Pertemuan AMANAH dengan Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi dan Pimpinan Gerakan Islam - Salahuddin j Ayub

9:47 PM 0 Comments A+ a-



KENYATAAN MEDIA


PERTEMUAN AMANAH DENGAN PROF DR YUSUF AL QARADHAWI DAN PIMPINAN GERAKAN ISLAM


www.amanahnegara.org

1. Saya telah mengetuai misi antarabangsa Parti Amanah Negara (AMANAH) ke Doha, Qatar dan Istanbul, Turki dari 13 hingga 18 Oktober lalu. Misi ini bertujuan untuk memperkenalkan AMANAH di peringkat antarabangsa khususnya gerakan Islam.

2. Bersama saya ialah Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin selaku Timbalan Penasihat Umum AMANAH yang juga Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusof serta Bendahari Hj Asmuni Awi.

3. Semasa di Doha, Qatar pada 13 Oktober, kami telah mengadakan pertemuan dengan Prof Dr Ali Al-Qaradaghi selaku Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Islam Sedunia. Pertemuan hampir dua jam itu antaranya adalah untuk memaklumkan mengapa AMANAH perlu wujud di persada politik tanah air. Perbincangan kami berlangsung dalam suasana amat mesra dengan saling bertukar pandangan dan memperjelaskan beberapa isu yang dibangkitkan mengenai AMANAH.

4. Kami juga telah bertemu dengan Sheikh Dr Ibrahim Munir, Setiausaha Agung Ikhwanul Muslimin semasa di Istanbul, pada 16 Oktober. Di akhir pertemuan itu, beliau telah mencadangkan agar digerakkan usaha mencapai persefahaman dalam bidang siasah di kalangan parti politik termasuk PAS, agar politik Islam dapat diperkukuhkan di Malaysia khususnya dan dunia amnya.

5. YB Dato' Dr Mujahid Yusuf pula ketika dalam perjalanan pulang dari Istanbul telah bertemu sendiri dengan Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi di Doha, Qatar pada 17 Oktober dengan membawa mesej yang sama. Dalam pertemuan itu tidak disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain daripada PAS. Bahkan kami berbincang perkara prinsip tentang kejelasan fikrah Islam, kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal ISIS atau seumpamanya. Lalu Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi menyokong usaha untuk membetuli salah faham ini di kalangan pengamal politik Islam.

6. Saya sebagai mewakili AMANAH menegaskan bahawa kami bersedia dan sentiasa terbuka untuk bertemu, dan komited untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi kepentingan perjuangan Islam dan ummah seluruhnya.

8. AMANAH juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada tokoh-tokoh ulamak dan gerakan Islam tersohor dunia yang menunjukkan sikap terpuji dengan mengambil pendekatan terbuka, dan memberi peluang untuk berbincang dengan AMANAH dan bukan mengambil pendekatan mencerca ataupun menghukum sewenang-wenangnya.

"Harapan Baru"

SALAHUDDIN HJ AYUB
Timbalan Presiden AMANAH
19 Oktober 2015


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.