Hormati Keputusan PAS - Nasrudin bin Hassan
Tinta Penerangan. 14
Hormati Keputusan PAS
Oleh : Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Penerangan PAS Malaysia
1. Jauh perjalanan PAS. Lama usia perjuangan dan pengalamannya juga sangat luas. Segalanya membantu PAS dalam membuat sebarang keputusan dan pendirian berhubung dengan pendekatan dan tindakan politik. Sementelah kepimpinan PAS sepanjang zaman telah digabung jalin dari pelbagai bidang keupayaan untuk membuat keputusan.
2. Banyak keputusan telah dibuat. Ada yang payah dan ada yang mudah, sebagaimana penerimaan terhadap keputusan itu juga kadangkala mudah dan kadangkala payah. Namun sebagai sebuah Gerakan Islam yang juga berperanan sebagai sebuah parti politik, PAS tidak boleh lari dari membuat keputusan yang muktamad dalam menghadapi kemelut politik tanahair.
3. Keputusan yang diambil secara muktamad lebih menampakkan wibawa kepimpinan dan organisasi PAS berbanding keputusan yang bersifat kluk klek atau acuh tidak acuh. Pastinya PAS terpaksa membayar harga yang mahal untuk sebuah keputusan. Justeru keputusan bukan dibuat berasaskan telahan rambang dan andaian separuh masak. Melunaskan keputusan yang dibuat juga bukan sebuah perjudian untuk mempertaruhkan masa depan perjuangan.
4. Sebaliknya, keputusan dibuat berasaskan semangat syura, analisa dan pengamatan yang teliti. Semoga ia dirahmati oleh Allah swt bersama keberkatan yang terhasil dari tindakan yang diambil.
5. Kita semua setuju bahawa PAS bukanlah maksum. Ia adalah sebuah organisasi yang dikendalikan oleh manusia biasa. Namun begitu, apabila proses membuat keputusan telah menepati piawaian yang ditetapkan oleh syarak, maka kita mengharapkan keputusan yang dibuat itu benar dan tepat. Kalaupun terdapat salah serta silap pada keputusan itu dan ia masih tidak bertentangan dengan dasar dan prinsip Islam, mudah - mudahan keputusan itu masih menghasilkan pahala Fi Sabilillah.
6. Mudah - mudahan Ijtihad Jamae'i yang dicapai oleh PAS ketika membuat keputusan melalui Ijtihad politiknya, adalah menepati Hadis Nabi saw :
إذا حَكَمَ الحاكِمُ فاجْتَهَدَ ثُمّْ أَصَابَ فله أَجْرانِ و إذا حَكَمَ فاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فله أجْرٌ
Apabila telah memutuskan oleh seorang hakim sedang ia telah berijtihad kemudian telah benar ijtihad itu, maka baginya dua pahala dan apabila telah memutuskan ( oleh seorang hakim ) sedang ia telah berijtihad kemudian telah salah ijtihad itu, maka baginya satu pahala.
Riwayat Imam Bukhari dan Muslim
Sekian.
Sila kongsi artikel ini...