“1MDB menyambut baik kenyataan yang jelas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang mengesahkan bahawa tiada dana daripada 1MDB dipindahkan kepada Perdana Menteri.
Kami sentiasa menyatakan bahawa syarikat tidak pernah memberikan sebarang dana kepada Perdana Menteri seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan media pada 3 Julai 2015, dengan keyakinan bahawa kebenaran akan terbukti.
Bagi berterusan menyatakan sebaliknya, seperti yang dilakukan oleh setiausaha agung PKR Rafizi Ramli dalam blognya semalam, merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan merupakan percubaan secara sengaja untuk menjejaskan syarikat.
Ini meskipun 1MDB telah mengeluarkan ringkasan penggunaan hutang RM42 bilion tersebut pada 3 Jun 2015, yang merupakan maklumat yang didedahkan di dalam akaun diaudit 1MDB dan boleh diperolehi umum, daripada 31 Mac 2010 hingga 31 Mac 2014.
Sekali lagi kami berkongsi di sini dua infografik ringkasan tersebut.”
- Arul Kanda, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan


SPRM TAHAN SEORANG AHLI LEMBAGA PENGARAH BANTU SIASATAN 1MDB
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang lelaki yang merupakan ahli lembaga pengarah syarikat pembinaan semalam. Dia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini. Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini.
Lelaki ini ditahan berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas, yang terdiri daripada SPRM, Bank Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, berkaitan isu 1MDB.
Siasatan ke atas lelaki ini dijalankan mengikut Akta SPRM 2009.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
21 JULAI 2015
s
Kenyataan Media oleh 1Malaysia Development Berhad
Dikeluarkan pada 20 Julai 2015
Untuk siaran segera
Laporan tidak bertanggungjawab
1MDB mengambil maklum berbagai dakwaan dan kenyataan tidak berasas yang disiarkan oleh The Edge Financial Daily hari ini.
Kami tidak menyangka dakwaan-dakwaan lapuk dan tidak terbukti ini dipergunakan sekali lagi, sedangkan beberapa siasatan serentak kini sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkenaan isu-isu yang ditimbulkan sebelum ini.
Mana-mana pihak yang boleh membantu para penyiasat patut berbuat demikian di bawah peruntukan undang-undang, tanpa perlu membuat laporan yang tidak bertanggungjawab dan disensasikan.
1MDB mengulangi keyakinan kami di dalam proses wajar seperti yang dibuktikan oleh siasatan yang sedang dijalankan secara profesional dan teliti oleh pihak berkuasa.
1MDB berikan kerjasama penuh kepada Pasukan Khas
Kami mengesahkan bahawa beberapa orang pegawai daripada Pasukan Khas yang sedang menjalankan siasatan terhadap 1MDB, telah hadir ke pejabat kami hari ini. Mereka dibekalkan dengan beberapa dokumen dan barangan untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
1MDB memberikan sepenuh kerjasama kepada Pasukan Khas ini dan semua pihak berkuasa yang berkenaan. Kami menekankan kedudukan kami sebelum ini bahawa jika terdapat sebarang salah laku, tindakan harus diambil oleh pihak berkuasa yang berkenaan, mengikut proses yang wajar dan mengikut undang-undang negara.
1MDB
8 julai 2015