Mengapa ‘bail out’ AES untuk tekan rakyat? – Faiz Fadzil
Mengapa ‘bail out’ AES untuk tekan rakyat? – Faiz Fadzil
Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dilaksanakan pada 2012 kononnya bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya melalui kaedah tangkapan gambar kamera dihentikan setelah mendapat pelbagai tentangan.
Bagaimanapun, AES bakal dilaksanakan semula pada Mac tahun ini sepertimana pengumuman Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Persoalan yang timbul adakah AES bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya atau menjana pendapatan negara?
AES dilaksanakan awalnya dengan hak konsensinya dipegang 2 syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd.
Melalui model kewangan dengan formula 3 langkah yang dipersetujui bersama antara syarikat konsensi dan kerajaan, syarikat konsensi akan mendapat pulangan yang dianggarkan berjumlah RM3.2 bilion bagi tempoh 5 tahun.
Bagaimanapun, pegangan saham dalam kedua-dua syarikat konsensi tersebut kemudiannya diambil alih sebuah syarikat lain iaitu Irat Properties Sdn Bhd.
Kini, pegangan saham syarikat konsensi ini dimiliki Boustead dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
LTAT pula merupakan pemegang saham terbesar Boustead.
Untuk rekod, sebanyak 2.14 juta saman dikeluarkan sepanjang AES dilaksanakan.
Kerajaan pula perlu membayar RM16 bagi setiap saman yang dikeluarkan sebagai yuran perkhidmatan kepada syarikat konsensi.
Setakat 25 Ogos, 2015, kerajaan membayar yuran perkhidmatan sebanyak RM60 juta kepada 2 syarikat konsensi terdahulu AES iaitu RM27 juta kepada ATES Sdn Bhd dan RM33 juta kepada Beta Tegap Sdn Bhd.
Dengan pembekuan AES selama ini, sudah pasti syarikat konsensi tidak mendapat pulangan yang dijanjikan.
Justeru, pengambil alihan saham Boustead dan LTAT boleh dianggap sebagai langkah “bail out” projek AES ini.
Mengapa wang rakyat terutama anggota tentera digunakan untuk tujuan menekan rakyat terbanyak melalui saman AES.
Dalam keadaan hasil pendapatan negara terjejas akibat penurunan harga minyak dunia, kerajaan seolah-olah tiada sumber lain selain daripada mengutip hasil duit rakyat.
Tidak cukup dengan hasil GST dan cukai pendapatan yang dikutip daripada rakyat, kini datang pula AES.
Rakyat kini cukup terbeban dan tertekan dengan kenaikan harga barang, kos sara hidup, petrol dan tol dan dengan saman AES yang berjumlah RM300, maka keperitan hidup rakyat akan menjadi lebih parah dan menderita. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Sedangkan RM300 adalah jumlah yang cukup besar dan bermakna untuk perbelanjaan rakyat ketika ini.
Justeru, AES yang akan dilaksanakan semula adalah bertujuan untuk menjana pendapatan negara dan memberikan keuntungan kepada syarikat konsensi melalui cara menghakis wang rakyat.
Perlaksanaan AES pada waktu ini bukan bertujuan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.
Sebaliknya, meningkatkan kempen dan mendidik rakyat tentang langkah-langkah keselamatan jalan raya, penurunan harga barang bagi menggalakkan rakyat sentiasa menyelenggara kenderaan dengan baik, peningkatan sistem pengangkutan awam dan pelebaran jalan raya adalah langkah lebih berkesan bagi mengatasi masalah ini.
Maka AES perlu ditentang.
Protes perlu dilakukan rakyat bagi menggesa kerajaan membatalkan terus AES.
Perlaksanaan AES kelak yang akan menempatkan lebih kurang 404 kamera di seluruh negara pasti akan menambah beban dan derita rakyat yang akhirnya merencatkan pembangunan dan ekonomi negara.
Jangan sampai hutang rakyat semakin meningkat kerana dipaksa membayar saman AES. – 20 Januari, 2016.
Sila kongsi artikel ini...