Bajet 2016 : Beri fokus wanita bawah 40 tahun - Mas Ermieyati Samsudin
Bajet 2016 : Beri fokus wanita bawah 40 tahun.
Fokus harus diberi kepada golongan wanita muda terutama berumur bawah 40 tahun pada pembentangan
Bajet 2016 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan pada Jumaat ini.
Beberapa pengumuman Perdana Menteri juga diharap dapat memberi sedikit sebanyak kesan positif terhadap peningkatan kos sara hidup golongan sasar sekali gus memberi pulangan terutama dalam ekonomi negara.
Antara sasaran anak muda terutama wanita muda yang berkeluarga dan mempunyai anak adalah isu pusat penjagaan anak.
Beberapa inisiatif diharap dapat diumum supaya mengurangkan beban kos sara hidup terutama d bandar-bandar besar negara ini.
Selain itu, Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang diperkenalkan sejak 2011 harus dipergiatkan dengan lebih banyak penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ia usaha berterusan untuk mengurangkan statistik pengangguran siswazah yang sekian lama menjadi salah satu isu negara.
Selain SL1M, program-program lain yang berkaitan juga harus dipertingkatkan atau pengenalan program baru untuk memastikan isu pengangguran anak muda segera menemui noktahnya.
Dalam pada itu, Kerajaan sewajarnya memberi lebih penekanan dan melihat beberapa inisiatif dari percambahan usahawan-usahawan muda atas talian sebagai langkah pengembangan sektor ekonomi negara.
Kerajaan harus memberi perhatian sewajarnya dengan memperkenalkan skim serta bantuan dalam membantu mereka mengembangkan sektor perniaagan yang mereka ceburi.
Puteri UMNO turut berharap Bajet 2016 dapat memberi sinar baru kepada golongan muda seiring dengan transformasi ke arah negara maju menjelang 2020.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri UMNO
22 Oktober 2016
Sila kongsi artikel ini...