Kerajaan Negeri Selangor dan UNISEL Sedia Membantu Pelajar Mangsa Biasiswa JPA - Nik Nazmi

10:10 PM 0 Comments A+ a-



KERAJAAN NEGERI SELANGOR DAN UNISEL SEDIA MEMBANTU PELAJAR MANGSA BIASISWA JPA

Shah Alam: Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil maklum mengenai isu pelajar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kolej INTEC.


Ekoran beberapa aduan daripada pelajar-pelajar biasiswa JPA ini, kami dapati bahawa pihak JPA telah menamatkan kontrak dengan 26 pelajar (A-Level 16 2014/2016), tanpa notis awal. Alasan yang digunakan hanyalah kerana mereka tidak melepasi sesuatu piawaian yang telah ditetapkan berdasarkan keputusan peperiksaan terkini – dan ini pula hanyalah disampaikan oleh Ketua Program A Level Kolej INTEC.

Polisi ini tidak pernah dinyatakan oleh mana-mana pihak kepada pelajar-pelajar ini dan ia memberi kesan kepada mereka yang terus hilang hala tuju. Kemasukan mereka ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) juga mempunyai rintangan akibat kebanyakan Universiti yang tidak menerima pensijilan A Level, apatah lagi pelajar-pelajar ini tidak dibenarkan menghabiskan pelajaran.

Keputusan JPA untuk menghentikan serta-merta pembiyaan pelajar-pelajar cemerlang ini tanpa rundingan amatlah mengecewakan dan ia sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa kerajaan tidak menghiraukan kebajikan pelajar. Beberapa minggu ini terdapat juga isu berkenaan 115 pelajar biasiswa JPA (INTEC) (batch A-Level 11 2013/2015) yang juga tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara dan tidak ditempatkan di Universiti tempatan walaupun sudah berjaya menamatkan pelajaran Tahun Asas. Malah 40 orang pelajar daripada mereka juga telah ditamatkan kontrak tanpa diberi sebarang notis formal.

Mengikut carian kami dan pihak Universiti Selangor (UNISEL), keputusan-keputusan pelajar ini sudah dikira lulus dan bukanlah pada tahap gagal oleh itu ia masih boleh digunapakai di peringkat Universiti.

Dengan itu, berteraskan falsafah “Mempedulikan Rakyat” dan keperihatinan Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh YAB Dato’ Menteri Besar Mohamed Azmin Ali, pihak UNISEL dan Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa Universiti bersedia menawarkan tempat melanjutkan pengajian di peringkat Tahun Asas dengan pembiayaan ‘Derma Siswa’ iaitu penajaan yuran pengajian kepada semua mereka yang layak dan berminat.

Derma Siswa tersebut juga turut merangkumi pembiayaan yuran penginapan pelajar semasa sedang melanjutkan pengajian diperingkat Tahun Asas di UNISEL. Semua pelajar cemerlang ini akan ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran bagi sesi kemasukkan Oktober 2015.

Kami mengharapkan inisiatif ini dapat membantu pelajar-pelajar cemerlang ini untuk melanjutkan pelajaran dan akhirnya menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.

Di samping itu kami juga mohon penjelasan daripada pihak JPA dan kerajaan Barisan Nasional mengenai isu ini, dan mahukan satu alasan yang kukuh mengapa polisi pembiayaan JPA ini berubah-berubah dengan begitu kerap, dan seakan-seakan tidak menggalakkan pelajar-pelajar untuk ke luar negara sedangkan itulah yang telah dijanjikan. Jikapun pelajar-pelajar itu tidak layak untuk ke luar negara atas sebab keputusan yang tidak cemerlang, mengapa mereka terus diabaikan sedangkan mereka sepatutnya tetap diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Oleh itu, kami juga akan meneliti cara lain untuk membantu para pelajar ini termasuklah mendapatkan nasihat guaman.

NIK NAZMI NIK AHMAD
AHLI MAJLIS MESYUARAT PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI KERAJAAN NEGERI SELANGOR


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.