadaan yang berlaku ke atas ekonomi negara kerana rakyat akan turut merasai dan menanggungnya secara langsung; bukannya berterusan memberikan alasan tidak cerdik seperti ‘ia positif untuk negara’ atau ‘Kerajaan tidak patut dipersalahkan dalam hal ini’.
3. DUPP berharap sekurang-kurangnya penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi ini tidak sekadar menjadi wayang untuk mengaburi mata rakyat kononnya Kerajaan telah melakukan segalanya untuk menangani isu ini dan juga tidak menjadi sia-sia dengan rumusan penyelesaian yang berteraskan ekonomi konvensional tanpa mengambilkira prinsip Islam.
4. 3 faktor kemakmuran ekonomi sebagaimama digariskan al-Quran tidak boleh dilupakan oleh jawatankuasa ini iaitu Syukur, Iman dan Taqwa.
5. Antara makna Syukur ialah membelanjakan rezki khususnya kewangan negara berdasarkan garis pandu yang dikehendaki oleh Allah. Syukur adalah penyebab rezki bertambah dan meningkat bukannya menyusut sebagaimana firman Allah bermaksud "dan sekiranya kamu bersyukur pasti Aku tambahkan untuk kamu, dan sekiranya kamu kufur sesungguhnya azab-Ku benar-benar keras". (Surah Ibrahim ayat 7).
6. Iman dan Taqwa adalah punca kepada datangnya sumber rezki yang tidak disangka-sangka dan banyak tanpa terkira sebagaimana firman Allah bermaksud "dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertaqwa pasti Kami buka ke atas mereka keberkatan (rezki) dari langit dan bumi". (Surah al-A'raf ayat 96). Maka kepimpinan negara khususnya tidak boleh dibiarkan terpalit dengan pelbagai ketidaktelusan dan pecah amanah.
7. Kepercayaan dunia terhadap kestabilan politik negara juga penting untuk dipulihkan segera kerana ia memberi kesan terhadap matawang negara yang didagangkan sebagai komoditi.
8. Dalam masa yang sama kita menegaskan bahawa tindakan menjadikan matawang sebagai komoditi adalah antara punca kerosakan ekonomi dunia.
9. Oleh itu, DUPP menggesa Kerajaan untuk turut melibatkan pakar kewangan dan ekonomi Islam mengganggotai jawatankuasa tersebut. Penglibatan golongan ini penting bagi memastikan ekonomi dipacu selari dengan prinsip Islam serta tumbuh dengan penuh keberkatan. DUPP bersedia dan berbesar hati menawarkan tenaga mahir dalam bidang kewangan dan ekonomi Islam untuk terlibat sama mengganggotai jawatankuasa tersebut.
Sekian.
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Selasa, 25 Ogos 2015 | 10 Zulkaedah 1436 H



Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.