HIJRAH KE NEGARA YANG BAIK
Tahun Baru Hijrah 1437HSekali lagi umat Islam di seluruh dunia merayakan kedatangan tahun baru 1437 hijrah. Sesungguhnya peristiwa hijrah adalah merupakan satu detik yang sangat bermakna kepada umat Islam dari segi zahir dan batin. Hijrah memberi makna yang positif untuk kecemerlangan umat sejak berlakunya hijrah Rasul dari kota Mekah ke Madinah al-Munawwarah dan insyallah ia akan berterusan hingga ke hari kiamat.
Bicara hijrah di dalam al-Qur’an jelas menunjukkan bahawa Junjungan Muhammad SAW memiliki visi yang jauh dari segi da’wah, perancangan yang rapi dan berstratigik, kekentalan semangat pengorbanan yang luar biasa, mempunyai minda terbuka dengan membenarkan orang musyrik seperti ‘Abdullah ibn Uraiqat turut sama berpartisipasi dalam persiapan logistik hijrah. Selain itu, hijrah adalah satu manifestasi semangat persaudaraan (ruh al-ukhhuwah) antara muhajirin Mekah dengan kelmpok ansar di Kota Madinah.
Justeru, al-Qur’an memberi pujian yang tinggi terhadap penggerak- penggerak hijrah yang sentiasa mendapat rahmat dan barakah dari Allah SWT. Firman Allah SWT:
“ Kemudian Tuhanmu (pelindung) bagi orang yang berhijrah setelah menderita cobaan, kemudian mereka berjihad dan bersabar, sungguh, Tuhanmu setelah itu benar-benar Maha pengampun dan Maha penyayang.” (Surah An Nahl: 110).
Kendatipun demikian, hijrah tidak dapat berfungsi secara berkesan jika umat tidak menghayati sepenuhnya prinsip dan tujuan hijrah. Dalam konteks Malaysia, perkembangan mutakahir jelas menuntut umat Islam untuk menjadikan tahun 1437 hijrah, sebagai satu jihad besar berusaha melakukan perubahan kepemimpinan negara supaya tidak diterajui oleh penguasa – peguasa yang korup dan berani menyalahgunakan kuasa dalam pelbagai institusi pemeritah secara wawenang. Justeru, hijrah hanya dapat direalisasikan apabila perpindahan sikap dan perbuatan buruk (al-munkar) berpindah menjadi baik (al-ma’ruf). Dengan lain perkataan, hirah bererti menumpaskan kezaliman dan mengangkat kembali keadilan. Inilah hakikatnya hijrah seperti pesan Junjungan Muhammad (SAW) dalam hadis-jadisnya yang sahih.
Justeru, kita menyeru seluruh umat Islam supaya menjadikan sambutan hijrah 1347 kali ini sebagai satu keutamaan tindakan amar ma’ruf dan nahi munkar dengan penghayatan sepenuhnya terhadap fiqh ‘ul hijrah demi keselamatan dan kesejehteraan hidup rakyat Malaysia.
Dr Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama (BiPPA)
Parti Keadilan Rakyat
1 Muharram 1437H/14hb Oktober, 2015
PERNYATAAN AKHBAR bertarikh 14hb Oktober 2015
KENAIKAN KADAR TOL oleh SPRINT SDN BHD.
Saya telah menerima banyak soalan di dalam media sosial samada saya adalah ahli lembaga SPRINT Sdn Bhd ( nama penuh adalah Sistem Penyuraian Trafik KL Barat ) dan samada saya telah menyokong kenaikan tol sebagai seorang ahli lembaga pengarah.
Berikut adalah kenyataan. Saya memang adalah seorang anggota lembaga pengarah SPRINT sebagai wakil Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) yang merupakan pemilik dua-puluh peratus saham SPRINT. Kumpulan Gamuda memiliki baki lapan-puluh peratus saham.
Persoalan sokongan saya sebagai ahli lembaga pengarah untuk kenaikan tol tidak timbul langsung. Isu kenaikan tol tidak pernah dirujuk kepada lembaga pengarah untuk dibincang. Pengurusan SPRINT telah melaksanakan kenaikan tol menurut satu surat dariapda Lemabaga Lebuhraya Malaysia ( LLM) yang diterima seminggu lalu yang telah maklumkan, antaranya, saperti berikut - bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan bayar lebih pampasan kepada syarikat, bahawa SPRINT boleh naik kadar tol selaras dengan kadar yang tertera dalam surat tersebut, dan syarikat bertanggung jawab untuk mengumumkan kadar kenaikan tol. Ekoran surat itu, kenaikan tol diumumkan oleh syarikat. Perkara itu tidak dirujuk sebelum itu kepada lembaga pengarah melalui pekeliling atau mesyuarat.
Saya tidak setuju dengan kenaikan tol yang telah diumumkan. Memandangkan keadaan ekonomi sekarang, ini bukan masa yang sesuai untuk menambahkan beban atas rakyat Selangor dan Malaysia dengan kenaikan kadar tol bertambah kenaikan harga barang yang berterusan dan juga GST. Pendirian saya, saya anggap, adalah selaras dengan pendirian Kerajaan Selangor Pakatan yang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Azmin Ali.
Justeru, saya akan menulis kepada Pengerusi syarikat SPRINT, Ir Hj.Yusuff bin Daud untuk memanggil satu mesyuarat khas lembaga pengarah untuk membincang dan kajisemula perkara ini. Saya telah juga melapurkan perkara ini kepada YAB Menteri Besar Azmin Ali dan akan melaksanakan apa-apa arahan lanjut daripada beliau.
Sivarasa Rasiah
Ahli Parlimen Subang
AMK MENGECAM PENGGUNAAN AKTA HASUTAN DAN SOSMA TERBARU
Angkatan Muda KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan melampau pihak berkuasa ke atas pihak pembangkang dan pengkritik kerajaan beberapa minggu ini.
Laporan terkini adalah berkenaan perilaku pihak polis terhadap Khalid Ismath, yang dikatakan telah dipaksa mengaku bersalah berkenaan kesemua dakwaan yang dibuat ke atasnya.
Menurut laporan media, keluarga beliau sendiri mengatakan bahawa Khalid telah dipaksa mengaku bersalah untuk membolehkan beliau berjumpa dengan ahli keluarga.
Ugutan oleh pihak polis itu melanggar hak pihak yang tertuduh, kerana beliau sepatutnya tidak boleh dipaksa menjawab sebarang soalan dengan paksaan.
Penggunaan Akta Hasutan yang semakin menjadi-jadi untuk menyekat suara
pembangkang juga harus dipersoal, kerana kegunaannya hanyalah berteraskan politik. Kami tetap dengan pendirian bahawa undang-undang kolot itu, yang mana Perdana Menteri Najib Razak sendiri telah berjanji untuk memansuhkan tetapi tidak menepatinya apabila mendapati kedudukan beliau sudah tidak selamat, adalah bertentangan dengan hak asasi rakyat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kejadian ini menyusuli penangkapan Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA, dan dakwaan tidak masuk akal ke atas mereka kerana melaporkan salahlaku pihak 1MDB.
Jelas terdapat corak penyalahgunaan undang-undang apabila integriti pihak berkuasa dipersoal, dan ini boleh dibuktikan dengan penggunaan SOSMA ke atas individu padahal niat pembentukan undang-undang tersebut adalah untuk menyekat aktiviti keganasan.
Kerajaan BN haruslah berhenti mengugut rakyat dan menjawab segala persoalan yang disuarakan. AMK juga menggesa pihak kerajaan untuk berhenti berselindung di sebalik undang-undang yang telah disalah
tafsir dengan sengaja semata-mata untuk mengelak daripada diambil tindakan kehakiman.
NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
KENYATAAN MEDIA MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 11 Oktober 2015 meluluskan resolusi seperti berikut:
1. YB Presiden dan MPP untuk meneruskan usaha-usaha membina barisan pembangkang yang kukuh dan bersatu; serta mencari penyelesaian kepada krisis negara yang makin mendesak.
2. KEADILAN komited untuk memantapkan Pakatan Harapan sebagai satu gabungan politik yang inklusif dan keanggotannya akan diperbesar kepada rakan politik yang sehaluan termasuk PAS, PSM, dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.
3. KEADILAN akan mengambil langkah-langkah menyediakan suasana kondusif bagi perpaduan pergabungan politik yang luas. KEADILAN menyeru semua parti agar menghentikan perbalahan dan serangan antara satu sama lain, dan parti-parti sahabat juga harus menghormati perbedaan pandangan masing-masing dan tidak mencampuri urusan dalaman parti sahabat.
4. KEADILAN akan meneruskan perhubungan dan perbincangan dengan rakan-rakan politik lain, dan berhak untuk mendirikan kerjasama dua-hala di pelbagai peringkat jika perlu.
Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN
11 Oktober 2015
-
KEADILAN CENTRAL LEADERSHIP COUNCIL MEDIA STATEMENT
The Special Meeting of the KEADILAN Central Leadership Council (MPP) on 11 October 2015 supports the following resolutions:
1. YB President and the MPP will continue our efforts to build a strong and united opposition front and to find solutions to the deepening national crisis.
2. KEADILAN is committed to strengthening Pakatan Harapan towards being an inclusive political coalition and will continue to widen its membership to include other political partners including PAS, PSM, and political parties from Sabah and Sarawak.
3. KEADILAN will take steps towards creating a conducive climate for the unity of a broad opposition front. KEADILAN urges all opposition parties to cease hostility and attacks between ourselves, and that friendly parties should respect differences and refrain from interfering in the internal affairs of other friendly parties.
4. KEADILAN will continue to engage and dialogue with other friendly parties, and retains the right to establish bilateral cooperation at different levels as necessary.
KEADILAN MPP
11 October 2015
BANK NEGARA MALAYSIA WAJAR BATALKAN SEMUA LESEN KEWANGAN 1MDB JIKA PEGUAM NEGARA ENGGAN MENDAKWA 1MDB DI MAHKAMAH
Saya mengucapkan tahniah di atas keberanian dan sikap professional Bank Negara Malaysia (BNM) yang membatalkan kelulusan-kelulusan di bawah Akta Kawalan Matawang (Exchange Control Act) yang diberikan kepada 1MDB sebelum ini ekoran keengganan Kamar Peguam Negara mendakwa 1MDB di mahkamah walaupun kertas siasatan oleh BNM mengesyorkan pendakwaan.
Perkara ini telah lama ditimbulkan terutamanya dari aspek pengubahan wang haram (anti money laundering). Saya faham sepenuhnya bahawa kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan adalah kuasa Peguam Negara. Oleh yang demikian, besar kemungkinan apa-apa siasatan di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (termasuklah mengenai pengubahan wang haram) tidak berkesudahan dengan pendakwaan 1MDB ke mahkamah walaupun disyorkan oleh BNM.
Oleh itu, saya mencadangkan supaya Bank Negara Malaysia menggunakan kesemua kuasa yang ada untuk menyelesaikan masalah kewangan 1MDB seperti berikut:
1. BNM wajar membatalkan semua lesen kewangan yang diberikan kepada 1MDB sebelum ini di bawah bidang kuasanya yang diperlukan oleh 1MDB untuk beroperasi sebagai sebuah syarikat yang terbabit dengan instrumen kewangan (jika ada);
2. BNM wajar membatalkan semua permit atau kelulusan pemindahan wang yang pernah diberikan selama ini;
3. BNM wajar menolak sebarang permohonan permit atau kelulusan pemindahan wang yang baru supaya dananya tidak lagi boleh dipindahkan sesuka hati;
4. BNM wajar menolak sebarang permohonan lesen atau permit baru bersabit dengan sebarang urusan kewangan yang baru di bawah bidang kuasanya untuk memastikan 1MDB tidak boleh membuat perjanjian atau urusan kewangan yang baru
Jika Kamar Peguam Negara enggan menggunakan kuasanya di bawah Perlembagaan untuk mendakwa 1MDB seperti yang disyorkan oleh kertas siasatan BNM, maka BNM sewajarnya menggunakan kuasanya yang lain untuk memastikan masalah 1MDB terus berlanjutan hingga membawa kesan kepada ekonomi negara.
Satu jalan yang paling berkesan ialah melumpuhkan operasi kewangan dan urusniaga pemindahan dana oleh 1MDB yang dikawalselia oleh BNM mengikut undang-undang. Apabila 1MDB dikekang dari terus membuat pinjaman atau memindahkan dana, saya pasti Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak ada pilihan lain kecuali menutup 1MDB dan menyelesaikan masalah kewangannya secara muktamad.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
10 Oktober 2015
KENYATAAN BERSAMA
PAKATAN HARAPAN
Pakatan Harapan Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu
Pakatan Harapan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu mengenai isu-isu mutakhir dalam negara yang perlu diberi perhatian segera. Kami merafak sembah menjunjung kasih di atas keprihatian Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu yang memberi pedoman kepada rakyat dalam isu-isu penting yang dititahkan.
Pakatan Harapan bersetuju bahawa isu kegawatan kewangan 1MDB dan risikonya terhadap ekonomi negara perlu ditangani dengan segera. Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak lagi boleh melengah-lengahkan keputusan-keputusan yang penting mengenai 1MDB kerana kegawatan yang berlarutan telah dan akan membawa kesan buruk kepada ekonomi negara.
Oleh itu, Pakatan Harapan menyeru supaya semua institusi awam dan agensi penguatkuasaan di negara ini memainkan peranan dengan sebebas mungkin supaya kemelut 1MDB dapat diselesaikan segera seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu. Sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan atau tindakan institusi awam dan agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab boleh ditafsirkan sebagai mengengkari titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu.
Pakatan Harapan juga sedang memuktamadkan Belanjawan Pakatan Harapan yang akan dibentangkan sebelum pembentangan belanjawan kerajaan. Di antara fokus utama di dalam Belanjawan Pakatan Harapan ini adalah langkah-langkah muktamad untuk menyelesaikan masalah 1MDB ini dengan segera untuk melindungi rakyat daripada terus terheret dengan sentimen ekonomi yang murung akibat masalah 1MDB.
Pakatan Harapan menjunjung kasih di atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu yang menitahkan supaya keharmonian kaum dan perpaduan dijaga demi kesejahteraan negara. Titah tersebut adalah tepat mengambil kira pelbagai kejadian akhir-akhir ini yang seolah-olah cuba melaga-lagakan satu kaum dengan kaum-kaum yang lain kebelakangan ini.
Oleh itu, Pakatan Harapan mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu itu agar menghindari perbuatan atau pengucapan yang menyinggung perasaan orang lain terutamanya yang bersabit kaum dan agama. Pakatan Harapan akan terus memainkan peranan menemukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk memupuk budaya saling memahami bagi mengendurkan keadaan jika ada percubaan untuk menimbulkan ketegangan kaum dan agama.
Kami berdoa agar Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja-raja Melayu akan terus memayungi rakyat jelata dalam mengharungi cabaran mutakhir ini.
YB DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
YB LIM KIT SIANG
Ketua Parlimen DAP
YBHG MOHAMAD SABU
Presiden AMANAH
8 OKTOBER 2015
MUFTI PAHANG WAJAR BERANI BERHUJAH JIKA BENAR
1. Merujuk kepada isu khutbah Aidul Adha di Pahang, tindakan Mufti Pahang tidak bersedia berjumpa dan berdialog dengan pihak DAP merupakan tindakan yang boleh disifatkan memalukan umat Islam. Ini kerana, dakwaan DAP sebagai "musuh Islam", walau atas alasan memberi nasihat sekalipun, merupakan tuduhan yang berat. Sudah pasti, ia perlu diselesaikan dengan ilmiah dan berfakta.
2. Dalam pengajian usul fiqh, ada kaedah menyatakan bahawa hukum sesuatu perkara, setengahnya terletak pada mengetahui gambaran perkara yang mahu dihukumkan itu. Justeru, wajib bagi mufti bahawa berdialog dan berhujah dengan pihak DAP untuk memastikan sejauh mana kebenaran disebalik dakwaan DAP sebagai Musuh Islam itu.
3. Dari sudut sejarah umat Islam, Saidina Ali ada menghantar wakil untuk berhujah ketika berhadapan dengan Khawarij yang ketika itu mahu melakukan pemberontakan. Jika Saidina Ali boleh berdialog dan menyampaikan hujah yang jitu dalam berhadapan dengan pemberontakan, sudah pasti amat tidak wajar pihak mufti tidak bersedia berhujah dan berdialog dengan DAP atas tuduhan sebagai musuh Islam, sedangkan mereka tidak pernah memberontak, malahan tuduhan bahawa mereka sebagai musuh islam itu sendiri masih kabur. Sebagai mufti yang dianggap mewakili suara Islam oleh ramai rakyat Malaysia, amat perlu sedia mengambil sikap seperti Saidina Ali agar tidak merosakkan imej agama Islam.
4. Pihak Mufti patut bebas berhujah dan tidak takut berkata tentang kebenaran. Jika tidak, sudah pasti kenyataan para mufti selepas ini akan dianggap picisan oleh rakyat Malaysia. Keadaan ini, sudah pasti memberi implikasi buruk pada imej institusi mufti di mata rakyat Malaysia, terutama dalam kalangan bukan muslim.
5. Pihak BiPPA AMK Malaysia berharap, agar pihak mufti Pahang mengambil sikap profesional dalam berhadapan dengan isu perbezaan politik kepartian, disamping menjauhkan pendekatan yang boleh melahirkan permusuhan antara rakyat Malaysia. Pihak BiPPA AMK Malaysia juga berdoa agar budaya rahmat menjadi amalan rakyat Malaysia. Sudah pasti, amalan permusuhan berasaskan kaum dan agama dapat dielak.
Wallahu 'Alam.
Wan Ji bin Wan Hussin
Ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (BiPPA) AMK Malaysia.