Kenapa Internet Sesak atau Perlahan - Mohamed Awang Lah
Kenapa Internet sesak atau perlahan?
oleh: Mohamed Awang Lah
1. Sejak beberapa hari lepas beberapa orang ahli politik, menteri dan bekas menteri berbalah tentang kelajuan Internet. Ada yang kata pengguna Internet Malaysia lebih suka perkhidmatan yang perlahan!
2. Pada pandangan saya, orang ramai memang suka Internet yang pantas tetapi mereka tak mampu. Dan kalau pun mampu melanggani pakej berkelajuan tinggi, prestasinya hampir sama dengan pakej berkelajuan rendah. Jadi tentulah mereka melanggan pakej yang perlahan sahaja. Mengapa nak buang wang?
3. Tetapi, kenapa Internet selalu sesak?
4. Pembekalan Internet serupa dengan pembekalan air ke rumah. Ada paip besar dari tangki ke sesuatu taman perumahan di mana air disalurkan dengan paip kecil ke setiap rumah. Paip besar mungkin bergaris-pusat 100mm (dengan keluasan rentas 7,854 mm persegi). Paip kecil mungkin bergaris-pusat 20mm (dengan keluasan rentas 314 mm persegi). Nisbah keluasan rentas ialah 7,854/314 atau 25.
5. Ini bermakna paip yang besar itu hanya boleh membekalkan kepada 25 buah rumah sahaja sekiranya setiap rumah menggunakan air sepenuhnya sepanjang masa. Dalam situasi sebenar, ada rumah yang guna air dan ada yang tidak pada sesuatu ketika. Jadi lebih banyak rumah boleh disambungkan kepada paip besar yang sama.
6. Begitulah dengan Internet. Di sesuatu kawasan perumahan ada nod (atau suis atau menara pemancar bagi perkhidmatan wayarles) di mana semua talian pelanggan bersambung. Nod ini juga bersambung ke ibu sawat utama (atau gateway) dengan talian berkelajuan tinggi. Jika talian ke ibu-sawat berkelajuan 100 Mbps dan talian pelanggan berkelajuan 4 Mbps, secara mutlaknya hanya 25 pelanggan boleh menikmati kelajuan 4 Mbps. Tetapi tidak semua pelanggan menggunakan Internet dengan kelajuan maksimum pada masa yang sama. Ada yang guna sedikit sahaja dan ada juga yang tak digunakan langsung.
7. Oleh yang demikian kaedah "over-subscription" diguna - mungkin dengan nisbah 10:1 yang bermakna 250 pelanggan 4Mbps berkongsi talian 100Mbps. Kalau semua mereka menggunakan Internet pada masa yang sama, setiap pelanggan hanya akan dapat 0.4Mbps sahaja. Inilah yang dikatakan perkhidmatan ‘best effort’ - bergantung kepada nasib. Tidak ada jaminan.
8. Di sinilah kemungkinan penipuan berlaku. Pihak pembekal sentiasa menjual pakej 4 Mbps. Tetapi mereka tidak memaklumkan atau memberi jaminan nisbah "over-subscription". Ada yang guna 10:1,dan ada sehingga 50:1 untuk mendapat keuntungan yang lebih - hanya atas budi bicara pihak pembekal. Tidak ada keperluan oleh pihak berkuasa untuk memaksa pembekal membuat pengakuan kepada pelanggan.
9. Tentunya pelanggan yang dibekalkan perkhidmatan dengan nisbah 50:1 akan mengalami lebih banyak kesesakan berbanding 10:1. Yang idealnya 1:1 tetapi kosnya jauh lebih tinggi - biasanya dilanggani oleh pelanggan komersial.
10. Mungkin pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM/MCMC) perlu memberi lebih tumpuan kepada perkara ini untuk melindungi pengguna. Pemantauan tidak seharusnya terhad kepada kaedah statistik sahaja.
Sila kongsi artikel ini...