Perlukah Kita Pada Sesi Khas PRIME MINISTER QUESTION (PMQ) TIME? - Mohammad Agus Yusoff
PERLUKAH KITA PADA SESI KHAS PRIME MINISTER QUESTION (PMQ) TIME?
oleh:
Mohammad Agus Yusoff
Sesi Khas PM Jawab Soalan (PMQ) atau secara rasminya dipanggil Questions to Prime Minister adalah konvensyen perlembagaan di England yang diamalkan sejak tahun 1881 lagi.
Sejak itu, ia telah menjadi amalan bagi PM menjawab soalan di parlimen selama setengah jam pada setiap hari Rabu ketika parlimen bersidang.
PMQ ini kemudiannya menjadi ikutan negara-negara Komanwel yang lain seperti Kanada dan Australia dengan prosedur yang sedikit berbeza.
Hasilnya, sidang palimen di negara-negara ini berjalan segar dan demokrasi berkembang subur dengan PMnya memainkan peranan penting untuk menjawab soalan dari wakil rakyat setiap minggu.
Di negara kita pula, apakah perlu kita kepada PMQ ini?
Hal ini mula menarik perhatian apabila Spekaer Dewan Rakyat menyatakan beliau sedang memikirkan hal ini selepas bertemu delegasi Parlimen Australia yang melawat bangunan parlimen kelmarin.
Reaksi segera beberapa menteri UMNO dengan cadangan ini adalah adalah tidak bersetuju dan pesimis. Kata mereka:
i. perlu dikaji sebelum dilaksanakan.
ii. pelaksanaan ini membebankan PM.
iii. PM tidak boleh hadir setiap minggu pada waktu parlimen bersidang kerana ada urusan penting yang lain.
iv. adalah lebih baik PM memberi tumpuan kepada pembangunan negara daripada melayan soalan-soalan pembangkang.
Kawan saya pula menyatakan, belum pun ada sesi PMQ, parlimen sudah kecoh seperti pasar ikan. Tambahnya, bayangkan jika ada sesi PMQ ini, tentunya lebih kecoh lagi.
Bagi saya itu jawapan pesimis kepada mreka yang tidak mahu berubah. Jika saya ditanya soalan yang sama, saya menjawab baik dan perlu dilaksanakan atas alasan berikut:
i. Memberi peluang kepada wakil rakyat bertanyakan PM mengenai isu-isu nasional yang perlu mendapat perhatian segera beliau.
ii. Membolehkan rakyat menilai keupayaan dan kejujuran PM menjawab soalan berkaitan dengan kebajikan dan kehidupan rakyat.
iii. Memberi peluang kepada PM menjawab segala fitnah yang ditohmahkan terhadap beliau sekiranya itulah soalan yang ditanya oleh wakil rakyat.
iv. Memberi peluang kepada rakyat melihat kehadiran wakil rakyat semasa PM hadir di parlimen dengan semasa PM tidak hadir.
Di akhir analisisnya, saya dapati cadangan Speaker Dewan Rakyat perlu diberi perhatian serius dan dilaksanakan demi untuk kebaikan negara.
Kita perlu berani berubah.
Sila kongsi artikel ini...