Ucapan Maal Hijrah 1437H - YB Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Ucapan Maal Hijrah 1437H
YB Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan rahmat dan inayahNya, dapat kita sekali lagi menyambut kedatangan Tahun Baru Hijrah 1437.
Mengambil ikhtibar daripada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan seluruh umat Islam di Malaysia supaya dapat bersama-sama memperbaiki dan menganjak kedudukan kita daripada yang baik kepada yang lebih baik.
Dalam usaha kita ke arah menjadi insan dan ummah yang diberi barakah dan dilimpahi dengan segala rahmatNya, marilah kita memperkukuhkan kesatuan hati sesama kita supaya terpancar sinar azimat yang menyuluh lorong-lorong perjuangan kita. Berazamlah untuk menjadi lebih baik dan jauhilah dari perkara-perkara yang membawa kepada kemungkaran.
Marilah kita bersama-sama mengamalkan sifat-sifat terpuji Rasulullah SAW iaitu Siddiq (Jujur), Amanah (Dapat Dipercayai), Tabligh (Menyampaikan) dan Fatonah (Cerdas). Oleh itu, jauhilah sifat-sifat tercela seperti berdusta, khianat, menyembunyikan kebenaran dan lemah fikiran yang merupakan sifat-sifat orang munafik.
Sebagaimana yang telah diperingatkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW;
“"Tanda orang munafik ada tiga: jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia ingkar, dan jika dipercaya (diberi amanah) dia berkhianat." (HR. Bukhari Muslim)
Oleh itu, raikanlah Maal Hijrah dengan penuh kesedaran dan kefahaman akan pentingnya penghayatan nilai-nilai murni keperibadian Rasulullah SAW dan perjuangan Baginda menegakkan Syiar Islam.
Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT semoga seluruh umat Islam di negara kita sentiasa dilimpahi rahmat Allah SWT dan Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera.
Kepada Allah kita berserah.
YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Sila kongsi artikel ini...