Batalkan AES yang bakal beban rakyat – Faiz Fadzil

11:30 AM 0 Comments A+ a-



Batalkan AES yang bakal beban rakyat – Faiz Fadzil

Pengumuman Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkenaan kemungkinan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dilaksanakan semula pada tahun depan begitu menggusarkan rakyat.

Walaupun AES dilaksanakan bertujuan mengawal had laju kenderaan dan pelanggaran lampu isyarat melalui tangkapan gambar kamera yang dipasang di laluan tertentu bagi mengurangkan kemalangan jalanraya, namun ia bukanlah mekanisma yang paling berkesan bagi mengatasi masalah ini.

AES dilihat lebih kepada langkah kerajaan mendapat hasil daripada rakyat melalui pengisuan saman kepada pesalah trafik.

Pelaksanaan AES yang bermula pada 2012 yang melibatkan pengisuan 2.14 juta saman, tetapi dihentikan selepas tentangan rakyat dan komplikasi beberapa isu ketidakpatuhan undang-undang yang berkaitan.

AES juga dilihat sebagai langkah penswastaan agensi kerajaan yang menguntungkan golongan korporat kapitalis.

Walaupun penguatkuasaan AES dilaksanakan oleh Jabatan Pengangukatan Jalan, namun kerajaan perlu membayar RM16 bagi setiap saman yang dikeluarkan sebagai fi perkhidmatan (control service fee) kepada syarikat penyedia perkhidmatan.

Setakat 25 Ogos, 2015, kerajaan membayar fi perkhidmatan sebanyak RM60 juta kepada 2 syarikat penyedia perkhidmatan AES iaitu RM27 juta kepada ATES Sdn Bhd dan RM33 juta kepada Beta Tegap Sdn Bhd.

Persoalannya, adakah pelaksanaan semula AES yang dijangkakan pada 2016 bertujuan bagi mendapatkan hasil dan keuntungan atau bagi mengatasi masalah kemalangan jalanraya?

Pelanggaran had laju dan lampu isyarat bukanlah faktor tunggal berlakunya kemalangan jalanraya di mana terdapat faktor penyumbang lain termasuk keadaan kenderaan dan keadaan jalanraya.

Penurunan harga barang bagi menggalakkan rakyat sentiasa menyelenggara kenderaan dengan baik, peningkatan sistem pengangkutan awam dan pelebaran jalanraya adalah langkah lebih berkesan bagi mengatasi masalah ini.

Sebaliknya, saman yang dikeluarkan sesungguhnya membebankan rakyat yang sudah ditekan dengan peningkatan harga barang dan GST.

Satu saman sahaja RM300. Bantuan Rakyat 1Malaysia sebanyak RM1,000 yang diberikan kerajaan sekalipun tidak mampu membantu rakyat membayar saman dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang.

Oleh itu, kerajaan digesa untuk membatalkan terus AES bagi mengutamakan kebajikan rakyat dan bukannya pihak yang berkepentingan.

Didiklah rakyat untuk meningkatkan keselamatan di jalanraya dan bukannya terus menghukum bagi mengaut hasil dan keuntungan. – 17 November, 2015.

* Faiz Fadzil ialah timbalan ketua Pemuda Amanah Nasional


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.