Memperalatkan 'Pemain Import' Untuk Kempen Memperkecilkan Usaha Mengkanunkan Jenayah Islam? - Khairuddin at-Takiri
Nasihat Perjuangan
Memperalatkan "Pemain Import" Untuk Kempen Memperkecilkan Usaha Mengkanunkan Jenayah Islam?
Antara hikmah kebijaksanaan Islam ialah ungkapan " لكل مقام مقال " bermaksud "setiap tempat itu ada bicaranya". Kaedah ini sangat tepat apabila kita berbicara tentang perjuangan menegakkan Syariah di tempat-tempat yang berbeza situasi dan realiti masyarakatnya seperti antara Tunisia atau Turki dengan Malaysia.
Ada pihak yang mengimport pemain luar untuk tujuan berkempen secara songsang memperkecilkan usaha PAS sejak 25 tahun lalu bagi mengkanunkan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.
Di bawanya tokoh politik dari bumi Tunisia sebagai satu kempen secara halus meninggalkan perjuangan tersebut dengan hujah kononnya itulah kaedah perjuangan yang sepatutnya dirintis oleh rakyat muslim Malaysia.
Setelah PAS maju selangkah ke depan dalam usaha menegakkan Islam selepas kemenangan Islam 1990 maka datang seruan untuk mundur ke belakang.
Seruan itu pula hadir selaras dan juga sebagai respon positif terhadap penolakan parti sekuler sosialis terhadap perjuangan tersebut yang mengakibatkan terungkainya satu kerjasama politik. Atas nama inginkan kemenangan segera kuasa politik dan bimbangkan sokongan politik bukan Islam terjejas maka seruan ini cuba dirasionalkan atas nama hujah beragama?
Kerja yang sebelum ini sejak sekian lama dilakukan oleh parti politik pemerintah telah diwarisi oleh serpihan PAS dengan dokongan bekas rakan kerjasama politik PAS.
Tindakan songsang oleh mereka ini walaupun dijenamakan atas nama sarjana Islam sangat pelik. Mereka lupakah dengan kaedah Islam yang menegaskan
الحكم على الشيء فرع عن تصوره
"Pengadilan terhadap sesuatu itu adalah cabangan daripada gambaran sebenar terhadap sesuatu"
Adakah pemain import tersebut sebenar-benar diberi kefahaman yang tepat dan terang tentang realiti dan situasi rakyat muslim Malaysia? Termasuk situasi perundangan negeri, negara dan perlembagaannya serta tahap pengamalan Islam serta usaha dakwah bertahap yang telah digarap oleh PAS???
Jika tidak ia merupakan satu tindakan yang tidak adil dan memperalatkan seseorang untuk kepentingan politik sempit dan songsang yang tidak menyumbang untuk kebaikan Islam.
Realiti Tunisia atau Turki yang masih sekuler totok perundangan dan perlembagaannya, amalan Islam majoriti rakyat yang masih lagi jauh daripada sunnah nabawiyyah, realiti masyarakat yang masih kabur pengamalan Islamnya tentu sangat berbeza dengan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan kuasa melaksanakan Islam yang ada pada setiap kerajaan negeri, juga pengamalan beragama masyarakatnya yang telah dididik menerusi sistem pendidikan rasmi negara dan juga institusi pendidikan rakyat.
Kembalilah kepada kaedah " أهل مكة أدرى بشِعابها " bermaksud penduduk Mekah lebih tahu segala lorong-lorongnya". Ia bermaksud sarjana Islam setempat lebih memahami realiti bernegara sendiri bagi menilai kaedah dan pendekatan dakwah dalam menegakkan Islam.
Dalam pertemuan saya dengan Syeikh Rasyid Ghannusi selaku pemimpin tertinggi parti Nahdah, Tunisia tengahari tadi saya jelaskan tentang adanya bekas pimpinan Parti Islam Semalaysia PAS yang ingin menubuhkan parti baru dan dijenamakan juga atas nama parti Islam. Antaranya atas semangat tidak bersetuju kerjasama politik dengan parti sosialis diputuskan. Mereka pula mengajak dan menghasut ahli PAS menyertai mereka. Respon spontan Syeikh Ghannusyi ialah " هذا التشويش "
maksudnya "ini gangguan mengelirukan".
Saya membawa surat khas perutusan Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS kepada Syeikh Rasyid Ghannusyi yang menjelaskan keadaan terkini Parti Islam Semalaysia PAS dan hubungan kerjasama politik dengan parti yang tidak memperjuangkan politik Islam yang diputuskan dan sebab-sebabnya. Juga suasana terkini politik tanah air Malaysia.
Saya sendiri menjelaskan ada pihak yang secara sengaja atau tidak menjemput pimpinan Nahdah ke Malaysia untuk berbicara tentang perjuangan menegakkan Syariah Islam termasuk undang-undang jenayah Islam. Barangkali tujuannya untuk dilihat bahawa perjuangan tersebut tidak sesuai pada masanya di Malaysia. Juga barangkali sebagai isyarat kononnya tindakan menubuhkan parti baru dengan "mencuri" ahli PAS ada sokongannya daripada gerakan Islam di Timur Tengah.
Jika anda tersesat janganlah pula cuba menyesatkan yang lain!!!
Sekian.
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Isnin 9 Zulkaedah 1436 H / 24hb Ogos 2015 jam 3.30 ptg waktu Tunisia / 10.30 mlm Malaysia
Sila kongsi artikel ini...