Nurul Izzah: Rakyat sengsara menanggung pembaziran Projek Mega Kerajaan. Penjimatan RM57 billion melalui Akta Kecekapan Tenaga tidak diendahhkan.
Rakyat sengsara menanggung pembaziran Projek Mega Kerajaan. Penjimatan RM57 billion melalui Akta Kecekapan Tenaga tidak diendahhkan.
Pada 26 Oktober saya bertanya Perdana Menteri di Parlimen persoalan saya perihal status terkini cadangan janakuasa nuklear; serta pendirian Kementerian tentang pengenalan Akta Kecekapan Tenaga dalam usaha meningkatkan penjimatan dan kecekapan tenaga di Malaysia.
Soalan ini adalah rentetan soalan saya di Parlimen pada 12 Mac 2015 (1) yang lalu di mana saya telah nyatakan bahawa kerajaan dapat menjimatkan minimum RM57 bilion dan menurunkan penggunaan setinggi 3,600 MW hanya dengan perbelanjaan kecekapan tenaga yang berkos RM987 juta sahaja.
Namun jawapan yang saya terima dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mah Siew Keong pada 26 Oktober adalah seperti berikut:
Pertama, kerajaan belum membuat sebarang keputusan mengenai pembinaan loji janakuasa nuklear. Keputusan ini akan dibuat selepas pelbagai kajian-kajian yang masih sedang dijalankan kerajaan.
Kedua, kerajaan masih belum berhasrat untuk mewujudkan Akta Kecekapan Tenaga yang khusus bagi meningkatkan penjimatan dan kecekapan tenaga. Menurut kerajaan peruntukan di bawah Akta Bekalan Eletrik (Pindaan 2001) memadai untuk menyokong perlaksanaan kecekapan tenaga.
Wajar diingat bahawa perundangan yang sedia ada hanya menjurus kepada kecekapan tenaga dalam industri tenaga elektrik sahaja dan tidak termasuk sektor-sektor yang lain seperti pengangkutan dan sebagainya.
Ini adalah satu perkara yang tidak bertanggung jawab oleh kerajaan. Di kala krisis harga minyak jatuh dan menurunkan pendapatan negara kerajaan buntu dalam pengurusan ekonominya tetapi terus bertindak mencukai rakyat dengan kutipan cukai GST. Belanjawan 2016 yang baru diumumkan jumaat lepas tiada visi yang hebat malah meneruskan bajet-bajet Perdana Menteri sebelum ini yang telah defisit fiskal sepanjang 18 tahun. Projek Mega tetap diteruskan tanpa mempedulikan kesusahan rakyat dan kos sara hidup yang terus meningkat.
Kerajaan tidak sensitif malah meneruskan perbelanjaan besar dengan projek-projek mega seperti Malaysian Vision Valley, Aeropolis KLIA dan Rubber City Kedah yang berkos RM12.32B. Jelas fokus kerajaan adalah untuk memastikan syarikat-syarikat korporat terus mengaut untung tanpa mengambil kira poket rakyat. Dana untuk Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin pula dipotong secara drastik daripada RM200 juta kepada hanya RM10 juta sahaja. Dana untuk Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dipotong secara drastik daripada RM200 juta kepada hanya RM10 juta sahaja.
Malah, Belanjawan 2016 juga turut melupuskan subsidi bil elektrik, yang dahulunya pada RM150 juta untuk golongan miskin, yang bil elektriknya kurang dari RM20, serta pelupusan subsidi minyak masak sebanyak RM950 juta. Yang masih tidak lupus adalah rasuah, yang menyebabkan hutang negara bertambah dan rakyat terus didera dengan dipaksa menebus belanja kerajaan dengan GST. Kerajaan wajib bertindak lebih kritikal dan sensitif apabila memperbelanjakan wang negara yang dikutip dari rakyat hasil dari cukai GST.
Akta Kecekapan Tenaga yang boleh membawa penjimatan sehingga RM57 bilion perlu dilaksanakan segera. Sekiranya Kerajaan dengan mudah dapat menjimatkan RM57 bilion- lantas rancangan loji Nuklear yang berkos RM21.3 billion tidak perlu diteruskan. Inilah masalahnya apabila falsafah Belanjawan adalah untuk menekan rakyat demi meneruskan projek mega.
Kerajaan harus berfikir diluar kotak, melaksanakan langkah penjimatan dan memikirkan bagaimana untuk meraih sumber dana pendapatan yang baru.
Seperti yang dijanjikan, saya akan terus menerus membawa isu Kecekapan Tenaga ke Parlimen dan akan mengambil input daripada pihak-pihak berkepentingan dr industri untuk terus mendesak isu ini yang jelas dapat menjimatkan banyak wang ringgit untuk negara serta akan terus meneliti untuk membawa Akta Kecekapan Tenaga ke Parlimen.
NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN
Sila kongsi artikel ini...