Apa yang dilakukan oleh Zaid sebenarnya suatu usaha untuk meliberalisasikan ijtihad - Dr Khalif Muammar

12:05 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Zaid Ibrahim yang dikutip oleh malaysianinsider pada hari ini 26/10/2015 menarik perhatian saya. Beliau mengatakan bahawa orang Islam biasa patut memberanikan diri untuk mendefinisikan Islam mengikut pandangan mereka sendiri dan bukan mengikut pandangan para pemimpin mereka. Katanya pandangan ulama’ hanyalah sebagai panduan, bukan suatu kemestian. Kerana pada akhirnya ia berkaitan dengan kehidupan kita sendiri, kebahagiaan diri sendiri. Sebarang definisi terhadap Islam, selain yang diberikan oleh individu itu sendiri, adalah fasisme dengan nama baru.

Kenyataan Zaid di atas merupakan cerminan pemikiran liberal yang melanda ramai pemimpin Melayu pada hari ini. Menurut golongan liberal agama adalah urusan individu, kerana itu individu itu sendiri yang menentukan kefahaman seperti apa yang ia mahukan. Para ulama’ dianggap sebagai golongan yang berkepentingan, menindas, tidak memberi kebebasan kepada masyarakat. Mereka tidak sedar bahawa persepsi negatif terhadap agama dan institusi Islam ini terjadi akibat daripada pengaruh worldview sekular yang dominan ketika ini.

Apa yang dilakukan oleh Zaid sebenarnya suatu usaha untuk meliberalisasikan ijtihad. Semua orang berhak untuk memperkatakan tentang Islam. Maka kita lihat ahli politik, pakar undang-undang, bahkan wartawan dan pengamal media memberi pandangan mereka sendiri tentang apakah itu Islam dan bagaimana teks-teks Islam perlu ditafsirkan. Dengan demikian, ulama’, ilmuwan dalam bidang-bidang keilmuan Islam, tidak perlu dirujuk dan diikuti. Mereka menganggap menguasai ilmu-ilmu Islam itu mudah oleh sesiapa sahaja, tanpa perlu belajar berpuluh tahun, menadah kitab dengan ulama’ besar, tanpa perlu menguasai bahasa Arab dan membaca karya-karya besar para imam terdahulu. Jika ilmu perubatan, kejuruteraan, penerbangan diliberalisasikan seperti ini nescaya rosak dunia. Mereka berani melakukan perkara ini kepada Islam kerana tidak merasakan kerosakan yang bakal berlaku akibat perbuatan mereka. Apa akan berlaku jika orang yang awam diberikan amanah untuk membina bangunan sekolah, tanpa nasihat dan bimbingan para arkitek dan jurutera? Hal yang sama akan berlaku jika Islam ditafsirkan sesuka hati, tanpa merujuk kepada ahlinya.

Golongan liberal tanpa mereka sedari mengikuti jejak langkah tokoh-tokoh liberalisme di Barat, seperti Voltaire, Hume, Mill, Nietzsche yang membenci agama. Tokoh-tokoh ini membenci dan mengkritik agama kerana mereka melihat kepincangan-kepincangan yang dilakukan oleh pihak gereja atas nama agama. Golongan liberal di negara ini keliru bahawa kesilapan gereja tidak boleh diletakkan ke atas Islam. Kerana tidak ada gereja dan clergy dalam Islam. Jika kemudian masyarakat Barat maju kerana meninggalkan agama dan menerima sekularisme dan liberalisme, maka, mereka fikir, umat Islam juga boleh maju dengan menolak agama dan menerima sekularisme dan liberalisme. Mereka ini umpama orang yang sedang sakit parah, tanpa mengetahui apakah sebenarnya penyakit yang dideritainya dan apakah ubatnya, lalu tanpa usul periksa ia memutuskan untuk memakan sahaja ubat yang orang lain berikan dengan keyakinan yang palsu bahawa ubat itu akan menyembuhkannya.

Jelas terdapat agenda tersembunyi daripada kenyataan Zaid di atas, iaitu agenda untuk meruntuhkan autoriti ilmu, khususnya ilmu Islam. Rasulullah saw berpesan bahawa ilmu agama ini tidak diberikan kepada orang sembarangan (Hadith riwayat al-Bayhaqi), ia hanya diberikan kepada orang terpilih, kerana ia adalah suatu kurnia yang besar daripada Allah (Hadith riwayat Abu Dawud dan Tirmidhi). Kita tidak mahu golongan ini merosakkan agama kita, kerana kesan kerosakannya amatlah besar.



Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.