Saya ada terbaca kenyataan daripada Pegawai Hal Ehwal Parlimen PAS mengenai definisi Ponteng Sidang Parlimen. - Ahmad Anwar Asyraf

12:34 AM 0 Comments A+ a-



Tulisan Umum
7 Disember 2015

Saya ada terbaca kenyataan daripada Pegawai Hal Ehwal Parlimen PAS mengenai definisi Ponteng Sidang Parlimen. Penuh tekun beliau menulis panjang lebar. Saya menghargai usaha beliau memberikan penjelasan.


Pertama beliau memberikan hujah perbandingan dengan seorang pensyarah universiti dan Ahli Parlimen yang berstatus Menteri Besar. Hujahnya itu longgar. Pensyarah itu membatalkan kelasnya kerana hadir kursus atas urusan rasmi atau tugas hakikinya sebagai seorang pensyarah. Begitu juga Ahli Parlimen berstatus Menteri Besar kerana mereka mempunyai tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negeri dan juga jemaah Eksekutif Negeri.

Hujah dangkal ini berbeza dengan ketidakhadiran seorang Ahli Parlimen yang sibuk dengan tugas luaran yang bukan hakiki seorang wakil rakyat.

Hujah kedua pula adalah mengenai takwim. Memang tarikh dan masa pengundian akan dibuat tidak ada dinyatakan. Itu saya tidak nafikan. Tetapi sebagai seorang Ahli Parlimen seharusnya beliau mengutamakan ruang masa untuk berada di Parlimen berbanding di tempat lain.

Memang kebiasaannya, pengundian adalah menggunapakai majoriti suara tetapi belah-bahagian biasanya dibuat dalam satu Rang Undang-Undang Kontroversi. Kerana itulah, ia sering menggamit perhatian warga netizen.

Untuk mengatakan ada Ahli Parlimen yang hanya muncul ketika pengundian tetapi ghaib semasa perbahasan hanya menampakkan kedangkalan Pegawai ini. Saya ingin bertanya kepada tuan Pegawai ini, pernahkah berlaku setiap Ahli Parlimen diberikan masa untuk berbahas dalam satu-satu perkara? Jika ada, berapakah kekerapan?

Saya rasa semua orang faham mengenai masa yang terhad dalam setiap prosiding mesyuarat Dewan. Tidak akan mungkin semua orang akan mendapat peluang untuk berbahas. Tetapi Ahli Parlimen itu tidak culas untuk hadir mengundi. Biarpun menyokong atau menolak mahupun berkecuali. Ahli Parlimen itu tetap hadir menjalankan tugas hakikinya sebagai Ahli Parlimen.

Seterusnya, saya tidak nampak kewajaran tuan Pegawai ini menceritakan mengenai handphone jenis lama yang dipakai oleh Presidennya itu. Adakah kerana memakai handphone jenis lama itu membuatkan Presidennya boleh tidak hadir ke Parlimen?

Begitu juga dengan hujah membaca dan menulis. Bagus sekali, Presidennya gemar membaca dan menulis. Tetapi janganlah pula kerana asyik membaca dan menulis sehingga terlupa untuk datang ke Parlimen.

Paling seronok hujah Tuan Pegawai bahawa Tuan Presidennya sangat sibuk ke luar negara menyampaikan ucapan di persidangan tahunan peringkat antarabangsa di Turki, mengadakan pertemuan rasmi dengan Mufti Kerajaan Oman, dan menghadiri Mesyuarat Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Syeikh Yusof Al Qardhawi.

Satu soalan yang ingin kemukakan adalah jika Tuan Presiden terlalu sibuk dengan tugas luaran, mengapa tidak mahu mengikut jejak Rachid Ghanoushi? Tidak memilih untuk bertanding di dalam Pilihanraya sebaliknya menumpukan usaha menjadi "spiritual leader" partinya dan juga seperti Syeikh Yusof Al Qardhawi yang menumpukan usaha dalam Kesatuan Ulama.

Ini juga lebih adil bukan sahaja untuk kegiatan dan pengukuhan dakwah Islam malah ia juga adil kepada pengundi Parlimen Marang yang telah mengundi Tuan Presiden untuk menjadi wakil mereka di Dewan Rakyat. Melainkan Tuan Presiden merasakan bahawa Parlimen Marang ini terletak di Turki atau Oman atau di mana-mana negara lain di dunia dan bukannya di Terengganu.

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda SAMM


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.