Pakatan Harapan: Presiden Obama Wajar Batalkan Perjumpaan Dengan Najib dan Gantung Semua Rundingan TPP Sehingga Selesai Siasatan

11:27 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA
PAKATAN HARAPAN

PRESIDEN OBAMA WAJAR BATALKAN PERJUMPAAN DENGAN NAJIB DAN GANTUNG SEMUA RUNDINGAN TPP SEHINGGA SELESAI SIASATAN

Laporan akhbar The New York Times pada 21 September 2015 yang lalu memberi gambaran bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak dan keluarganya kini sedang disiasat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (Justice Department) berhubung tuduhan pembelian beberapa kondominium mewah menggunakan wang yang diselewengkan.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara ini bila mana seorang Perdana Menteri disiasat oleh sebuah negara asing atas tuduhan jenayah. Ia membawa kesan yang besar kepada kebebasan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat selain dari menjejaskan imej Malaysia di mata dunia yang membawa kesan buruk kepada sentimen pelabur terhadap Malaysia.

Siasatan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat ini merumitkan hubungan diplomatik kedua-dua negara pada kala kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat sedang merundingkan perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPP) yang telah mengundang pelbagai kontroversi. Pelbagai skandal dan tuduhan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak kebelakangan ini juga menjatuhkan lagi kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Amerika Syarikat.

Oleh itu, Dato’ Seri Najib Tun Razak kini berdepan dengan konflik kepentingan (conflict of interest) apabila berurusan dengan kerajaan Amerika Syarikat terutamanya dalam rundingan-rundingan yang melibatkan kedaulatan negara kerana kes beliau yang kini disiasat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Sewajarnya, kerajaan Amerika Syarikat perlu menggantung kesemua rundingan bersabit Perjanjian TPP dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mengelakkan persepsi bahawa konflik kepentingan (conflict of interest) yang timbul akibat siasatan itu.

Pakatan Harapan juga mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya tidak menjadikan tekanan penyiasatan pihak Amerika Syarikat terhadap beliau ini sebagai alasan untuk menandatangani Perjanjian TPP yang membelakangkan kepentingan dan kedaulatan negara.

Mengambil kira juga krisis kredibiliti yang dihadapi oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak, Pakatan Harapan berpendapat sokongan kuat kerajaan Amerika Syarikat terhadap pentadbiran beliau perlu dikaji semula sebagai langkah menjaga hubungan baik di antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang dibina selama ini dan juga pada masa yang akan datang.

Oleh yang demikian, adalah wajar bagi Presiden Barack Obama membatalkan perjumpaan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dijadualkan November ini sehinggalah siasatan terhadap Dato’ Seri Najib diselesaikan terlebih dahulu di Amerika Syarikat bagi mengelakkan persepsi yang buruk ke atas kedua-dua mereka.

Hanya selepas Dato’ Seri Najib Tun Razak menyelesaikan masalah krisis kredibiliti dan isu-isu berkait dengan tuduhan penyelewengan 1MDB barulah sebarang rundingan yang melibatkan kedaulatan negara boleh diteruskan.

YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH ISMAIL
Presiden KEADILAN

YB TAN KOK WAI
Timbalan Pengerusi DAP

YBHG SALEHUDDIN AYOB
Timbalan Presiden AMANAH

30 SEPTEMBER 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.