Perlukah UMNO-PAS Bekerjasama? - Mohammad Agus Yusoff
PERLUKAH UMNO-PAS BEKERJASAMA?
Saya bertanya ‘perlukah’, bukannya ‘wajarkah’? Ini kerana ‘wajarkah’ tidak tegas. Manakala ‘perlukah’ lebih afirmatif jawapannya.
Perlukah? Pada saya, jawapannya perlu dengan alasan berikut:
i. Menyatukan umat Melayu-Islam dan menghentikan caci maki sesama kita semata-mata kerana perbezaan politik.
ii. Menstabilkan politik negara kerana pada hari ini kita bertelagah sehingga pemimpin kita tidak fokus untuk merancang pembangunan ekonomi negara bagi mengatasi masalah rakyat.
iii. Membolehkan rakyat melihat politik bukan lagi dari kaca perkauman, tetapi keagamaan yang lebih menyeluruh.
Saya yakin ramai yang tidak setuju dengan jawapan saya. Mereka akan ungkit dendam dan kesilapan politik lama antara dua parti ini.
Mereka akan dakwa kerjasama ini hanya untuk menyelamatkan kedudukan pemimpin dan elit parti sahaja.
Mereka akan dakwa kedua-dua pemimpin parti ini tidak ada arah tuju, hanya menuntut kesetiaan dan wala’ pengikut sahaja.
Pada saya hujah ‘tidak setuju’ itu perlu dikaji balik.
Sokonglah kerjasama Umno-Pas untuk kita melihat wujudnya politik baru yang lebih segar.
Boleh berjayakah jika kerjasama diwujudkan?
Saya yakin boleh berjaya, tetapi tertakluk kepada syarat berikut:
i. Kerjasama ini mestilah mempunyai satu asas dan prinsip jelas yang dipersetujui bersama. Apakah asas dan prinsip itu? Isilah tempat kosong ini….
ii. Kerjasama ini hendaklah dilihat rakyat sebagai bukan untuk memenuhi kepentingan elit parti semata.
iii. Kerjasama ini hendaklah dapat menghasilkan produk politik yang diharapkan rakyat seperti keadilan sosial, kesejahteraan ekonomi, pemimpin berintegriti dan lainnya.
iv. Kerjasama ini mestilah dalam konteks menghormati prinsip federalisme Malaysia. Hak negeri di bawah pemerintahan Pas seperti royalti minyak perlulah ada penyelesaian menang-menang.
Tentu ada yang bertanya, bagaimana penyatuan Melayu-Islam boleh berjaya jika tidak inklusif, tanpa Amanah dan orang Melayu dalam PKR?
Jawapan saya, jika kerjasama Umno-Pas ini sudah ada prinsipnya yang jelas dan dipimpin oleh pemimpin yang komited, jujur dan berintegriti, teruskanlah usaha untuk bekerjasama itu. In Sha Allah berjaya.
Tetapi, jika empat prasyarat yang saya nyatakan di atas tidak dipenuhi, maka saya yakin politik kita akan “back to square one.”
Salam Maulidur Rasul.
Sila kongsi artikel ini...