Pengubahsuaian Bajet 28 Januari 2016 - Tuan Ibrahim Tuan Man

7:19 AM 0 Comments A+ a-



Pengubahsuaian Bajet 28 Januari 2016

Penggantungan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar universiti di peringkat sarjana muda dan bursari untuk pelajar program pra-universiti bagi tahun 2016 telah memberi bayangan bahawa pengubahsuaian bajet yang akan dibentang oleh PM pada 28hb Jan nanti akan hanya menambahkan tekanan kepada kehidupan rakyat.

Kerana boros dan juga tidak pandai mengurus kewangan negara, terutamanya sedekad yang lalu ini, kerajaan kini benar-benar bergantung kepada GST sebagai sumber negara selepas keruntuhan harga minyak sedunia yang menyebabkan sumbangan Petronas terus meruncing.

Langkah menyusun semula belanjawan negara mesti dilakukan. Cuma rakyat terkejut dengan pengumuman awal mengenai penggantungan biasiswa JPA dan juga kemunculan AES, yang bakal menjadi galang ganti kepada kadar GST tidak dinaikkan.

Rakyat sangat mengharapkan agar PM mengambil tindakan drastik mengurangkan ‘kos sara kerajaan’ terlebih dahulu. Oleh itu, PM mesti menunjukkan teladan dengan menghentikan sikap boros beliau dan keluarga yang menjadi buah mulut rakyat.

PM juga perlu menyemak fungsi yang bertindih antara kementerian dan agensi kerajaan. Sebagai contoh – terdapat enam agensi penguatkuasaan di atas jalan raya - polis, JPJ, SPAD, PUSPAKOM, Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran. Peranan PUSPAKOM yang boleh diserahkan kepada JPJ adalah antara contoh yang boleh diteliti kembali.

Sekurang-kurangnya rakyat mengharapkan PM akan memotong belanjawan Jabatan Perdana Menteri dan mengurangkan saiz kabinet mengikut keperluan bukan lagi berdasarkan tuntutan parti komponen BN.

Antaranya, PM diseru untuk menamatkan jawatan Penasihat Khas bagi beliau yang bertaraf menteri, termasuk 4 hingga 8 pegawai dan pembantu yang diperuntukan kepada setiap satu. Mereka adalah:

Datuk Seri Dr Abdullah Bin Md Zin, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri;
Datuk Seri Zainal Abidin bin Osman, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Mengenai Wilayah Ekonomi Koridor Utara;
Tan Sri Datuk Seri Utama Rais Yatim, Penasihat Hal Ehwal Social dan Kebudayaan kepada Kerajaan Malaysia;
Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China;
Datuk Seri Tiong King Sing, Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur merangkumi Jepun, Korea Selatan dan Taiwan;
Datuk Seri S. Samy Vellu, Duta Khas ke India dan Asia Selatan Dalam Bidang Infrastruktur;
Datuk Seri Shahrizat Binti Abdul Jalil, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita;dan
Datuk Seri Shaziman Bin Abu Mansor, Penasihat Perdana Menteri
PM patut melaksanakan nasihatnya kepada kabinet agar mereka bijak dan berhemah dalam membelanjakan peruntukan kerajaan pada dirinya dahulu.

Bayangkan kehampaan yang dirasai rakyat apabila mendengar berita PM terus memperkenalkan polisi yang menekan mereka dengan penggantungan biasiswa JPA dan pengenalan semua AES.

Rakyat menaruh harapan tinggi pada pengubahsuaian bajet yang bakal diumumkan 28hb Januari ini. Namun, nampaknya rakyat kena bersedia terus dihampakan jika keputusan menggantung biasiswa JPA dan juga membawa kembali AES dijadikan ukuran.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
21 Januari 2016


Sila kongsi artikel ini...

Recent Posts Widget

.

.