Showing posts with label GHB. Show all posts
Showing posts with label GHB. Show all posts

GHB Perak: Rombakan Bersifat Peribadi, Tidak Selesaikan Masalah Negara dan Rakyat



KENYATAAN MEDIA
PEMUDA HARAPAN BARU NEGERI PERAK
29 JULAI 2015

ROMBAKAN BERSIFAT PERIBADI, TIDAK SELESAI MASALAH NEGARA DAN RAKYAT

Pemuda Harapan Baru Negeri Perak menegaskan tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak merombak Kabinet Menteri Malaysia tidak menyelesaikan permasalahan negara.

Tindakan tersebut hanya bersifat menyelesaikan masalah peribadi beliau yang semakin terancam apabila terpalit dengan pelbagai skandal dan kepincangan dalam pemerintahannya.

Ini kerana pimpinan Umno dan orang kanan beliau sendiri semakin berani dalam mempertikai serta mempersoal salah laku yang dikaitkan keatasnya termasuklah isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perlantikan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat bukanlah atas dasar kepentingan rakyat, ini kerana timbalan perdana menteri sebelum ini tidak dipersoalkan akan prestasinya oleh mana-mana pihak.

Kami sangat kesal kerana Najib hanya mementingkan kepentingan peribadinya berbanding kepentingan rakyat yang kini semakin dihimpit dengan kos sara hidup.

Pemuda Harapan Baru Negeri Perak yakin rombakan yang dilakukan oleh Najib tidak mendapat sokongan daripada rakyat sebaliknya telah memberi gambaran bahawa Najib sanggup membuat apa sahaja demi mempertahankan kedudukannya.

Rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana sedang berhempas pulas menjalani kehidupan dalam keadaan sangat terhimpit dan terbeban.

Ini disebabkan tindakan kerajaan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mendorong kepada kenaikan hampir ke semua perkara disamping menaikkan harga petrol dan sebagainya.

Kerajaan yang ada pada hari ini telah terbukti tidak mampu memperjuangkan nasib rakyat serta menstabilkan ekonomi negara, ini kerana pemimpin termasuklah Perdana Menteri hanya 'bekerja keras' untuk memastikan mereka terus mencengkam pentadbiran negara.

Kami menegaskan, permasalahan negara dan rakyat hanya mampu diselesaikan dengan pembentukan satu kerajaan baharu kerana BN sudah lagi tidak relevan untuk memimpin negara.

Kami menolak sekeras-kerasnya tindakan Perdana Menteri ini oleh kerana berpandangan ia dilakukan bukanlah bermatlamat menyelesaikan masalah negara dan rakyat.

Oleh yang demikian, Pemuda Harapan Baru Negeri Perak mendesak Najib untuk membubarkan parlimen secepat yang mungkin bagi menghadap rakyat dalam pertarungan pilihan raya. Rakyat sudah tidak sabar untuk menghukum BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)!

‪#‎HarapanBaru‬ : Amanah.Progresif.Peduli

USTAZ MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR
Ketua Pemuda
Harapan Baru Negeri Perak

--

Kenyataan Media GHB: Himpunan Anak Muda Selamatkan Malaysia



Kenyataan Media

29 Julai 2015

HIMPUNAN ANAK MUDA SELAMATKAN MALAYSIA

Ketidaktentuan negara rentetan jenayah kewangan paling dahsyat sejak kemerdekaan negara, skandal 1MDB yang kekal tidak terjawab serta tindakan balas Perdana Menteri memecat YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara serta beberapa anggota kabinet yang kritikal terhadap isu 1MDB telah meletakkan negara dalam keadaan bermasalah dan berisiko besar untuk hilang kepercayaan warga dunia. Situasi ini tidak hanya akan memberikan impak yang buruk kepada ekonomi, malah turut menjejaskan prioriti bernegara memandangkan perseteruan antara kedua-dua kem tertinggi parti pemerintah dilihat akan berlarutan dan meletakkan rakyat sebagai taruhan yang akan tersepit di tengah-tengah kemelut ini.

Anak Muda Harapan Baru melihat bahawa pihak yang paling banyak terkesan daripada kemelut ini ialah anak muda. Dalam keadaan ekonomi yang sedia 'sakit' lama sebelum krisis politik ini yang telah pun menjerut leher anak-anak muda untuk survive dalam kehidupan seharian, ianya bertambah perit apabila negara dirundung malapetaka konflik yang pastinya melebarkan lagi kesusahan dan keperitan anak-anak muda akibat prioriti pemimpin-pemimpin politik yang pastinya dihalakan untuk 'membunuh' seteru masing-masing.

Konflik pertembungan politik ini seakan-akan melengkapkan kitaran pembulian kepada rakyat setelah kerajaan dengan penuh zalim memaksa rakyat terbanyak membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah semua sedia maklum menjadi punca segala kenaikan kos kehidupan yang telah menyempitkan hela nafas anak-anak muda khususnya di kawasan-kawasan bandar. Hal itu belum termasuk ura-ura kenaikan harga minyak yang diramalkan berlaku sekitar Ogos dan September ini.

Jalan yang terbaik untuk menamatkan kemelut ini dan memangkin keyakinan warga dunia kepada Malaysia ialah Peguam Negara yang baru perlu meneruskan pendakwaan ke atas Perdana Menteri. Beliau perlu membuktikan kewibawaan beliau sungguhpun kita akui amat mustahil Peguam Negara yang 'direstui' Perdana Menteri ini untuk mengheret Dato' Sri Najib Tun Razak ke muka pengadilan.

Kegilaan melantik anggota PAC sebagai Menteri bagi mengendurkan siasatan ke atas 1MDB, pemecatan tiba-tiba Peguam Negara yang membelakangkan Perkara 145 (6) Perlembagaan Persekutuan, memecat Timbalan Perdana Menteri yang bersuara atas jenayah yang berlaku merupakan tindakan-tindakan yang cenderung mewujudkan culture of fear kepada rakyat. Seolah-olah kedudukan Perdana Menteri sentiasa betul, tidak pernah salah dan sentiasa perlu dituruti sekalipun curang dalam menggalas amanah.

Anak Muda Harapan Baru merasakan bahawa keadaan negara tidak boleh berterusan begini lagi. Satu tindakan tuntas perlu dilakukan. Lantas pada 8 Ogos 2015, Anak Muda Harapan Baru akan menggerakkan 'Himpunan Anak Muda Selamatkan Malaysia'. Himpunan ini bertujuan mengumpulkan suara ramai generasi muda dalam memulihkan kembali keadaan negara yang telah rosak akibat tangan-tangan kotor orang politik.

Justeru satu jelajah akan diadakan ke negeri-negeri dalam usaha meningkatkan penglibatan segenap segmen anak muda untuk hadir dalam himpunan tersebut. Jelajah yang dijadualkan bermula di Pantai Timur itu nanti diharapkan bakal memuncak dengan kehadiran seramai mungkin anak muda untuk bersuara dalam himpunan 8 Ogos itu nanti.

SANY HAMZAN
Penyelaras Anak Muda
Gerakan Harapan Baru











--

Mohd Fitri Bin Asmuni: Adakah dengan rombakan Kabinet dan penamatan perkhidmatan AG tersebut, kedudukan Najib akan bertambah kuat dan skandal 1MDB akan senyap begitu saja?



1. Pengguguran Muhyiddin Yassin dan Mohd Syafie Apdal adalah untuk menutup mulut mereka dari mengkritik Najib Razak secara terbuka terhadap skandal 1MDB;

2. Penamatan perkhidmatan Ghani Patail sebagai AG secara tergesa-gesa adalah cubaan untuk menghalang Najib Razak daripada didakwa kerana 1MDB;


3. Perlantikan Mahadir Khalid dan Mohd Johari Baharum ke dalam Kabinet adalah untuk mengimbangi pengaruh Mukhriz Mahathir di Kedah yang berdiri di belakang Tun Mahathir menentang skandal 1MDB;

4. Perlantikan Azalina Othman ke dalam Kabinet adalah untuk mengimbangi sokongan UMNO Johor kepada Najib yang goyang kerana skandal 1MDB;

5. Perlantikan Mas Ermieyati Samsudin dalam Kabinet adalah untuk memperkukuhkan sokongan puteri UMNO kepada Najib daripada skandal 1MDB;

6. Perlantikan Nur Jazlan, Reezal Merican Naina Merican, Mas Ermieyati Samsudin dan Wilfred Madius Tangau yang merupakan ahli PAC ke dalam Kabinet adalah cubaan untuk melengah-lengahkan inkuiri terhadap 1MDB.

Kesimpulan:

Rombakan Kabinet Najib Tun Razak bukanlah untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap Kabinet dan pentadbiran Najib Tun Razak, sebaliknya untuk mengukuhkan sokongan terhadap Najib sendiri serta sebagai langkah untuk memadamkan skandal 1MDB daripada dipersoalkan.

Persoalannya, adakah dengan rombakan Kabinet dan penamatan perkhidmatan AG tersebut, kedudukan Najib akan bertambah kuat dan skandal 1MDB akan senyap begitu saja?

Jawapannya tidak, bahkan rakyat akan lebih bersatu untuk terus mendesak agar Najib meletakkan jawatan atau satu gelombang rakyat akan berlaku tidak lama lagi.

Kalau sebelum ini kita ada PKR, DAP, PAS dan BERSIH tetapi sekarang kita ada GHB, PKR, DAP, Ikatan, (insyallah PAS), BERSIH, Negaraku, NGOs, Tun Mahathir, TS Muhyiddin Yassin, Tun Musa Hitam, Ghani Patail, Syafie Apdal dan seluruh rakyat tidak mengira kaum, bangsa dan politik akan bersama-sama di gelombang menentang kezaliman toghut Najib Tun Razak dan sekutu-sekutunya.

Mohd Fitri Bin Asmuni


--

GHB Selangor: Jangan Jejaskan Siasatan Ke Atas Kes 1MDB



JANGAN JEJASKAN SIASATAN KE ATAS KES 1MDB

1. Rombakan anggota Kabinet Kerajaan Persekutuan dilihat sangat berkait rapat dengan lapuran salahlaku melibatkan dana 1MDB oleh pemimpin tertinggi negara. Walaupun rombakan tersebut merupakan prerogatif Perdana Menteri, tetapi kaitannya dengan kes siasatan 1MDB menimbulkan persepsi buruk terhadap ketelusan dan tadbirurus pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Kenyataan bekas TPM, Datuk Seri Muhyidin Yasin, hari ini secara tidak langsung mengaitkan pemecatannya dengan isu 1MDB.


2. Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abd Ghani Patail, juga telah ditamatkan perkhidmatan ketika beliau sedang terlibat di dalam pasukan yang menyiasat lapuran salahlaku melibatkan dana 1MDB. Pemberhentiannya dibuat pada hari yang sama rombakan kabinet dibuat. Penggantinya pula dikenalpasti sebagai seorang yang partisan dan pernah memegang jawatan dalam parti politik pemerintah. Ini amat menggusarkan rakyat.

3. Rakyat mesti menuntut agar siasatan ke atas salahlaku dan penyelewangan melibatkan dana 1MDB tidak terjejas dan dikompromi akibat rombakan dan pemberhentian ini.

4. Setelah penggantungan akhbar yang mendedahkan salahlaku dan penyelewengan ini dibuat, penyingkiran anggota-anggota kabinet yang dilihat menuntut ketelusan dalam siasatan, dan pemberhentian seorang anggota pasukan penyiasat kes 1MDB ini berlaku maka tahap kepercayaan rakyat terhadap wibawa siasatan ini sudah terjejas teruk.

5. Maka itu kami menuntut agar perkara-perkara berikut dilaksanakan:

i) Perdana Menteri bercuti sehingga siasatan 1MDB selesai dan satu Suruhanjaya Diraja yang bebas dibentuk bagi menyiasat kes 1MDB.

Atau;

ii) Satu usul undi tidak percaya diusulkan di Parlimen Malaysia ke atas Perdana Menteri bagi membolehkan Kerajaan Peralihan dibentuk sehingga Pilihanraya Umum Ke-14 akan datang.

Sekian.
Amanah. Progresif. Peduli

Ir Izham Hashim
Penyelaras
Gerakan Harapan Baru
Negeri Selangor.

28 Julai 2015
12 Syawal 1436H.

 



--

Undi Tidak Percaya Terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak Ke Arah Penubuhan Kerajaan Peralihan (“Transition Government”)



UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK KE ARAH PENUBUHAN KERAJAAN PERALIHAN (“TRANSITION GOVERNMENT”)


Sejak pendedahan-pendedahan mengenai keterlibatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berhubung tuduhan salahlaku pengurusan dana 1MDB dibuat, seluruh negara menjadi mangsa apabila urusan pentadbiran dan pembangunan dikorbankan demi percaturan politik beliau.

Keadaan menjadi parah kebelakangan ini sejak pendedahan Wall Street Journal (WSJ) mengenai pemindahan wang sejumlah RM2.6 bilion ke akaun yang dituduh milik peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Beberapa minggu ini, seluruh negara diheret dengan pelbagai desas-desus pergolakan politik dalaman Umno seperti berikut:

1. Perpecahan dalaman di dalam Pasukan Petugas Khas (“Special Task Force”) yang diamanahkan menyiasat penglibatan Perdana Menteri kepada dua kumpulan – satu yang ingin menyelamatkan Perdana Menteri dan satu lagi yang ingin mendakwa Perdana Menteri. Perkara ini disahkan dengan berita pemecatan Peguam Negara pada hari ini.

2. Pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri kanan dari Umno untuk mengukuhkan kedudukan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Segala desas-desus begini adalah tidak baik untuk negara kerana ia menimbulkan ketidaktentuan politik, ekonomi dan sosial. Kedegilan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk terus berkuasa akan mengheret negara dengan ketidaktentuan selagi ia tidak diselesaikan segera.

Kami mengutuk sekerasnya-kerasnya tindakan mementingkan diri oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mengheret seluruh negara sedangkan tanggungjawab beliau adalah mentadbir dan menguruskan negara dengan cekap, telus dan amanah.

Oleh yang demikian, pimpinan-pimpinan KEADILAN, DAP dan Harapan Baru yang hadir pada hari ini menyeru supaya ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional yang sayangkan negara supaya mengambil tindakan drastik menyokong penubuhan sebuah kerajaan peralihan (“transition government”) dengan terma rujukan yang khusus seperti berikut:

1. Perlantikan seorang Perdana Menteri interim dari kalangan pimpinan terkanan (“elder statesman”) bagi tempoh satu tahun sehingga PRU14 yang dipanggil di akhir tempoh tersebut.

2. Reformasi institusi-institusi penting untuk memastikan PRU14 akan berjalan dengan adil dan keluhuran perlembagaan dan undang-undang dikembalikan.

3. Penyelesaian kepada skandal-skandal utama negara termasuk 1MDB dengan matlamat memastikan mereka yang bertanggungjawab di bawa ke muka pengadilan.

4. Merombak dasar-dasar ekonomi yang menindas rakyat.

Penubuhan kerajaan peralihan ini boleh diadakan dalam masa terdekat sekiranya ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional bersama-sama ahli-ahli Parlimen KEADILAN, DAP dan Harapan Baru menyokong satu usul tidak percaya terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak. Usul in boleh dibuat diluar sidang Parlimen atau semasa sidang Parlimen akan datang.

Dengan desas-desus yang tersebar luas bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri, sudah sampai masanya beliau dan kumpulan beliau serta ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional yang lain yang cintakan negara menyokong satu usaha menubuhkan kerajaan peralihan melalui satu undi tidak percaya kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kami juga memberi amaran kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk tidak mengambil peluang dari pergolakan dalaman Umno ini untuk terus menyalahgunakan kuasa dengan menahan pimpinan-pimpinan pembangkang, pengamal media dan mereka yang mengkritik pentadbiran beliau. Sekiranya beliau meneruskan amalan biasa Umno yang memenjarakan lawan politik pembangkang ketika berlaku pergolakan dalaman Umno, kami pasti ratusan ribu rakyat akan turun ke jalanraya yang akan mempercepatkan kejatuhan beliau.

Kami akan membawa pulang cadangan undi tidak percaya terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak ke arah penubuhan sebuah kerajaan peralihan (“transition government”) untuk diperhalusi di peringkat parti masing-masing. Kami yakin rakyat mahu melihat satu kepimpinan yang tegas dari parti-parti pembangkang agar kemelut ketidaktentuan akibat pergolakan dalaman Umno dan tuduhan rasuah terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak ini dapat dihentikan serta merta untuk mengembalikan urusan pentadbiran negara yang mengutamakan kebajikan rakyat.

28 Julai 2015

Mohamad Sabu
Dr Dzulkefly Ahmad
YB Khalid Samad
YB Saari Sungib
YB Dr Siti Mariah
YB Hanipa Maidin
YB Dr Hatta Ramli
YB Kamarudin Jaffar
YB Hasnul Baharuddin
Hj Izham Hashim
YB Tony Pua
YB Teresa Kok
YB Liew Chin Tong
YB Rafizi Ramli
Dato’ Saifuddin Nasution
YB Sim Tze Tzin
YB Wong Chen

 



--

Solidariti Untuk Pak Shukor Haron, Kembalikan Kebebasan Media - GHB



Kenyataan Media:
SOLIDARITI UNTUK PAK SHUKOR HARON,
KEMBALIKAN KEBEBASAN MEDIA


28 Julai 2015 | George Town

Berita pemberhentian kolumnis veteran Pak Shukor Harun daripada Harakah menjadi satu lagi tanda kegelitaan Kebebasan Media di tanah air ini.

Baru semalam, saya mewakili Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) menerima jemputan bersolidari bersama-sama Gabungan Wartawan Akhbar Pulau Pinang memprotes pergantungan permit penerbitan dua akhbar The Edge, hari ini berita buruk daripada media yang menjadi lidah rasmi Pas pula.

Sumber memberitahu, tulisan Pak Shukor Haron mula disekat untuk disiarkan dalam portal berita Harakahdaily pada menjelang Hari Raya Aidilfitri lagi.

Selain itu, kolum Sastera yang diselenggara oleh seorang lagi wartawan, Sdr. Ali Bukhari Amir di Harakahdaily turut ditutup, selepas cerpen "Rumah Baru" disiarkan.

Dikatakan, khidmat Pak Shukor Haron ditamatkan antara lain kerana dilihat mengkritik Pas dalam beberapa tulisannya di The Malaysian Insider, walaupun tulisan beliau dalam Harakah jejas tidak memihak.

Muktahir ini, Pak Shukor Haron juga dilihat aktif mengikuti perkembangan ‪#‎HarapanBaru‬ melalui deklamasi puisi dan mengarang puisi panjang tentang #HarapanBaru, barangkali mengakibatkan beliau dizalimi.

Sepatutnya penulisan kritikal Pak Shukor mengenai dinamika politik dalaman PAS wajar dihargai, bukan dizalimi.

Apa bezanya pergantungan permit penerbitan The Edge atas sebab mendedahkan skandal 1MDB, dengan pemberhentian Pak Shukor Harun daripada Harakah kerana menulis secara kritikal mengenai politik dalaman Pas?

Pas harus jujur, tak cukup hanya menyebut "sokong kebebasan media", tapi pada masa yang sama menafikan hak kewartawanan orang seperti Pak Shukor Haron yang krisis itu.

Tak berkuasa lagi, Pas seakan sudah simpan kuku dan melayan tidak adil ke atas wartawannya.

Bayangkan jika berkuasa, barangkali mungkin sama zalim dengan rejim Umno BN sekarang.

Padanlah ada yang seorang rakan sekerja lama di Harakahdaily pagi tadi mencebik, "Tamat perkhidmatan Pak Shukor itu berdasarkan 'Islamic Security Act' (ISA) itu sebab Pas tiada kuasa macam KDN."

Sokong Kebebasan Media!
Solidariti Untuk Pak Shukor Haron!

ZAINULFAQAR YAACOB
Ketua Penerangan (sementara)
Gerakan Harapan Baru (GHB) Pulau Pinang

merangkap

Timbalan Pengerusi II
NGO PasMa Pulau Pinang






--

PAS Kawasan Bukit Katil sebagai 'Role Model' kepada PAS Kawasan lain di seluruh negara dalam menjalinkan hubungan dengan GHB



KENYATAAN AKHBAR PAS KAWASAN BUKIT KATIL

Saya akan berusaha sedaya upaya untuk menjadikan PAS Kawasan Bukit Katil sebagai 'Role Model' kepada PAS Kawasan lain di seluruh negara dalam menjalinkan hubungan dengan GHB dalam gerakerja membebaskan rakyat dari belenggu kerajaan Umno/BN.

Saya sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Penyelaras GHB Kawasan Bukit Katil, Haji Bakrin Sidek dan hampir kesemua AJK GHB Bukit Katil.


Kami di Bukit Katil mengharapkan tiada unsur-unsur di luar yang mengganggu kami di Bukit Katil untuk bekerjasama. PAS Kawasan Bukit Katil dan GHB Bukit Katil mempunyai musuh yang sama dan sangat sedikit perbezaan antara kami.

Insya Allah kami akan tunjukkan 'izzah Islam kami. Takkanlah PAS Bukit Katil tidak boleh ber'tahallus siyasi' dengan GHB Bukit Katil yang sama aqidah.

Kami akan tunjukkan contoh bahawa berbaik dan bekerjasama lebih baik dari bergaduh dan berperang dingin.

Mohd Sofi Abdul Wahab
Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil



--

Recent Posts Widget

.

.