Mahfuz Omar: Respon Terhadap Kenyataan Media Ketua Polis Negara 20 Sep Berhubung Penangkapan Datuk Khairuddin Abu Hassan

8:26 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

RESPON TERHADAP KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS NEGARA BERTARIKH 20 SEPTEMBER 2015 BERHUBUNG PENANGKAPAN DATUK KHAIRUDDIN ABU HASSAN

1. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar yang masih berkesempatan untuk mengeluarkan suatu kenyataan media khas untuk menjawab kenyataan awal saya sebelum ini walaupun dalam keadaan beliau sedang khusyuk menunaikan ibadah fardu Haji di Mekah.

2. Namun begitu, saya tidak boleh menerima sama sekali hujah yang diberikan oleh KPN bahawa kononnya apabila Datuk Khairuddin Abu Hassan membuat aduan rasmi di negara asing, ianya adalah “satu tindakan yang bertujuan mencabar sistem perundangan Malaysia, mencalar kredibiliti agensi penguatkuasa tempatan dan mengundang campur tangan asing dalam sistem demokrasi negara ini”. Alasan dan hujah yang sebegini kabur dan umum yang diberikan oleh KPN ini jelas sama sekali tidak berlandaskan prinsip undang-undang yang dikuat kuasakan di Malaysia bahkan juga saling tak tumpah dengan hujah-hujah yang biasa kita dengar dari ahli-ahli politik Umno. Sekali lagi KPN gagal menunjukkan secara spesifik peruntukan undang-undang yang manakah yang telah dilanggar oleh Khairuddin apabila beliau membuat siri aduan rasmi di beberapa negara luar selain dari tanggapan-tanggapan longgar yang dinyatakan di atas.

3. Alasan kononnya tindakan Khairuddin membuat aduan tersebut boleh mengundang campur tangan asing juga satu alasan yang sangat melucukan. Malaysia sendiri melalui PDRM pernah meminta kerjasama Interpol untuk menahan orang yang melakukan kesalahan di Malaysia yang berada di luar negara. Yang terbaru, Peguam Kamal Hisham ditangkap oleh polis Singapura. Bukankah Malaysia juga pernah membenarkan FBI datang untuk bertemu dan membuat penyiasatan terhadap Yazid Shufaat seorang tahanan ISA. Bukankah ini juga menunjukan kerajaan membuka ruang campur tangan asing dengan mengizinkan FBI agensi penyiasatan Amarika?

4. Agensi penguatkuasa di mana-mana pun terutama di negara-negara yang mendukung sepenuhnya prinsip "rule of law" adalah tertakluk kepada had jurisdiksi mereka dan mempunyai kewajipan untuk mematuhi hak kedaulatan sesebuah negara lain. Apatah lagi jika Perdana Menteri tidak melakukan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang di mana-mana negara pun, maka tidak apa yang perlu ditakutkan dengan aduan Khairuddin oleh kerana negara berkenaan tidak mempunyai sebarang bidangkuasa untuk menyiasat atau campur tangan di dalam kes yang diadukan tersebut.Kecuali Tan Sri KPN sendiri menyedari memang wujud kesalahan yang dilakukan oleh PM Najib, yakni beliau melakukan kesalahan di negara-negara tersebut. Sebab itu, KPN cuba menimbulkan kononnya Khairudin mengundang campurtangan asing.

5. KPN mendakwa PDRM akan menyiasat terhadap dakwaan laporan yang dibuat oleh Khairudin pada agensi agensi asing itu palsu. Pelik sungguh, Tan Sri KPN lebih setahun Khairudin buat laporan Polis Malaysia pada waktu tersebut semua menafikan apa yang dilaporkan oleh Khairudin. Hari ini, Tan Sri Gabenor Bank Negara sendiri mengakui ada kes isu 1MDB dan beliau sedang berbincang dengan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Kalau laporan itu palsu sudah tentu awal-awal lagi Gabenor Bank Negara boleh menyatakan tiada kes. Namun, kes 1MDB yang dikata palsu telah memakan korban mangsanya termasuk bekas TPM. Malahan kini Khairudin sedang menjadi mangsa seterusnya. Namun, dalam hal ini, jika benar terdapat bukti bahawa Khairuddin membuat aduan-aduan tersebut dengan berasaskan maklumat yang dipalsukan, kenapa beliau tidak ditangkap atau disiasat di atas dakwaan tersebut? Kenapa digunakan Seksyen 124C Kanun Keseksaan ke atas Khairuddin?

6. Saya memahami perasaan KPN yang nampaknya begitu kesal dan memandang berat kenyataan saya yang mengaitkan penangkapan tersebut dengan Perdana Menteri. Tetapi saya peracaya bahawa KPN seharusnya terlebih dahulu menafikan atau menyiasat dakwaan yang dibuat oleh ‘orang dalam’ PDRM sendiri iaitu bekas Timbalan Ketua Cawangan Khas, Dato’ Hamid Bador di dalam beberapa siri kenyataan umum beliau tidak lama dahulu yang mendakwa antara lain bahawa telah berlaku campurtangan oleh pihak tertentu untuk menghalang siasatan pihak berkuasa ke atas 1MDB hingga tiga saksi penting kes tersebut telah disembunyikan dan juga pihak polis khususnya Cawangan Khas kelihatan mencampuri urusan politik untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Begitu juga, kes 2 pegawai tinggi SPRM yang ditukar ke JPM yang kemudian dibatalkan serta gangguan siasatan ke atas Pegawai SPRM yang didakwa kononnya terlibat dengan komplot menjatuhkan PM Najib.

7. Akhir sekali, saya menegaskan bahawa selaku Ahli Parlimen saya berkewajipan untuk menegur dan menyatakan pendirian demi kemaslahatan rakyat dan negara Malaysia keseluruhannya atas prinsip amar maaruf dan nahi munkar. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mendoakan agar KPN diberikan ketenangan dan kesihatan yang baik untuk beribadat di Mekah dan agar diberikan petunjuk dan ilham oleh Allah Taala untuk melaksanakan tugas dengan penuh keberanian, amanah, bertanggungjawab serta adil dan saksama.

“SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA”

DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
22 Sept 2015/ 8 Zulhijjah 1436H


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.