Parti Baru Antara Teori dan Realiti - Alang Ibn Shukrimun

12:34 AM 0 Comments A+ a-



PARTI BARU ANTARA TEORI DAN REALITI

Sehingga hari ini saya masih belum faham kewarasan apakah yang digunapakai pihak yang menubuhkan wadah politik Islam kedua di Malaysia selepas PAS. Apakah sunnah yang menjadi panduan kumpulan tersebut dan apa bacaan yang dibuat sehingga dianggap kewujudannya menguntungkan Islam.

Apa yang biasa didengari daripada mereka adalah untuk menang pilihanraya. Bagi mereka, menang pilihanraya adalah syarat utama perjuangan Islam dan ia mustahil berlaku tanpa bantuan DAP dan PKR. Justeru sikap PAS yang dingin dengan kemahuan DAP sehingga membawa terkuburnya PR adalah alasan nombor wahid mereka untuk menyatakan Islam tidak akan ke mana-mana tanpa DAP. Kononnya tanpa DAP, PAS tidak lagi relevan dan kembali ke zaman 70an. Optimis betul mereka dengan parti anti Islam itu.

Saya rasa tidak perlulah bincang soal akidah dan syariat berhubung pendirian mereka. Semua boleh menilai jelas. Namun apa yang masih menghairankan kita, logik akal apakah yang mereka fikir bahawa Islam boleh berkembang dengan tertubuhnya parti baru ini? Setakat yang dapat dilihat, ia tidak lebih sekadar menambah perpecahan kumpulan Islam yang sedia ada banyak.

Sekiranya kita melihat secara teori, memang benar apabila bertambah bilangan, maka bertambahlah kekuatan. Tetapi jika dilihat dari sudut realiti, kekuatan Islam dilihat statik dan mungkin semakin lemah menjelang pilihanraya akan datang.

Secara lebih terperinci, sekiranya kita membanding antara teori dan praktikal:

1. Teorinya, apabila muncul satu lagi kumpulan Islam maka ia akan menambah kekuatan Islam. Ia mungkin benar jika kumpulan baru ini memiliki ahli baru yang sebelum ini tidak pernah terlibat dalam perjuangan Islam. Dengan itu bilangan individu di blok pembangkang akan bertambah ramai.

Tetapi realitinya, kumpulan baru ini hanya sekadar menarik mereka-mereka yang telah bersama PAS tanpa menambah bilangan baru. Mereka yang ditarik pula ramai juga kalangan pimpinan yang sedang aktif dalam PAS. Maka ia langsung tidak menambah peratus bilangan pejuang Islam sebaliknya semakin menjuzuk-juzukkannya sebagaimana rancangan zionis menjuzukkan kuasa Islam ketika mahu menumbangkan Khilafah.

Sekiranya dilakar sebuah carta pai, belahan bahagian Islam tidak semakin membesar menyaingi belahan musuh Islam sebaliknya belahan yang sedia ada terus dibelah-belah kepada lebih kecil. Atau dalam contoh lain, tentera Islam tetap orang yang sama, dia hanya bertukar dari batalion 2 ke batalion 3 sahaja. Musuh langsung tidak terkesan.

2. Teorinya, kumpulan baru akan membantu perjuangan Islam sekiranya mampu menarik sokongan baru kepada Islam. Daripada menyokong kerajaan kepada menyokong pembangkang. Daripada tidak berparti kepada berpihak oposisi.

Namun realitinya, kumpulan baru di Malaysia ini langsung tidak berjaya membuat penyokong Umno berganjak dari parti kebangsaan melayu itu. Walaupun Umno beri ruang yang banyak kepada parti ini untuk memecahbelahkan PAS, tetapi untuk berpindah ke sana, ia cukup menjijikkan orang Umno sendiri.

Yang menyokong hanyalah mereka yang sedia ada bersama blok pembangkang samada penyokong lama PAS, DAP atau PKR. Dari sudut politik, buang masa sahaja membentuk kumpulan ini kerana jumlah undi tidak akan bertambah dan Putrajaya masih tidak berbau.

3. Teorinya, kumpulan baru boleh membantu kumpulan lama dengan idea baru. Dengan itu Islam akan lebih kelihatan variasi dan mencakupi berbagai sudut.

Realiti tak seindah teori. Kumpulan baru hanya mengitar semula idea lama. Tahaluf siasi bersama pakatan rakyat adalah idea TGHH yang membentuk kertas kerja di bawah Majlis Syura Ulama. Hari ini matlamat tahaluf iaitu dakwah non muslim telah berjaya dicapai dengan terbentuknya kumpulan non muslim yang menyokong Islam (DHPP) dan non muslim tidak lagi fobia terhadap Islam. PAS sekarang sedang melakar strategi politik Islam yang baru plula.

Kumpulan baru pula masih tidak berganjak dari kepompong lama. Bahkan mereka salah faham pula tentang matlamat tahaluf. Mereka menganggap tawan Putrajaya bersyaratkan pakatan DAP PKR selama-lamanya tanpa mengkaji sebab-sebab PAS menerima tahaluf dahulu.

Apa yang lebih malang, kerasnya kumpulan ini dengan idea mereka sehingga membawa kepada mengkritik parti lama di khalayak awam. Segala silap faham yang terbentuk di minda rakan pakatan terhadap syariat Islam tidak menjadi tumpuan untuk diperbetulkan. Segala tanggapan songsang terhadap PAS dibiarkan begitu sahaja tanpa pembelaan.

4. Teori berpendapat kumpulan yang banyak akan membantu Islam kerana boleh mengemukakan pendekatan-pendekatan baru. Kumpulan lama dapat mengambil manfaat dalam mempercambah method dakwah dan siasah.

Namun realitinya tiada sebarang pendekatan baru. Mereka hanya tahu meniru PAS. Dari unit amal, pasti hinggalah konsep ulama'. Apa yang merugikan, berlaku perebutan ahli dan premis pula. Keluarnya mereka dari PAS membawa lari semua harta yang sebelum ini di waqaf atas takwilan 'harta sepencarian'.

Kita masih tidak melihat sebarang pendekatan baru walaupun mendakwa perjuangan mereka didokongi profesional dan bersifat progresif. Logo pun ciplak dari bangla. Parti pun hanya mampu kitar semula parti lama. Pendekatan mereka tidak begitu berbeza dengan PKR.

5. Teori menyatakan kumpulan baru yang wujud akan menambah kekuatan Islam. Ini benar seandainya kewujudan masing-masing mengisi lompang tersendiri dalam mengukuhkan kuasa untuk Islam.

Realitinya, kumpulan baru ini wujud hanya untuk merebut kuasa yang sama dengan kumpulan lama. Setakat hari ini masih belum kedengaran kumpulan ini akan bertanding di kerusi-kerusi yang belum sampai calon Islam, sebaliknya telah menyatakan bakal bertanding di tempat yang sudah ada PAS. Belum pernah juga mereka nyatakan akan bertanding di semua tempat Umno.

6. Dari sudut teori, benar sekali kumpulan baru mungkin akan menambah keuntungan Islam sekiranya berjaya mewujudkan banyak harta-harta dan kuasa baru untuk Islam.

Malangnya dari sudut realiti kelihatan mereka hanya mengambil kesempatan atas usaha PAS. Kerusi yang dimenangi hasil usaha jentera PAS diisytihar sebagai kerusi mereka tanpa perlu bersusah payah kempen. Premis-premis yang dibangunkan hasil derma sumbangan ahli PAS dilarikan begitu sahaja. Hakikatnya kelengkapan 'senjata' dan fasiliti Islam tidak bertambah cuma bertukar tangan sahaja dengan cara yang sangat bertentangan dengan syarak.

7. Dari sudut teori, kekuatan Islam boleh berkembang sekiranya kemunculan parti baru bersifat membantu parti lama.

Tapi realitinya kewujudan PAN lebih dilihat bersaing dan berkonfrontasi dengan PAS. Sejak dari penubuhannya, pimpinan PAN terus mengulas kelemahan PAS di medan masyarakat awam sehingga timbul dakwaan PAS sudah tidak relevan. Perkara ini sudah tentulah akan mendapat tentangan terbuka dari penyokong PAS lalu wujudlah kritik mengkritik dan dedah mendedah secara terbuka. Persepsi negatif yang melihat Islam berbalah sesama sendiri akan terbentuk di minda awam. Apakah ini semua menguntungkan?

Kesimpulannya, kewujudan kumpulan Islam baru ini masih belum dapat dijustifikasikan sebaiknya. Walaupun mereka selalu beralasan penubuhan mereka mengambil semangat penubuhan AKP di Turki, namun situasi yang berlaku antara dua negara amatlah berbeza.

Penubuhan AKP berlaku di saat parti Erbakan diharamkan. AKP juga muncul setelah Fazilet-Saadet gagal memainkan peranan sewajarnya dek keterbatasan perlembagaan. Sebaliknya kemunculan PAN disaat PAS adalah parti teras negara dan kukuh memainkan peranan sebagai oposisi. PAN juga lebih mensasarkan ahli PAS ke dalam partinya daripada mendekati individu non partisan jauh sekali penyokong kerajaan.

Apa yang dilihat, kesan seandainya PAN tidak berkubur sebagaimana sejarah parti-parti serpihan PAS yang lain adalah berlaku pengecilan kek kuasa Islam sebagaimana di Indonesia. Walaupun negara tersebut memiliki kompisisi muslim yang jauh lebih besar dari Malaysia, namun oleh kerana terdapat hampir 40 parti Islam di sana, maka yang memerintah adalah parti liberal proksi Amerika. Di wilayah Kalimantan juga sebagai contoh, parti Kristian memerintah walaupun majoriti penduduknya muslim.

Oleh itu janganlah kita terus tertipu dengan berbagai teori menghalalkan penubuhan wadah politik Islam tersebut. Ia perlu dinilai dari berbagai aspek realiti serta kesan jangkamasa pendek dan panjang yang tentu sekali berbeza antara tempat dan masa.

(Alang Ibn Shukrimun)


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.