Forum: Apa Harapan Baru Pakatan Harapan? - Rundinglah Demi Rakyat! - Edy Noor Reduan
Kenyataan Media
8 Oktober 2015
Forum: Apa Harapan Baru Pakatan Harapan? - Rundinglah Demi Rakyat!
Pasca PRU13 memperlihatkan regim pemerintah begitu selesa menghadapi pakatan pembangkang yang berantakkan hingga akhirnya berlaku perpecahan. Ketika itu rakyat terus menjadi mangsa diasak dan dihimpit, malah tanahair ini terus dibuat sesuka-hati apabila kedudukan yang pembangkang lemah tidak bermaya menyekat kerakusan rejim. Ia tidak berlaku pada ketika negara mempunyai gabungan pembangkang yang kuat.
Keyakinan rakyat untuk melihat tanahair ini diselamatkan juga kian pudar dari sehari ke sehari, mereka seolah-olah akur dengan nasib dan takdir. Siapa lagi yang harus membela nasib rakyat jika bukan gabungan pembangkang yang merasakan mereka lebih baik dan lebih berhak menerajui negara ini dengan polisi 'negara rakyat' atau negara berkebajikan. Harapan rakyat terkubur dengan meletusnya perpecahan Pakatan Rakyat yang terbina di atas gelombang kebangkitan lalu.
Mutakhir ini, muncul satu gabungan baru dengan komposisi parti yang lebih meyakinkan, dan ia dinamakan Pakatan Harapan. Kemunculan gagasan baru Pakatan Harapan ini selain meletuskan gelombang baru perlawanan menentang regim, ia juga dikatakan turut mengundang konflik dalaman dan juga beberapa pertikaian.
Apakah ia satu harapan baru kepada rakyat? Apakah komposisi parti yang menyertai sudah muktamad atau masih terbuka? Apakah ada pergolakan dalaman terbaru dengan penubuhan Pakatan Harapan?
Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil inisiatif awal menganjurkan sebuah forum terbuka dengan mempelawa tokoh-tokoh yang mampu menjawab persoalan "Apa Harapan Baru Pakatan Harapan" yang juga sebagai tajuk forum. Antara tokoh yang mengesahkan kehadiran sebagai panelis termasuklah YB Khalid Samad (Amanah), YB Tian Chua (Keadilan), Wakil DAP, Saudara Arul (PSM), juga wakil golongan intelektual Dr Maszlee Malik dan che'GuBard sebagai Moderator.
SAMM mengajak semua pihak yang merasakan mereka memperjuang nasib rakyat yang kian tenat untuk kembali ke meja rundingan. Pentas forum anjuran SAMM ini juga merupakan satu anjakkan penting mencari titik persamaan dan sebuah 'pre-council' penyelesaian 'mutual'. Tanahair ini memerlukan satu gabungan pembangkang yang mantap untuk menumbangkan regim, atau sekurang-kurangnya membela rakyat dengan kekuatan yang menerbit rasa gerun pemerintah.
Berikut adalah butiran forum;
Forum : Apa Harapan Baru Pakatan Harapan
Anjuran: SAMM Kebangsaan
Tarikh & Masa: 11 Okt (Ahad) 8.45pm
Panelis: Yb Khalid Samad, Yb Tian Chua, Wakil DAP, Dr Maszlee Malik, Sdr Arul PSM
Moderator: che'GuBard
Lokasi: PAGER SAMM
No 334, Jalan Haruan 5/8,
Oakland Commercial Centre 2,
Seremban, N.Sembilan
Koordinat: 2.701912 , 101.919265
contact person: 019-6858558 (Azif)
Forum akan disiarkan secara langsung melalui SuaraTV dan SAMM menjemput pihak media lain supaya turut hadir membuat liputan. Orang ramai dijemput hadir di alamat seperti tertera.
Ayuh, kita semeja merungkai kekusutan, mencapai kata sepakat, demi rakyat.
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Sila kongsi artikel ini...