Faiz Fadzil : Meja Bulat Pembangkang Hendaklah Ikhlas dan Istiqamah Tamatkan Ketamakan Kuasa Perdana Menteri dan Kezaliman UMNO dan Barisan Nasional
MEJA BULAT PEMBANGKANG HENDAKLAH IKHLAS DAN ISTIQAMAH TAMATKAN KETAMAKAN KUASA PERDANA MENTERI DAN KEZALIMAN UMNO DAN BARISAN NASIONAL.
Sokongan undi popular 52% yang diberikan rakyat kepada Pakatan Rakyat adalah satu sejarah penting demokrasi negara. Namun, kepercayaan rakyat ini telah dikhianati apabila terdapat pihak yang tidak amanah kepada persetujuan bersama. Konsultansi tidak lagi menjadi dasar, malah diambil alih perang mulut pemimpin. Rakyat menjadi muak dengan situasi itu.
Krisis ekonomi negara dan bebanan kos saraan yang tinggi menjadi isu pokok rakyat ketika ini. Penyusutan nilai mata wang adalah disebabkan oleh sentimen kewangan yang dikaitkan dengan kehilangan keyakinan terhadap integriti negara. Kenyataan Tan Sri Zetty Akhtar Aziz bahawa penyusutan nilai mata wang hanya dapat dipulihkan apabila skandal 1MDB diselesaikan mengiyakan keadaan ini.
PM setelah menghidu satu penyiasatan telah lengkap dan deraf kertas pertuduhan telah tersedia telah bertindak secara gerila dengan menukar Peguam Negara, menangkap pegawai SPRM, menukar Pegawai Polis dan membubarkan Special Task Force tersebut. Penukaran Peguam Negara adalah jalan terdesak bagi meyelamatkan kedudukannya kerana kuasa mendakwa adalah prerogative Peguam Negara menurut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan Tan Sri Zeti bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada Peguam Negara juga menunjukkan wujudnya kes jenayah dilakukan Perdana Menteri. Penjelasan kemudian (afterthought) bahawa wang RM2.6 billion tersebut adalah derma tanpa butiran siapakah penderma dan kemanakah wang tersebut dibelanjakan tidak melepaskan PM daripada pendakwaan jenayah ibarat di hadapannya duri di belakangnya api. Jika kenyataan Tan Sti Zeti tidak benar, maka seharusnya PM menafikan dan menyaman beliau. Rakyat mahu menjadi saksi kepada perbicaraan yang lebih besar daripada kes Anwar Ibrahim di mana keterangan dalam kes PM ini adalah ciptaan beliau sendiri.
Ketamakan kuasa PM yang tidak mengendahkan krisis ekonomi negara akibat penyusutan nilai mata wang menjadi semakin kronik apabila kuasa pemerintah semakin disalahgunakan. Tindakan menyiasat pemimpin rakyat yang didakwa hadir di dalam perhimpunan aman Bersih 4 menunjukkan demokrasi semakin terhakis teruk. Sebaliknya perhimpunan baju merah yang membela PM pula dipertahan oleh PM dan Menteri UMNO sedangkan yang mengkayakan seorang lelaki Cina bernama Jho Low adalah seorang lelaki Melayu bernama Najib Razak.
Hanya rakyat yang boleh mengubah nasib negara ini. Harapan Pakatan Rakyat baharu yang bakal dibentuk pada 22 September 2015 melalui meja bulat parti pembangkang dan NGO mampu membawa agenda perubahan ini. Harapan rakyat amat tinggi. Tiada lagi konflik dalaman dan terus mara demi negara dan rakyat. Keikhlasan dan komitmen bersama menjadi sandaran rakyat. Usah khianati lagi kepercayaan rakyat. Bersama menunaikan AMANAH rakyat.
Faiz Fadzil
Timbalan Ketua Pemuda
AMANAH Nasional
21 September 2015
Sila kongsi artikel ini...