Artikel Tun Dr Mahathir terbaru bertajuk: TAWAU

6:36 AM 0 Comments A+ a-



Artikel Tun terbaru bertajuk: TAWAU

1. Saya berada di Tawau pada 5 Oktober di atas jemputan dari seorang bekas calon parti lawan.

2. Ramai ahli UMNO di Sabah tidak dapat hadir bicara negarawan yang diadakan kerana dianjur oleh bukan UMNO. Kata mereka SUA UMNO amat marah jika ada ahli atau pemimpin yang hadir diperhimpunan ini.


3. Sesungguhnya saya sudah 15 tahun tidak ke Tawau. Sebab itu walaupun jemputan datang dari musuh UMNO saya terima kerana saya ingin lihat perubahan di Tawau. Kalau nak tunggu UMNO jemput, sampai bila pun saya tidak dapat lihat Tawau. Saya ini, walaupun masih ahli UMNO dan biasa menjadi Presiden UMNO, dianggap oleh kepimpinan UMNO sekarang sebagai musuh parti yang saya pimpin selama 22 tahun.

4. Ya lah. Saya tidak bersetuju dengan Dato Seri Najib, Presiden UMNO dan saya desak supaya dia disingkir. Tetapi dahulu saya juga cuba dijatuhkan oleh Tengku Razaleigh dan Musa Hitam. Tujuan mereka apabila mereka bertanding melawan saya dan Ghaffar ialah supaya saya tidak jadi Presiden lagi dan tidak jadi Perdana Menteri. Mereka berhajat menjatuhkan saya.

5. Saya tidak larang mereka berkempen di kalangan ahli-ahli UMNO dan ahli-ahli UMNO tidak dilarang oleh saya menghadiri kempen mereka. Bahagian-bahagian UMNO menjemput mereka untuk merasmikan mesyuarat Bahagian dan mereka berkempen semasa perasmian dan dimasa-masa lain.

6. Ada Bahagian yang mencalon Tengku Razaleigh dan Musa Hitam sebagai Presiden dan Timbalan Presiden. Saya tidak anggap mereka musuh saya dan perlu diambil tindakan. Tidak ada larangan terhadap pencalonan oleh mereka kerana ini memang cara demokrasi. Diwaktu ini calon-calon untuk Presiden Amerika Syarikat sibuk berkempen dimana-mana sahaja, kerana inilah cara demokrasi.

7. Tetapi sekarang Presiden UMNO belum pun dicabar secara rasmi sudah tidak benar saya berjumpa dengan pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Ada unsur ugutan dalam arahan ini. Akan diambil tindakan, akan dibuang dari parti, akan disiasat. Masa depan dalam parti akan menjadi gelap. Tidak boleh jadi pemimpin lagi; tidak akan dijadikan calon lagi.

8. Dimasa yang sama sesiapa yang menegur Presiden dituduh cuba sabotaj, cuba menggugat demokrasi, menjatuhkan Presiden yang dipilih secara demokratik. Mereka yang membuat laporan polis kerana kehilangan duit Kerajaan disoal dan disiasat, dijadikan muflis. Dan seterusnya ditahan. Apabila dibebas oleh mahkamah ditangkap semula bawah undang-undang baru Sosma, undang-undang kononnya untuk terrorist pengganas.
9. Apakah orang yang melapor kepada polis berkenaan jenayah yang berlaku boleh dituduh jadi pengganas.

10. Sambil melaung-laungkan demokrasi peguam pihak yang dituduh pun disoal siasat. Peguam pun hendak ditakutkan.

11. Semua ini menakutkan rakyat, terutama ahli UMNO dan pemimpin kerdilnya. Mereka tahu ada perkara yang salah yang sedang berlaku. Tetapi mulut mereka ditutup. Telinga juga ditutup.

12. Kebebasan bersurat khabar yang kononnya didokong oleh Kerajaan ditutup kerana melapor berkenaan jenayah 1MDB dan lain-lain.

13. Imej negara ini sudah bertukar dari demokrasi kepada seakan-akan police state dimana undang-undang disalahguna untuk menakutkan rakyat. Kesalahan Kerajaan dan Perdana Menteri tidak boleh disebut pun. Perjumpaan rakyat dihalang dengan berbagai cara, dituduh rasis dan Kerajaan menggalakkan demonstrasi rasis diadakan kerana kononnya perhimpunan bersih yang bertujuan meminta Najib berhenti didakwa adalah rasis, satu percubaan orang Cina menjatuhkan Kerajaan Melayu.

14. Kerajaan menuduh sesiapa yang mendedah kesalahan Najib sebagai percubaan mengguling Kerajaan secara tidak demokratik.

15. Sebenarnya Kerajaanlah yang dengan mengugut bertindak terhadap rakyat, melarang ahli UMNO dari mendengar syarahan politik, Kerajaan sudah tidak demokratik lagi. Tidak ada demokrasi untuk diruntuh oleh rakyat, kerana demokrasi sudah pun dimusnah oleh Kerajaan.

16. Alhamdulillah, ada beribu orang Sabah yang tidak gentar dengan ugutan dan mereka hadir di perhimpunan di Tawau.

Sumber: http://chedet.cc/?p=1880


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.