Kedudukan Kompleks Perkayuan Kelantan - Husam Musa

5:22 PM 0 Comments A+ a-



Salinan Surat Kepada :

YAB Ustaz Dato Menteri Besar,
Kelantan Darul Naim,
merangkap Pengerusi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan
(PKINK)


KEDUDUKAN KOMPLEKS PERKAYUAN KELANTAN (KPK)

Pagi ini saya membaca berita mengenai KPK diperintahkan membayar sebanyak RM 2.3 juta kepada Encik Tien Chuan Sen.

Ini ekoran keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan KPK terhadap dua keputusan asal Mahkamah Tinggi Kota Bharu ke atas tuntutan yang dibuat oleh Encik Tien sejak 2013.

Ia menggerakkan saya untuk bertanya lebih lanjut beberapa isu mengenai KPK supaya saya selaku ADUN dan rakyat Kelantan keseluruhannya mengetahui kedudukan sebenar KPK sekarang.

A. Penyerahan Konsesi Tebangan KPK

Saya difahamkan kawasan konsensi KPK dengan kuota tebangan sebanyak 2,000 ekar setahun telah diserahkan kepada sebuah syarikat iaitu Souncern Timber Sdn Bhd.

Saya difahamkan Souncern Timber dikehendaki membayar pulangan kepada KPK hanya sebanyak RM 1,700 seekar. Ini bermakna, untuk kawasan konsensi seluas 2,000 ekar, KPK hanya akan mendapat RM 3.4 juta!

Ditambah sedikit dengan hasil sewaan kilang KPK kepada Souncern sebanyak RM 30,000 sebulan atau RM 360,000 setahun sahaja!

Pertanyaan saya ialah:

i. Adakah pemilihan syarikat kontrak tebangan konsensi penuh KPK ini dibuat secara tender terbuka atau tidak?

Jika tidak, apa kriteria yang digunakan untuk memilih syarikat ini?

ii. Kenapakah bayaran yang diterima oleh KPK hanya RM 1,700 seekar?

Adakah konsensi yang diberikan termasuk hutan dara?

Semakan saya di pasaran menunjukkan, bagi kawasan KPK yang dikira prime dengan sebahagian mengandungi kayu prime seperti meranti merah, ia boleh mencapai sebanyak RM 4,000 hingga RM 5,000 seekar atau lebih. Lebih-lebih lagi bila kawasan yang luas seperti itu diberikan.

iii. Adakah penilaian telah dibuat terhadap kawasan konsensi yang diserahkan kepada Souncern?

Berapa nilaian itu?

Siapa melaksanakan nilaian tersebut?

Jika nilaian tidak dibuat, mengapa?

iv. Memandangkan kedua-dua anak syarikat Souncern Timber Sdn Bhd yang berurusan dengan KPK dari segi tebangan, pengilangan dan penanaman ladang atas tanah KPK iaitu KPK Sk Timber Sdn. Bhd. dan KPK Sk Plantations Sdn. Bhd. dimiliki 70% oleh Souncern, siapakah pemilik 30% lagi saham bagi kedua syarikat tersebut?

Apa tujuan Souncern menubuhkan anak syarikat dengan kaitan nama KPK ini?

v. Memandangkan Souncern ada menubuhkan syarikat perladangan atas nama KPK Sk Plantations Sdn. Bhd., adakah Souncern juga akan diberikan konsensi membuka ladang atas tanah-tanah KPK?

Jika ya, berapa keluasannya? Apakah terma-termanya?

Adakah ini juga bermakna Souncern akan diberikan hak untruk menebang habis mana-mana kawasan yang diberikan kepadanya? Jika benar, tentulah bayaran hanya sebanyak RM 1,700 seekar akan menjadi teramat rendah berbanding jumlah balak yang dikeluarkan melalui tebangan habis.

Pohon penjelasan.

B. 20,000 ekar untuk Dana Perumahan Rakyat Kelantan

Seingat saya, kerajaan telah memutuskan untuk KPK mendedikasikan kawasan konsensinya seluas 20,000 ekar untuk Dana Perumahan Mampu Milik Rakyat Kelantan sekitar tahun 2012.

Kerajaan telah mengarahkan pengurusan KPK melaksanakan tender terbuka di mana dianggarkan harga tawaran antara RM 3,000 hingga RM 5,000 seekar. Dengan itu, KPK boleh mengutip anggaran antara RM 60 juta hingga RM 100 juta.

RM 50 juta adalah dikhususkan kepada Dana Perumahan berkenaan.

Saya difahamkan, hingga kini, sumbangan KPK dari kawasan berkenaan untuk Dana Perumahan adalah kosong sedangkan kelulusan kawasan berkenaan telah bertukar tangan dan segala macam telah didengar mengenai bagaimana ia diuruskan.

Melalui surat ini, saya mohon satu penjelasan terperinci apa yang terjadi kepada kawasan berkenaan.

Saya juga ingin tahu, selepas hasrat kerajaan gagal sepenuhnya bagi kawasan berkenaan, adakah pemeriksaan odit forensik telah dilakukan untuk mengesan kesilapan atau salah guna mungkin telah berlaku?

Apa hasil semakan odit itu?

Apa firma odit yang melakukannya?

Jika belum dibuat, adakah kerajaan bercadang berbuat demikian?

Jika odit forensik akan dilakukan, saya mencadangkan beberapa projek KPK yang terbengkalai dan membazir turut sama diperiksa. Seperti Bandar Baru Dabong yang terbengkalai dan berbagai perbelanjaan/pelaburan hangus KPK ke atasnya, pembinaan galeri pameran di Stong yang tidak digunakan dan pembinaan pejabat baru di Stong yang berakhir dengan VSS hampir semua staf kini dan lain-lain.

Pemeriksaan odit ini adalah penting untuk membersihkan nama baik Kerajaan dan kegunaan YAB untuk menapis mana-mana elemen yang merosakkan aset-aset Kerajaan negeri bagi mengelakkan kerosakan yang lebih banyak.

C. Saya difahamkan, ada satu lagi kes saman yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi sekarang dengan tuntutan RM 7 juta.

Saya berharap, Lembaga KPK dan Lembaga PKINK tidak memandang remeh tuntutan seperti ini. Jalan penyelesaian yang sebaiknya harus difikirkan supaya ianya tidak merugikan Kerajaan.

Saya difahamkan, baik kes yang sedang berjalan mahu pun kes di mana KPK telah kalah, semuanya adalah kes yang mudah dan lurus berkait jual beli pembalakan yang biasa.

Saya tidak faham mengapa KPK tidak boleh menguruskan dengan sebaiknya.

Jiika KPK tewas sekali lagi dan diperentahkan membayar RM 7 juta, pendapatan dua tahun KPK dengan menyerahkan konsensi kepada Souncern tidak cukup untuk membuat pembayaran itu!

D. KPK satu masa dulu adalah syarikat flagship kepada PKINK dan juga Kerajaan Negeri.

Dengan kawasan konsensi yang begitu luas, bernilai dan strategik, ia berakhir dengan menjadi kucing yang keletihan.

Kenapa ini boleh terjadi?

Saya difahamkan dengan perkembangan terbaru ini, semua kakitangan KPK kecuali kurang dari sepuluh orang, telah diberikan pemberhentian pilihan. Pemberhentian kerja pilihan ini akan menambahkan rakyat tanpa pekerjaan di negeri kita.

E. Saya yakin YAB berpegang kepada prinsip akauntabiliti sebagai satu dari teras UMI di bawah dasar Membangun Bersama Islam.

Tentulah tidak keberatan untuk YAB menjelaskan beberapa persoalan yang saya bangkitkan ini.

Mengambil kesempatan ini juga, suka saya sebutkan dua surat saya masing-masing kepada YB Datuk Haji Hanipa Ahmad (surat kedua) dan Tuan Pengarah Jabatan Perhutan Negeri sejak pertengahan Ogos lalu mengenai isu tebangan haram di Ulu Sat masih belum berjawab.

Surat itu disalinkan juga sebelum ini kepada YAB.

Saya pohon YAB ingatkan mereka untuk bersikap telus dan bertanggung jawab dengan menjawab surat saya.

Perhatian YAB terhadap surat saya ini sangat saya hargai.

Saya menunggu jawapan balas dari YAB.

Sekian. Terima kasih.

YB Datuk Husam Musa
Adun Salor
23 Zulkaedah 1436/7 September 2015

Lampiran

Berikut saya lampirkan petikan dari laman web Souncern Timber Sdn Bhd mengenai dua anak syarikat yang baru ditubuhkannya berkaitan KPK:

Souncern Timber Sdn Bhd Key Developments
Souncern Timber Sdn Bhd Incorporates Two New Subsidiaries
Mar 25 14
The Board of Directors of Sern Kou Resources Bhd announced the wholly-owned subsidiary of the company, namely Souncern Timber Sdn Bhd had incorporated the following two companies as its new 70% owned subsidiary. KPK Sk Timber Sdn. Bhd. incorporation on March 24, 2014 with issue and paid up capital of MYR 100 only. The principal activity of the KPK Sk Timber is timber extraction and processing activities. KPK Sk Plantations Sdn. Bhd. incorporation on March 24, 2014 with issue and paid up capital of MYR 100 only. The principal activity of the KPK Sk Plantations is plantation.

S.k

1. Lembaga Pengurusan PKINK
2. Media


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.