Syed Ibrahim : Beri Peluang Kepada Pakatan Pembangkang Baharu Terbentuk Demi Menjamin Masa Depan Lebih Baik Buat Negara

9:48 PM 0 Comments A+ a-



BERI PELUANG KEPADA PAKATAN PEMBANGKANG BAHARU TERBENTUK DEMI MENJAMIN MASA DEPAN LEBIH BAIK BUAT NEGARA

Saya telah menghadiri Dialog Politik tentang Pembangunan Koalisi atau Pakatan di Malaysia anjuran Akademi Keadilan (ArK) dan Penerangan Keadilan pada Ahad 20 September lalu.

Ucaptama telah disampaikan oleh Presiden KEADILAN dan Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Pengarah Wilayah Asia Selatan dan Timur Friedrich Naumann Foundation (FnF), Siegfried Herzog. Manakala sesi dialog telah dimudahcara oleh Fuziah Salleh, Pengarah dan Pengasas Akademi Keadilan, Ahli Parlimen Kuantan dengan ahli-ahli panel terdiri daripada Rafizi Ramli, Setiausaha Agung KEADILAN, Ahli Parlimen Pandan; Moritz Kleine Brockhoff, Pengarah Projek FnF Malaysia, dan Dr Wong Chin Huat, Felo Penang Institute.

Pelaksanaan dialog ini amatlah tepat pada masanya ketika negara sedang menghadapi krisis keyakinan dan ketempangan kepimpinan di bawah Dato’ Seri Najib Tun Razak, di samping pakatan pembangkang diambang mengadakan rundingan meja bulat ke arah pembentukan pakatan pembangkang yang baharu.

Rakyat seolah-olah mencari penyelesaian dan cahaya harapan sama ada masih menaruh kepercayaan kepada pakatan BN dan Perdana Menteri yang diselubungi skandal demi skandal atau kepada pakatan pembangkang yang dianggap rapuh dan tiada kepimpinan.

Mungkin ada yang mengatakan dialog berkenaan agak terlambat kerana nasi sudah menjadi bubur apabila Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Namun saya tidak percaya begitu. Saya melihat ini adalah kesempatan keemasan untuk masing-masing parti politik pembangkang khususnya dan parti-parti pemerintah amnya, untuk melihat kembali dasar kewujudan pakatan.

Pergi kepada asas dan jawab soalan-soalan asas seperti kenapa perlunya pakatan, apakah perkara asas atau prinsip yang disetujui bersama, apakah had-had dalam pakatan dan apakah cabaran lalu yang boleh diambil pengajaran untuk diatasi.

Dengan erti kata yang lain, cari ruang persamaan dan ketepikan perbezaan dengan aspirasi menjayakannya atas sebab terpenting dan terutama.

Dalam menegaskan perkara ini, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden KEADILAN dan Ketua Pembangkang Malaysia dalam ucaptamanya ketika dialog mengatakan, untuk mencapai kemerdekaan negara malah untuk masa depan negara yang lebih baik, maka ia bergantung kepada "coalition based politics" atau politik berpaksikan pakatan/koalisi.

Menurutnya, pakatan politik yang tulen menuntut pembangunan kerjasama dan kesepakatan sebagai 'prinsip pertama politik'.

Ini bermakna polisi dan objektif bersama wajib mengatasi hairaki objektif dan ideologi parti masing-masing iaitu dengan mendahulukan kepentingan rakyat atau warganegara.

“Masa depan Malaysia akan dicorakkan oleh sejauh mana pimpinan parti-parti pembangkang memahami bahawa pakatan politik yang berkesan menuntut kesepakatan dan keanjalan yang dipasak kepada Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip demokrasi sejagat”, tambahnya lagi.

“Kita mesti mengatasi kepentingan sempit dan manfaatkan kebijaksanaan bersama daripada kekayaan pengalaman dalam pakatan”, katanya.

Apa yang diungkapkan oleh Dr Wan Azizah ini bukan bermakna beliau tidak memahami krisis politik dalaman parti atau menghargai pengorbanan dan usaha yang telah dilakukan oleh mana-mana parti atau tokoh parti, namun pada masa dan suasana sekarang, apa yang lebih penting ialah memenuhi harapan rakyat dan selamatkan Malaysia.

Benar, kita boleh lihat dan baca sendiri pelbagai pandangan yang dikeluarkan oleh PAS, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) tentang rundingan meja bulat tajaan KEADILAN tersebut.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan menegaskan tidak akan menghadiri rundingan meja bulat yang melibatkan DAP dan Amanah kerana menyifatkan persidangan tersebut diadakan dengan tergesa-gesa dan pihaknya belum mengadakan perbincangan dalaman mengenainya.

Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dilaporkan pernah menolak kemungkinan PAS bekerjasama dalam pakatan baharu pembangkang yang turut dibarisi Amanah dan DAP.

Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah pula dilaporkan berkata kerjasama melibatkan KEADILAN, DAP, Amanah dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang pro pembangkang, akan mempercepatkan lagi penubuhan muafakat baharu tanpa PAS.

Kemudian, Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP, Ramkarpal Singh pula dilaporkan berkata DAP tidak mahu menyertai projek Pakatan baharu jika PAS turut diajak menganggotainya. Namun menurut Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, DAP akan hadiri rundingan meja bulat apabila dijemput.

Walaupun kita hormati semua pandangan tersebut tetapi yang jelasnya semua pandangan ini dibuat secara berasingan dan mendahului rundingan meja bulat.

Apakah tidak mungkin sikap keterbukaan, keikhlasan, kehormatan dan berlapang dada dapat dizahirkan untuk menghadiri rundingan berkenaan? Untuk sekurang-kurangnya memberi peluang menyampai dan mendengar pandangan tanpa prasyarat dan syak wasangka yang menebal demi kepentingan rakyat dan negara?

Saya tahu ini tidak mudah tetapi ia tidak mustahil kerana ia pernah berjaya dahulu. Saya bangga dan kagum dengan mereka yang berjiwa besar, sabar dan sanggup ketepikan emosi dan sentimen.

Menurut Dr Wan Azizah, pakatan politik yang formal adalah lazim manakala pakatan sementara pilihan raya atau ‘electoral pact’ merupakan jenis kerjasama politik paling minimum. Ini bermakna jenis dan bentuk pakatan boleh dibincangkan dan diteliti dengan mengatasi apa-apa kekurangan dahulu.

Malah jika ditinjau jenis pakatan di negara Eropah khususnya Jerman, mereka sudah jauh lebih matang dari segi ‘berpakatan’ ini apabila boleh mewujudkan pakatan dengan anggota yang berbeza-beza di peringkat yang berbeza.

Memetik artikel yang pernah ditulis oleh Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera DAP; di Jerman, parti Canselor Angela Merkel, Christian Democratic Union (CDU) telah menubuhkan kerajaan pakatan dengan Social Democratic Party (SPD) di peringkat Persekutuan manakala blok pembangkang ialah Green Party dan Die Linke.

Namun, bentuk pakatan ini berbeza di peringkat Negeri. Di Negeri Brandenburg, SPD bergabung dengan Die Linke manakala di North Rhine-Westphalia, SPD berkongsi dengan Green Party. Lebih menarik lagi, di Hessen, CDU membentuk kerajaan pakatan dengan Green Party sedangkan kedua-dua parti lahir daripada ideology yang bertentangan.

Bagaimana ini boleh berlaku dan apakah ini boleh digunapakai di Malaysia?

Menurut Zairil, ini tidak pelik dan boleh berlaku kerana ia menggambarkan keperluan dan aspirasi peringkat wilayah dan politik yang berbeza-beza. Bukan sahaja negara maju seperti Jerman mengamalkannya tetapi negara-negara jiran kita seperti Indonesia dan Filipina juga turut mempraktikkan bentuk pakatan tersebut. Yang menggabungjalinkan atau meng’gam’kan mereka walaupun berbeza ideologi ialah kerana setiap pakatan bersifat sementara atau tidak tetap dan tertakluk oleh perjanjian persefahaman yang bertempoh.

Inilah juga yang dinyatakan oleh Seigfried Herzog, Pengarah Wilayah Asia Selatan dan Timur, FnF, ketika memberi ucaptama dalam Dialog Politik pada 20 September lalu.

Menurutnya, satu bentuk dokumen perjanjian diperlukan untuk memastikan kelestarian pakatan parti politik.

“Tanpa dokumen perjanjian itu, sesebuah pakatan tidak boleh dibentuk atau bertahan lama”, katanya.

Selain itu, tambahnya, parti-parti yang terlibat perlu bersetuju dengan tempoh masa untuk perjanjian dan struktur tatakelola pakatan berkuatkuasa.

Berpandukan di atas, saya boleh merumuskan syarat asas kepada sesebuah pembentukan pakatan atau gabungan seperti berikut:

Pertama, wujudnya terma rujukan atau dokumen asas perjanjian bertulis (semasa Pakatan Rakyat dahulu, ini ialah apa yang disebutkan sebagai dokumen Kerangka Polisi Bersama);

Kedua, wujudnya dasar dan prinsip bersama yang dipersetujui;

Ketiga, wujudnya struktur tatekelola pakatan termasuk kaedah pembuatan keputusan dan timbangtara yang jelas, dan

Keempat, wujudnya tempoh masa pakatan yang bersesuaian

Empat sahaja syarat asas tetapi setiap satunya membawa pemberat yang tinggi.

Justeru, dengan masa kurang daripada 24 jam antara tempoh artikel ini ditulis dan rundingan meja bulat pakatan pembangkang baharu, saya berharap di bawah kepimpinan Ketua Pembangkang Malaysia, Dato’ Seri Dr Wan Azizah dan dengan kehadiran pimpinan parti pembangkang tanpa syak wasangka atau prejudis serta kefahaman terhadap apa yang terpenting dan terutama, maka rundingan meja bulat dapat dijayakan demi kepentingan rakyat dan negara.
Saya akhiri dengan kata-kata penutup Dr Wan Azizah berikut:

"Lastly, we will only succeed if we apply humility, respect and sincerity as the tone of our approach to coalition building. We must go beyond narrow interest and use our collective wisdom from our rich political coalition experience.

On 22 September a round table meeting among key opposition parties may decide if it is a bloc, coalition, electoral pact or just a divided opposition.

On 22 September will be our moment of truth if we continue to deserve the support and mandate to lead all those that have shown what 'Yellow' is and what 'Red' is not.

On 22 September will be our day of reckoning if we move together towards a common future or remain stuck in a self-made political prison of the past.

Finally, a coalition by any name or configuration is just a means to an end which must be a Better Malaysia for All and I end with a quote from Anwar Ibrahim; “Let us put aside all other considerations and differences, and focus upon this great struggle to save Malaysia.”"

Semoga segala tindak tanduk kita diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah dan mendapat keberkatan dan rahmatNya sebagaimana Nabi merapatkan hubungan antara Auz dan Khazraj, antara Muhajirin dan Ansar.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat

21 September 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.