Gantung Wakil Rakyat Tidak Menyelesaikan Persoalan 1MDB - Fakhrulrazi Mokhtar
KENYATAAN MEDIA
GANTUNG WAKIL RAKYAT TIDAK MENYELESAIKAN PERSOALAN 1MDB
1. Pemuda AMANAH Nasional melahirkan rasa dukacita atas tindakan yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Gelang Patah, YB Lim Kit Siang. Penggantungan sebagai ahli Dewan Rakyat selama 6 bulan adalah keterlaluan dan mencemar perjalanan demokrasi berparlimen negara ini.
2. Penasihat DAP itu hanya melakukan tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat untuk mempersoalkan kebrobrokan dan skandal yang berlaku melibatkan kepentingan rakyat termasuklah isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
3. Skandal 1MDB bukan satu perkara yang boleh dipandang enteng memandangkan ia telah menjadi isu yang hangat diperbual serta dipertikaikan, bukan sahaja di dalam negara, hatta di seluruh dunia. Isu ini seolah-olah tidak diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan untuk memperjelaskan perkara yang sebenar.
4. Parlimen adalah platform check and balance (semak dan imbang), wakil rakyat berhak meminta penjelasan secara terperinci berhubung apa jua perkara dan pihak kerajaan wajib serta bertanggungjawab untuk menjawab sebarang persoalan yang dibangkitkan.
5. Sewajarnya semua pihak terutama wakil rakyat yang bertanggungjawab mengundi usul penggantungan tersebut memikirkan perkara yang lebih besar iaitu apa yang dibangkitkan oleh Lim Kit Siang. Perkara-perkara di sudut teknikal tidak sepatutnya diperhangatkan hingga menenggelamkan isu asas yang lebih utama.
6. Anak muda kini cakna kepada perkembangan negara, apabila berlakunya tindakan ke atas wakil rakyat disebabkan membawa aspirasi rakyat, kelompok ini sangat gusar dan menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap perkara seperti ini.
7. Kami sangat berharap agar isu 1MDB diberikan ruang yang secukupnya di dalam Dewan Rakyat agar ke semua wakil rakyat dapat membahaskan secara terperinci seterusnya dijelaskan oleh pihak kerajaan.
#HarapanBaru
#IslamRahmatUntuk Semua
USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Naib Ketua,
Pemuda AMANAH Nasional
23 Oktober 2015
Sila kongsi artikel ini...