Kenaikan Tol Lebuhraya Bandar Menyesakkan Golongan Pekerja - Mahfuz Omar

11:48 AM 0 Comments A+ a-



Kenyataan Media.

KENAIKAN TOL LEBUHRAYA BANDAR MENYESAKKAN GOLONGAN PEKERJA.

1. Kenaikan tol lebuhraya bandar yang akan bermula Khamis ini, 15 Oktober 2015 sangat tidak wajar ketika rakyat sedang menanggung beban sara hidup yang begitu tinggi. Kenaikan antara 17%-80% ini menyesakkan kehidupan kaum pekerja selepas mereka menghadapi sesak nafas akibat jerebu.

2. Kerajaan seperti tidak langsung mengambil kira masalah kehidupan rakyat bandar khususnya golongan pekerja yang sedang bergelut dengan kenaikan harga minyak, barangan, perumahan, kenderaan, GST dan lain-lain kos kehidupan yang ditanggung oleh rakyat. Kalau Kerajaan ambil kira sudah tentu Kerajaan tidak menaikan tol. Sudah tahu rakyat sedang memikul beban di bahu, Kerajaan sepatutnya membantu membuang sebahagian beban berat yang ditanggung itu, bukannya menambahkan lagi beban berat ke atas bahu rakyat.

3. Tindakan Kerajaan tidak ubah seperti penzalim yang menyeksa orang yang dizalimi tanpa ada rasa belas kesihan dan peri kemanusiaan.

4. Persoalannya, ke mana perginya janji Kerajaan yang berikrar menjelang PRU13 lepas untuk mengurangkan tol antara bandar? Ke mana hilangnya janji Kerajaan yang hendak runding semula perjanjian dengan syarikat konsesi tol? Kenapa dibiarkan perjanjian yang bersifat pro syarikat dan tidak pro pengguna? Apakah jika tidak dinaikkan tol dan tidak dibayar pampasan, syarikat konsesi akan bankrap?

5. Kerajaan memberi alasan adalah lebih baik wang pampasan diguna untuk pembangunan yang lain untuk membina hospital dan sekolah. PM menyatakan dengan GST Kerajaan boleh membina hospital, sekolah dan jalanraya. Kini Menteri Kerjaraya pula berkata dengan kenaikan tol, Kerajaan boleh bina hospital dan sekolah. Jadi Kerajaan hanya mampu bina sekolah dan hospital dengan menaikan tol dan kenakan cukai GST ke atas rakyat. Kerajaan begitu lemah dalam mencari sumber pendapatan bagi membangunkan negara tanpa membebankan rakyat.

6. Berhentilah membohongi dan menindas rakyat.Sebaliknya belanjawan negara perlu dibentangkan dengan kenaikan gaji kakitangan awam beserta peruntukan khas bayaran elaun tol bagi kakitangan awam di Lembah Klang bagi meringankan beban golongan pekerja yang terkepong pegerakan mereka dengan tol.

SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
13 Okt 2015/29 Zulhijjah 1436H



Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.