Memperkasakan Majlis Agama Islam Negeri Peranan Semua Pihak - Hidayah Centre Selangor

5:41 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA HIDAYAH CENTRE FOUNDATION

MEMPERKASAKAN MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PERANAN SEMUA PIHAK

Assalamu’alaikum wbt,


Pihak Hidayah Centre Foundation merujuk kepada kenyataan oleh Saudara Mikhael Iskandar dalam rakaman KiniTV, berkaitan rungutan mengatakan saudara baru (muallaf) tidak mendapat layanan sewajarnya
daripada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

1. Hidayah Centre Foundation sebagai sebuah yayasan yang berdaftar dengan Jabatan Perdana Menteri, sentiasa bekerjasama baik dengan pihak MAIS sejak tahun 2005 lagi. Sebagai pusat khidmat sokongan saudara baru, kami amat mengambil berat urusan dan keperluan mereka.

2. Sepanjang pengalaman kami bekerjasama dengan MAIS, kami merasakan pihak MAIS telah memberikan khidmat sokongan yang baik untuk saudara baru (muallaf) khususnya di Selangor.

3. Untuk membantu muallaf memahami Islam dan tuntutan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim, pihak MAIS menyediakan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) yang dikendalikan oleh para ustaz yang berpengalaman.

4. Bagi saudara baru yang baru memeluk agama Islam, mereka juga diberi pelbagai bantuan dalam bentuk elaun sara hidup, biasiswa pelajaran, disamping kemudahan pinjaman bagi yang ingin berniaga supaya mereka dapat menguruskan keperluan hidup sebagai insan yang boleh berdikari.

5. Kami berpandangan bahawa tanggungjawab mendalami ilmu fardhu ain tentang Islam terletak pada
diri setiap saudara baru itu sendiri. Sementara tugas penceramah ialah untuk menyampaikan ilmu Islam hingga mereka faham dan dapat beramal, serta memperbaiki diri dengan bimbingan hasil kefahaman tersebut. Satu hakikat lagi yang perlu disedari bersama ialah, perubahan diri bagi saudara baru juga memerlukan masa. Ini bergantung kepada usaha dan keikhlasan hati mereka sendiri.

6. Dengan menyedari hakikat masih ada kelemahan oleh pihak yang menyantuni muallaf, kami daripada Hidayah Centre Foundation menggesa saudara Mikhael supaya dapat bersemuka dengan pegawai tertinggi MAIS untuk mendapat penjelasan berkenaan kesulitan dan kemusykilan saudara baru yang masih perlukan penyelesaian.

7. Pihak Hidayah Centre sendiri bersedia hadir sebagai pengantara untuk sama-sama memastikan keperluan saudara baru dapat disempurnakan.

8. Kami juga dimaklumkan daripada sumber rasmi MAIS, jumlah keseluruhan saudara baru di Selangor adalah seramai 33,507 orang dan dari 2010 hingga April 2015 terdapat seramai 9972 orang saudara baru yang berdaftar. Jumlah kakitangan MAIS bagi mengendali urusan mereka adalah seramai 47 orang sahaja termasuk 9 orang pemandu dan mereka berkhidmat di pejabat-pejabat MAIS di daerah-daerah. Dengan nisbah pegawai MAIS dan saudara baru 1:713 sudah pasti pengurusan bantuan ini bukan suatu tugas yang mudah.

9. MAIS juga antara majlis agama Islam negeri di Malaysia yang telah berjaya menyempurnakan agihan zakat untuk asnaf saudara baru pada tahun 2014 sebanyak RM 51.8juta. Ini menggambarkan kesungguhan pihak MAIS dalam khidmat bagi membantu keperluan saudara baru.

10. Pihak Hidayah Centre Foundation percaya pihak MAIS mengamalkan sistem mengutamakan pelanggan dan bersedia menerima teguran melalui saluran yang disediakan.

Oleh yang demikian Hidayah Centre Foundation menggesa agar mana-mana pihak yang memperjuangkan urusan saudara baru dapat berhubung baik dengan pihak MAIS bagi menyelesaikan apa jua permasalahan dalam suasana mahabbah (kasih sayang) demi menjaga nama baik pihak yang bertanggung jawab dan golongan saudara baru sendiri yang mana ramai telahpun berjaya diberi bantuan.
Sekian.

17 hb Julai 2015
29 Ramadhan 1436 H.

"Saudara Baru Amanah Bersama"

Ir Wan Ahmad Nizar b Zakaria
Pengerusi
Hidayah Centre Selangor


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.