Usul yang membenamkan imej PM - Tuan Ibrahim Tuan Man
Usul yang membenamkan imej PM
Ini kali pertama dalam sejarah politik negara, bilamana usul undi tidak percaya dibawa ke Parlimen bagi menyatakan isi hati rakyat terhadap kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Usul ini boleh diterjemahkan sebagai kekecewaan rakyat terhadap PM dalam mengurus isu utama seperti 1MDB, terasa tertipunya dengan penjelasan derma dana RM2.6 Billion dalam akaun peribadi PM, gaya kehidupan mewah serta kegagalan kerajaan mendengar rintihan rakyat berhubung imej negara yang semakin dikertawakan, bebanan kos hidup yang ditanggung seperti cukai GST, kenaikan tol terlampau dan kejatuhan nilai ringgit.
Usul ini agak sukar untuk diberi kebenaran oleh speaker sebagaimana jangkaan umum. Walaupun demikian, usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, samada diterima untuk dibahas atau tidak, telah membenamkan imej Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan yang semakin ditolak rakyat.
Usul ini tidak akan dibawa seandainya beberapa kritikan pelbagai pihak dapat ditangani oleh PM sebelum ini.
Namun, hakikatnya kegagalan kerajaan hari ini ini bukan hanya terletak di atas bahu PM sahaja kerana sebagai sebuah pasukan pentadbiran semua ahli kabinet seharusnya bertanggungjawab. Memandangkan kebanyakan fokus terletak pada isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion, maka semua ahli kabinet kelihatan semua berlepas tangan dan membiarkan PM keseorangan kerana tiada siapa selain PM sahaja yang tahu skrip atau jawapan sebenar kepada 1MDB dan dana derma RM2.6 bilion. Tidak mengejutkan jika ramai ahli BN yang bakal menyokong usul ini untuk menyelamatkan diri dan parti daripada terus dicemari pelbagai skandal PM sekiranya usul ini dikemukakan.
Isu usul tidak percaya terhadap PM telah menyebabkan timbulnya pelbagai pandangan di kalangan pembangkang. Apakah perlu menukar PM sekarang atau menuntut perubahan parti yang menerajui kerajaan ini ditukarkan secara demokratik melalui pilihanraya ke 14 nanti? Siapa yang bakal mengganti PM sekiranya usul ini berjaya?
Keuntungan yang menyebelahi pembangkang dan kerosakan terhadap Malaysia sekiranya Umno-BN terus diterajui PM menjadi pertimbangan khusus di minda semua ahli parlimen termasuk BN. Namun, umum juga mengetahui, asalkan Umno-BN yang memerintah, segala permasalahan negara tidak akan selesai malah akan bertambah.
Dalam masa kita menanti perkembangan usul undi tidak percaya terhadap PM, usul ini akan terus dibahas dan dibincang secara awam. Walaupun kemungkinan besar usul ini tidak berjaya di parlimen, tapi saya percaya usul ini sudah berjaya mencapai matlamatnya di mahkamah rakyat.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
19 Oktober 2015
Sila kongsi artikel ini...