Anak Sendiri Kelaparan Panda Disusukan - Ustaz Idris Ahmad
Kenyataan Media (21)
Anak Sendiri Kelaparan Panda Disusukan.
Ustaz Idris Hj Ahmad22/9/15
Naib Presiden Pas
Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar anak panda yang dilahirkan, bukan milik Malaysia dan perlu dipulangkan kepada negara China. Persoalannya cerdikkah Malaysia apabila setiap panda dilahirkan di Malaysia, maka Kerajaan kena bayar RM2.5 juta dan anak yang dilahirkan kena diserah kepada negara China apabila meningkat umur 2 tahun. Kalau anak itu menjadi milik Malaysia, agak berbaloi juga. Pelik, tetapi benar. Semua orang ketawa mendengar laporan ini. Tetapi inilah Malaysia negaraku. Anak sendiri kelaparan panda disusukan.
Inilah kisah dua ekor panda Fu Wa ( jantan) Feng Yi ( betina) yang tinggal di Malaysia atas dasar setiakawan serta pinjaman, ia turut membabitkan kos kepada Malaysia. Untuk tempoh 10 tahun, Malaysia perlu membayar kepada China sekitar RM3 juta setiap tahun . Ertinya dalam jangka 10 tahun kos sewa panda sahaja RM30 juta. Untuk menempatkan pasangan panda, dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara melibatkan kawasan eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar.
Kita tidak faham apa nilai tambah kepada negara apabila kerajaan sanggup membayar dengan harga yang begitu mahal. Adakah dengan adanya panda, berlaku peningkatan kadar pelancong di negara ini kerana mereka hendak melihat binatang ajaib ini. Saya bimbang takut projek beruang panda ini hanya akan menambahkan dana untuk orang yang "berwang" sahaja.
Pada peringkat awal lagi ketika keterujaan menyambut panda ke Malaysia, Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia berpendapat keutamaan perlu diberikan memastikan memastikan survival haiwan terancam di Malaysia seperti harimau, penyu, orang utan dan badak Sumatra. Kos RM3 juta setahun yang kena dibayar kepada negara China, alangkah baiknya jika digunakan untuk pemeliharaan binatang kehidupan liar.
Sila kongsi artikel ini...