Mengenali Negara China - Mohammad Agus Yusoff
MENGENALI NEGARA CHINA
Pada 4 Jun 1989, berlaku protes rakyat yang dipimpin mahasiswa di Lapangan Tiananmen 1989 yang mengorbankan 3000 penunjuk perasaan.
Tunjuk perasaan ini adalah disebabkan oleh perasaan tidak puas hati mahasiswa ke atas kematian Hu Yaobang, bekas setiausaha agung parti komunis China yang dipaksa mengundurkan diri oleh Deng Xiaoping, pemimpin China waktu itu.
Mahasiswa melihat pemecatan Yaobang dan kemudiannya kematian beliau sebagai tidak adil kerana beliau adalah seorang pemimpin liberal yang memperjuangkan perubahan kepada politik China.
Tragedi ini mengundang perhatian dunia.
Dan selepas tragedi inilah, saya pertama kali ke negara China pada tahun 1991 bersama dengan rombongan dari Jabatan Sains Politik, UKM.
Sejak ke negara ini, hati saya tertarik untuk mempelajari banyak hal tentang perkembangan politik dan ekonominya.
**********************************
Negara China ini luas wilayahnya— negara keempat terbesar di dunia selepas Rusia, Kanada dan AS, mempunyai 23 provinsi, lima wilayah autonomi (Guangxi, Inner Mongolia, Ningxia, Xinjiang, Tibet), empat bandar kota (Beijing, Chongqing, Shanghai, Tianjin) dan dua wilayah istimewa Hong Kong dan Macau.
Sepuluh bandar terbesar di negara China yang mempunyai penduduk paling ramai ialah Shanghai (24 juta), Beijing (20 juta), Tianjin, Guangzhou; Shenzhen; Dongguan; Chengdu; Hong Kong; Nanjing; dan Wuhan.
Alhamdulillah, saya sudah berkesempatan melawat beberapa bandar terbesar di negara China ini. Cuma saya belum ke wilayah pedalaman dan berhasrat sekali untuk melakukannya kemudian, jika ada kekuatan dan kesempatan.
Mengapa China?
China merupakan negara yang mempunyai seramai 1.37 bilion orang—teramai di dunia. Satu perlima daripada penduduk dunia menetap di negara ini dengan kadar kelahiran ialah 35 orang bayi bagi setiap minit.
Maka, saya tertarik untuk mengenali negara ini bagi mempelajari caranya menguruskan kepelbagaian 55 kumpulan besar etniknya.
Pendapatan kapita rakyat China adalah USD$13,900, lebih kurang sama dengan negara kita. Namun, dari segi penjagaan kesihatan, pendidikan, dan teknologi, negara ini jauh lebih maju dari negara kita. Misalnya, jangka hayat penduduk China ialah 71.8 tahun pada 2012, meningkat dari hanya 35 pada awal liberalisasinya pada tahun 1949.
Ekonomi China pula meningkat dari hanya $128 billion pada tahun 1980 kepada $745 billion pada tahun 1998. Hari ini ekonomi China sudah menjadi kedua terbesar di dunia selepas AS dengan pertumbuhan GNPnya sebanyak 11% setahun.
Hanya 10% sahaja dari keluasan tanahnya yang sesuai untuk pertanian. Begitupun, China dapat membekalkan 25% daripada keperluan makanan kepada penduduk dunia. Ini berbeza dengan negara kita yang mempunyai tanah pertanian yang luas dengan hanya 29 juta penduduk, tetapi masih bergantung keperluan makanannya kepada negara luar.
Adoi, menariknya mengenali negara China. Banyak yang boleh dipelajari dari negara ini.
*Foto ini saya ambil di Shanghai pada 17 November 2015.
Sila kongsi artikel ini...