Kecam Serangan Israel, Malaysia Perlu 'MEMBILANGKAUMKAN' Perjuangan Rakyat Palestin - Sany Hamzan

8:05 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media

KECAM SERANGAN ISRAEL, MALAYSIA PERLU 'MEMBILANGKAUMKAN' PERJUANGAN RAKYAT PALESTIN

www.amanahnegara.org

Pemuda AMANAH melahirkan kekesalan yang mendalam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokasi biadab pelampau Zionis dan tentera Israel terhadap Masjid Al-Aqsa. Lebih menyedihkan apabila kebiadaban tersebut berterusan hingga hari ini dengan tindakan mengusir rakyat Palestin di sekitar masjid tersebut. Serangan melampau ini ternyata merupakan kezaliman yang yang tidak boleh diterima warga dunia apabila pentadbiran Benjamin Netanyahu ketika ini diserang kiri dan kanan oleh pelbagai agensi dan badan antarabangsa.

Pemuda AMANAH berpandangan bahawa isu Al-Aqsa dan konflik Palestin-Israel bukanlah semata-mata isu agama, namun ia adalah isu kemanusiaan yang merentasi ras, agama dan sempadan negara. Maka teramat penting dalam konteks Malaysia, isu ini diwacanakan dan diambil berat oleh semua pihak atas nama kemanusiaan dan keamanan sejagat.

Hakikatnya di peringkat antarabangsa, terlalu banyak organisasi-organisasi bukan kerajaan, orang perseorangan dan badan-badan kerajaan bukan Islam yang mendokong perjuangan ini. Di sana wujud gerakan Kristian yang menggelarkan diri mereka 'Sojourners', dipimpin oleh Jim Wallis sebagai Presiden merangkap pengasas pertubuhan tersebut, dengan pendirian organisasi yang cukup kritikal untuk melihat keamanan wujud di bumi Palestin. Bahkan di British juga wujud 'Helping Palestinians In Need' (INTERPAL) gerakan sosial rentas agama yang fokus untuk membantu rakyat Palestin samada di dalam negara Palestin mahupun rakyat Palestin yang terusir di luar Palestin.

Tidak hanya di Eropah, komuniti Yahudi seantero dunia yang berprinsip terlalu banyak yang mendokong keamanan di Palestin dan menolak doktrin Zionisme. B'tselem, Jews Againts Zionism, Tikkun, Jews For Justice For Palestinians, ini merupakan senarai panjang komuniti bukan Islam - bahkan Yahudi - yang menolak penjajahan Israel ke atas Palestin. Malah kebanyakan komuniti athies di peringkat antarabangsa seperti 'Athiest Nexus' juga percaya bahawa pertelingkahan agama di Palestin tidah harus dijadikan hujah untuk memangsakan penduduk-penduduk dan masyarakat awam di Palestin.

Lantas, Pemuda AMANAH berpandangan telah sampai masa dan ketikanya untuk gerakan mendukung perjuangan rakyat Palestin di Malaysia 'dibilangkaumkan' secara merata dan menyeluruh. Langkah pertama yang mungkin boleh difikirkan ialah organisasi-organisasi yang telah lama berjuang mendukung aspirasi rakyat Palestin ini boleh membuat JV (joint-venture) atau kerjasama dengan persatuan-persatuan perniagaan, NGO-NGO bukan Islam yang aktif untuk turut terlibat sama dalam aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang dianjurkan mereka. Atau mungkin pelbagai cara yang lebih kreatif yang boleh difikirkan, tidak hanya NGO-NGO Islam, tapi turut parti-parti politik di negara ini.

Pemuda AMANAH memandang bahawa perjuangan rakyat Palestin ini merupakan perjuangan universal yang perlu didokong oleh sesiapa sahaja yang cintakan keamanan dan kemanusiaan. Maka dalam konteks Malaysia, jika perjuangan ini mampu digarap sebagai perjuangan yang didokong oleh seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama, maka tidak mustahil dalam dekad-dekad mendatang, Palestin mampu menjadi jambatan yang menghubungkan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Malah mungkin, menjadi sebab untuk rakyat di negara ini berbincang dan serius berjuang untuk membebaskan tanah yang sedang dijajah itu.

SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

29 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.