Saman-Saman Aes Digantung Tidak Bertali, Sampai Bila? - Zulhazmi Shariff
SAMAN-SAMAN AES DIGANTUNG TIDAK BERTALI, SAMPAI BILA?
19 Januari 2016, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Low Tiong Lai memaklumkan pemberita bahawa Kementeriannya akan mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara dan kemudiannya mencadangkan kepada Jemaah Menteri berkaitan status saman-saman AES yang telah dikeluarkan sejak September 2012. Low berkata Jemaah Menteri yang akan memutuskan samada penerima saman harus membayar saman-saman AES atau sebaliknya.
Perlu diambil perhatian bahawa sejak 18 Disember 2012, Peguam Negara telah menggantung semua prosiding AES di mahkamah dan masih berterusan sehingga hari ini. Dalam masa yang sama juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih mengeluarkan saman-saman AES sedangkan saman-saman tersebut tidak mempunyai kuatkuasa kerana prosidingnya digantung oleh Peguam Negara.
Akibat penerusan perlaksanaan dan pengeluaran saman AES walau pun prosidingnya ditangguh, JPJ menghadapi masalah lambakan saman AES yang tidak mempunyai nilai kuatkuasa tetapi dalam masa yang sama mengugut penerima saman supaya membayar kompaun. Sehinggi kini dilaporkan sebanyak lebih kurang 1.91 juta saman telah dikeluarkan yang mana tidak sampai 300 ribu saman yang dijelaskan. Bermakna terdapat lambakan lebih kurang 1.5 juta saman.
Sekarang setelah Kementerian Pengangkutan bertukar menterinya dari seorang ke seorang, isu lambakan saman masih tidak selesai. Yang menanggung akibatnya ialah pengguna jalanraya yang masih terpinga-pinga apakah status saman AES yang mereka terima. Sekejap akan diberikan diskaun, sekejap dicadangkan akan dilupuskan, sekejap begitu, sekejap begini.
JPJ mencipta saman tetapi pengguna yang perlu menyelesaikan sedangkan dari mula lagi saman-saman tersebut tidak perlu kerana prosidingnya telah ditangguh. Sampai bila perkara ini hendak dibiarkan berterusan? Sampai bila isu ini hendak dibebankan kepada pengguna?
Kami, Sekretariat Protes AES (ProtAes) mendesak Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pengangkutan membatalkan dan melupuskan semua saman-saman AES yang telah dikeluarkan selama ini.
Kami seterusnya mendesak Kerajaan Malaysia mendedahkan apakah terma-terma yang dimasuki di antara Kerajaan dengan syarikat pengendali baru AES iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad.
Jangan berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi untuk menutup perbuatan menindas rakyat.
JANGAN BAYAR SAMAN AES ANDA.
ZULHAZMI SHARIFF.
Sekretariat ProtAes
21 Januari 2016
Sila kongsi artikel ini...