Maklumat Terkini Kejadian Rempuhan di Mina

10:59 PM 0 Comments A+ a-



MAKLUMAT TERKINI KEJADIAN REMPUHAN DI MINA

Bismillahirahmanirahim, Assalamulaikum WBT.

Rentetan daripada tragedi di Mina, saya ingin menyampaikan maklumat terkini mengenai kejadian tersebut. Setelah dibuat semakan di tujuh (7) maktab dan 15 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) dan TH Travel & Services Sdn Bhd, tiada jemaah haji yang terlibat dalam kejadian pada pagi tadi.


Saya ingin makkumkan bahawa jemaah haji Malaysia akan melaksanakan lontaran sesudah asar, iaitu pada jam 5.30 petang dan 8.00 malam nanti.

Kita mempunyai lapan pos peronda sepanjang terowong Muassim sehingga ke Jamarat dan petugas akan melaporkan maklumat terkini mengenai keadaan semasa di kawasan berkenaan.

Mengikut maklumat yang diterima sejak dari awal pagi, tiada jemaah haji negara ini yang tersasar daripada laluan ke Kompleks Jamarat. Pos-pos peronda ini telah diwujudkan sejak awal operasi Masyair lagi, dan bukannya semasa insiden ini berlaku sahaja.

Saya juga ingin menafikan berita kematian Allahyarhamah Puan Siti Haryati Shaikh Ali, yang disebarkan melalui viral dan media sosial yang dikaitkan dengan insiden rempuhan berkenaan. Allahyarhamah telah kembali ke rahmatullah akibat sesak nafas.

Setakat ini, sejumlah 16 kematian dilaporkan termasuk tujuh mangsa yang terlibat dengan insiden runtuhan kren. Kematian lain adalah diakibatkan oleh serangan jantung dan sebagainya.

Saya juga ingin tegaskan sekali lagi bahawa, laluan jemaah haji Malaysia ke Kompleks Jamarat adalah berbeza. Jemaah haji Asia Tenggara dan Turki berkongsi laluan yang sama. Jemaah Turki telah selesai melaksanakan ibadat melontar pada pagi tadi, cuma yang tinggal adalah jemaah yang melibatkan Indonesia dan Malaysia.

Kita mendoakan agar jemaah haji kita sentiasa dilindungi oleh Allah SWT dan menunaikan ibadat dengan selamat.

YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki,
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

24 SEPTEMBER 2015, JAM 3.40 PETANG


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.