6A UPSR 2016 Membebankan - Haji Kiprawi Aman
6A UPSR 2016 MEMBEBANKAN
Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ingin melaksanakan format baru UPSR pada tahun 2016 dilihat akan membebankan banyak pihak. Format baru tersebut bakal menyaksikan pertambahan 6 kertas peperiksaan. Menurut Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) format baharu tersebut akan diuji kepada kira-kira 450,000 orang pelajar pada tahun hadapan.
PAS Sarawak menyatakan pendirian bahawa pelaksanaan format ini akan membebankan pelajar kerana terpaksa menghadapi kertas tambahan yang tidak sesuai dengan umur mereka. Para guru pula sudah tentu mengalami bebanan tugas yang kian bertambah dengan terpaksa menyiapkan pelbagai laporan pentaksiran yang perlu diisi bagi memenuhi penilaian keseluruhan bagi format baharu tersebut. Malahan guru-guru Bahasa Inggeris sudah tentu diberi tekanan yang lebih untuk menghadapi penyediaan ujian Bahasa Inggeris yang akan dipecahkan kepada 2 Kertas nanti. Tidak cukupkah lagi dengan segala yang dialami oleh guru-guru Sains dan Matematik sewaktu PPSMI dahulu? Sepatutnya tidak ada sebarang pengulangan pada halangan seperti ini.
Keadaan ini juga boleh menyebabkan risiko lebih ramai pelajar menjadi mangsa ujikaji kepada dasar yang nampak hanya berfokus kepada menambah bilangan 'A' sahaja. Keadaan ini tidak selaras dengan dasar pendidikan negara yang ingin melahirkan insan yang seimbang dalam pelbagai aspek. Pelaksanaan ini juga dilihat tergesa-gesa tanpa perancangan jangka panjang. Tidak ubah seperti Pelaksanaan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) yang diumum pada 2014 dan terus dilaksanakan dalam tahun itu juga sehingga menimbulkan pelbagai masalah dan persoalan berbangkit. Malahan, dimaklumkan bahawa kebanyakan guru-guru yang terlibat masih belum didedahkan dengan jelas format-format penilaian dan pentaksiran tersebut.
Maka, PAS Sarawak mendesak agar KPM melakukan kajian semula dengan lebih terperinci berkaitan hal ini. Sudah tentu kita tidak mahu dasar ini mengulangi sejarah pelaksanaan PPSMI yang ternyata gagal serta merugikan. Sepatutnya pihak KPM lebih memfokuskan ke arah pengisian nilai dan penguasaan kemahiran pelajar yang sesuai dengan keperluan semasa. Sewajarnya setiap pelaksanaan polisi baharu perlu mempunyai jangka masa dan kumpulan fokus tersendiri. Contohnya, jika ingin mengubah format tahun 6, sepatutnya diubah bermula daripada tahun 1, 2016. Sedarlah bahawa pendidikan bukan kilang tetapi adalah proses pembangunan insan.
Haji Kiprawi Aman
Ketua Penerangan PAS Sarawak
Sila kongsi artikel ini...