Isu Syria: Kerajaan Malaysia Perlu Teliti Saranan Sultan Perak - Fakhrulrazi Mokhtar

3:35 PM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media

ISU SYRIA: KERAJAAN MALAYSIA PERLU TELITI SARANAN SULTAN PERAK

www.amanahnegara.org


1. Pemuda AMANAH Nasional menyambut baik titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyarankan seluruh umat Islam dapat menangani isu pelarian Syria dengan lebih baik.

2. Isu Syria bukanlah perkara baru, namun ia berlarutan tanpa kesudahan dengan menyaksikan negara-negara Islam gagal memainkan peranan mereka membantu umat Islam di bumi Anbia' itu.

3. Negara-negara Islam, terutamanya yang berhampiran sewajibnya menjalankan tanggungjawab untuk membantu umat Islam di negara itu terutama memberi perlindungan kepada para pelarian.

4. Negara-negara Islam wajar untuk menzahirkan keberanian untuk berusaha membantu sedaya mampu tanpa ada sekelumit rasa takut terhadap ancaman daripada mana-mana pihak.

5. Apa yang berlaku pada hari ini, negara-negara Eropah lebih menzahirkan sifat kemanusiaannya seperti apa yang dititahkan oleh Sultan Perak itu. Negara-negara Eropah lebih mudah untuk menghulurkan bantuan serta pertolongan.

6. Negara umat Islam perlu malu apabila pelarian Syria meminta bantuan daripada negara-negara Eropah. Tindakan ini berlaku apabila negara-negara umat Islam gagal memainkan peranan untuk membantu, hatta yang mempunyai kuasa seolah-olah takut untuk bertindak.

7. Dalam hal ini, negara-negara umat Islam perlu bersatu dan berbincang bagaimana untuk membantu umat Islam disana yang kini terpaksa menjadi pelarian ke negara-negara luar.

8. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang diwakili oleh pimpinan negara-negara umat Islam perlu bersidang dan membincangkan secara khusus berkaitan isu ini. Pertubuhan ini perlu dilihat berperanan, bukan hanya bersidang melengkapkan rutin semata-mata.

9. Kerajaan Malaysia juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini, mereka mempunyai autoriti dan saluran untuk menzahirkan keprihatian mereka terhadap nasib umat Islam termasuklah isu Syria ini.

10. Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak perlu berani menyuarakan isu-isu berkaitan nasib umat Islam melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan menggesa mencari penyelesaian kerana ia berkaitan isu kemanusiaan sejagat.

11. Titah Sultan Nazrin sangat bertepatan dengan suasana yang berlaku pada hari ini yang menyaksikan negara-negara Islam gagal memainkan peranan dan tanggungjawab mereka. Saranan ini wajar diambil perhatian serius oleh Kerajaan Malaysia.

‪#‎HarapanBaru‬

USTAZ HAJI MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional

30 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.