Pertemuan Dua Hala PAS dan Tabung Haji. - Tuan Ibrahim Tuan Man



Pertemuan Dua Hala PAS dan Tabung Haji.

Kunjungan ke Tabung Haji oleh PAS Pusat hari ini berlangsung dengan baik. Menerajui budaya politik matang dan sejahtera, PAS hadir untuk mendapatkan maklumat langsung dari pihak Tabung Haji sebelum memutuskan sikap disamping turut mengemukakan pandangan serta penambahbaikan kepada pihak Tabung Haji selepas pelbagai isu kontroversi melibatkan Tabung Haji tercetus.

PAS turut bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat sesuatu isu yang berkait rapat dengan kepentingan dan kebajikan umat Islam berdasarkan maklumat yg benar dan tepat.


Alhamdulillah, pertemuan dan perbincangan dua hala selama lebih dua jam ini sangat bermanafaat dan pihak PAS sungguh menghargai kesediaan Tabung Haji menerima kunjungan kami dan memberi penjelasan kepada rombongan. Tinggi harapan PAS agar institusi ini benar - benar dikendalikan secara profesional dan telus sekaligus menjaga kepentingan seluruh pendeposit yang terdiri daripada ummat Islam.

Secara keseluruhannya penjelasan pihak Tabung Haji telah kami dengar dengan teliti dan insyaallah kami mengharapkan Tabung Haji dapat memberi penjelasan yang baik dan telus kepada seluruh rakyat selepas ini bagi merungkai polemik dan isu yang sedang menyelubungi Tabung Haji dewasa ini. Justeru besar juga harapan umum kepada Institusi terbesar dan terpenting bagi ummat Islam di Malaysia ini bebas dari perkara yang merosakkan reputasi dan prestasinya.

Bagi pihak PAS kita akan terus mengikuti dengan dekat segala isu yang berbangkit dan akan sentiasa mengadakan pertemuan bagi mendapatkan gambaran sebenar setiap isu yang berbangkit selaras dengan gagasan politik matang dan sejahtera.

Pertemuan hari ini menemukan dua pihak. Mewakili PAS terdiri daripada saya selaku Timbalan Presiden PAS, Ketua Penerangan PAS Pusat Yb Ustaz Nasrudin Hassan, Yb Dato' Dr Khairudin at Takiri Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Prof Zainal Abidin Kidam, Dr Rosni Adam Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Kamaruzaman Mohamad Pegawai Khas Presiden PAS dan Nurul Islam Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sementara pihak Tabung Haji terdiri daripada Pengerusi Tabung Haji Dato Sri Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengarah Urusan Tabung Haji Tan Sri Ismee Haji Ismail, Dato Johan Abdullah Timbalan Pengarah Urusan, Dato Rozaida Omar Ketua Pegawai Kewangan TH dan beberapa orang pegawai kanan Tabung Haji yang lain.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
TIMBALAN PRESIDEN PAS
02 Februari 2015

Pengubahsuaian Bajet 2016 : Rakyat Penyelamat Ekonomi dan Kewangan Negara dengan GST - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

PENGUBAHSUAIAN BAJET 2016 : RAKYAT PENYELAMAT EKONOMI DAN KEWANGAN NEGARA DENGAN GST.

1. Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan PM tidak banyak dilihat mengurangkan beban kerajaan ekoran daripada kejatuhan harga minyak dunia serta kejatuhan nilai ringgit Malaysia. Sebaliknya, beban kerajaan terus ditanggung oleh rakyat dengan GST.

2. Walaupun sebelum pengumuman pengubahsuaian bajet saya pernah menyarankan agar kerajaan mengurangkan caruman pekerja dalam KWSP 2%, mengurangkan cukai pendapatan individu serta mengurangkan kadar GST daripada 6% kepada 3 atau 4% bagi tujuan lebihan wang dalam poket rakyat dengan pendapatan boleh guna rakyat yang lebih besar untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat. Begitu juga, saya mencadangkan agar kerajaan mengecilkan kabinet dapur BN, namun kerajaan tidak melakukan sesuatu yang memberikan kelegaan kepada rakyat.

KABINET DAPUR YANG MENYEMAK.

3. Jumlah anggota kabinet langsung tidak disentuh untuk dikurangkan seperti yang dicadangkan kepada 15-19 orang sahaja daripada jumlah sekarang sebanyak 35 orang. Pada hal sektor swasta terpaksa mengurangkan kakitangannya daripada pelbagai peringkat untuk mengurangkan beban kos operasi. Sepatutnya kerajaan juga mengurang separuh anggota kabinetnya untuk mengurang kos gaji Menteri dan lantikan politik. Begitu juga kerajaan tidak memansuhkan perlantikan jawatan Duta Khas dan Penasihat PM yang bertaraf Menteri yang telah menghabiskan sejumlah wang negara.

TAK CUKUP KURANGKAN 3% CARUMAN INDIVIDU KWSP, KURANGKAN JUGA GST 3%.

4. Pengurangan caruman KWSP sebanyak 3% dengan anggaran RM8 bilion untuk pekerja berbelanja, masih tidak mencukupi kerana bukan semua rakyat Malaysia mencarum dalam KWSP. Hanya 6.72 juta pencarum KWSP yang masih aktif sahaja terlibat. Bagaimana golongan yang tidak mencarum dalam KWSP dan bagaimana golongan yang selama ini pendapatan mereka tidak layak dicukaikan kerana cukup makan atau pun tak cukup makan? Bukan semua rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi tergolong dalam 200 ribu keluarga miskin tegar yang akan mendapat bantuan beras 20 kg sebulan.

5. Pengubahsuaian bajet 2016 tidak memberi makna jika rakyat tidak memperolehi pendapatan boleh guna yang lebih besar, bahkan rakyat terus menjadi mangsa GST. Oleh itu, saya tetap menegaskan bahawa kerajaan perlu turut mengurangkan Kadar GST dari 6% kepada 3% sahaja. Barulah semua lapisan rakyat dapat merasai dan meringankan beban kos sara hidup. Di samping 6.72 juta pekerja yang masih aktif mencarum dalam KWSP dan 2 juta pembayar cukai pendapatan induvidu akan mendapat pendapatan boleh guna lebih besar dengan pengurangan caruman KWSP, pelepasan khas cukai pendapatan individu dan pengurangan GST. Walaupun saya tetap berpendirian GST tidak wajar ke atas rakyat. Kewangan negara dapat diselamatkan jika kerajaan tidak boros dan tiada rasuah dalam perbelanjaan negara.

6. Potongan 3% KWSP dianggar meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta RM8 bilion setahun yang diharap oleh PM Najib untuk pekerja berbelanja sebenarnya membawa balik pulangan pada kerajaan melalui GST RM480 juta. Begitu juga dengan pelepasan khas cukai individu RM2,000 kepada pembayar cukai pendapatan individu yang berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah untuk tahun taksiran 2015 dengan kerajaan kononnya kehilangan RM350 juta setahun.

7. Ini bermakna RM350 juta dalam poket rakyat untuk dibelanjakan bagi kerajaan mendapat kembali melalui GST. RM350 juta tersebut akan memberi balik pulangan kepada kerajaan melalui GST sebanyak RM21 juta. Ini bermakna kerajaan mendapat tambahan pendapatan melalui GST sebanyak RM501 juta daripada pendapatan GST sedia ada RM51 bilion melalui pengubahsuaian bajet 2016. Ini bermakna pengubahsuaian bajet 2016 menjadikan RAKYAT PENYELAMAT EKONOMI DAN KEWANGAN NEGARA DENGAN GST bukannya Najib dan kabinet dapur yang otak udang.

RAKYAT NAK KEHIDUPAN YANG SELESA BUKAN PEMIMPIN GILA YANG BERKUASA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
31 Januari 2016/21 Rabiulakhir 1437H

Ketua Pemuda PAS Kelantan Gagal Faham Isu - Husam Musa



KETUA PEMUDA PAS KELANTAN GAGAL FAHAM ISU

Komen balas saya pada kenyataan Saudara Fadli Shaari hari ni:

1. Pemuda Pas Kelantan gagal fahami isu.

2. Di bawah konsep accountability yang juga satu dari teras Membangun Bersama Islam, seseorang pemimpin perlu memikul kesan kegagalan tindakannya, apa lagi bila tindakan itu diambil secara bersendirian dan tidak dirujuk pada organisasi.

3. Sefaham saya, menerusi roadmap pelaksanaan undang-undang syariah oleh Jawatan Kuasa Teknikal Bersama Negeri dan Pusat, tidak ada cadangan bill persendirian 355 diputuskan.

3. Ini bermakna apabila ada individu yang mempengaruhi Presiden Pas untuk membawa usul persendirian itu dan langsung tidak dirujuk pada parti terlebih dahulu, mereka perlu bertanggung jawab atas kegagalan bill itu dibentangkan seperti dijanjikan sampai hari ini.

4. Bahkan, membawa usul secara pra matang telah melenyapkan atau merosakkan roadmap asal.

Ia lebih membawa kegagalan berbanding kejayaan.

5. Tindakan tergesa-gesa itu lebih bersifat riya' dan agenda peribadi.

6. Sudah hampir setahun berlalu sejak usul persendirian itu difailkan tetapi ternyata hingga kini, ia gagal dibentangkan.

Ini menunjukkan, tidaklah rugi jika tindakan itu ditangguhkan pada masa itu dan dibincangkan secara lebih masak dan diputuskan secara kolektif.

7. Ketua Pemuda Pas Kelantan seolah anak kecil yang belum lepas susuan dan berteriak takut-takut botol susuannya tidak bersambung.

Anda gagal menarik minat anak muda yang kritis dan juga gagal mempamirkan sikap pemuda Islam yang menilai sesuatu berdasarkan neraca kebenaran dan bukannya asobiyyah kelompok.

9. Saya hairan, jika Ketua Pemuda Pas berani, kenapa beliau tidak hadhir mewakili Kerajaan Negeri dalam forum itu.

Husam Musa
21 Rabiul Akhir 1437/31 Januari 2016

Kedah Tak Nak Kerajaan Kertas Tandas (Toilet Paper). - Mahfuz Omar



Kenyataan Media.

KEDAH TAK NAK KERAJAAN KERTAS TANDAS (TOILET PAPER).

1. Pengakuan terbaru yang dibuat oleh YB Dato' Abu Hassan ADUN Kota Siputeh tentang peristiwa yang dia diburu dan hampir jatuh ke laut ekoran usaha rampasan kuasa untuk menggulingkan Mukhriz daripada jawatan MB adalah sesuatu yang sangat memalukan negeri kedah dan negara Malaysia.


2. Kejadian tersebut telah mengesahkan lagi kenyataan saya sebelum ini bahawa Akuan Bersumpah ADUN-ADUN Kedah adalah tidak sah kerana ia diberi tanpa niat untuk hilang kepercayaan kepada Mukhriz sebagai MB.

3. Sebarang dokumen Akuan Bersumpah ADUN Umno Kedah yang dipersembahkan kebawah Duli Tuanku Sultan dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk menunjukkan yang Mukhriz tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ADUN Kedah adalah suatu penghinaan kebawah Tuanku Sultan. Kertas akuan bersumpah tersebut hanya setaraf kertas tandas (toilet paper) kerana diperolehi secara tidak demokratik seperti yang didakwa oleh ADUN Kota Seputih.

4. Jika akuan bersumpah ADUN Umno diterima untuk menyingkir Mukhriz sebagai MB, ini bermakna kerajaan baru yang akan dibentuk nanti adalah kerajaan boneka yang tiada moral politik untuk mentadbir negeri Kedah. Kerajaan tersebut hanya layak untuk mentadbir dan mengurus sebuah tandas.

JANGAN MALUKAN RAKYAT DAN NEGERI KEDAH TERCINTA.

DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena
30 Januari 2016/20 Rabiulakhir 1437H

Kesian Malaysia - Tuan Ibrahim Tuan Man



Kesian Malaysia

Tindakan Peguam Negara membersihkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui kenyataan bahawa Najib telah memulangkan kembali wang derma yang diterima adalah ibarat menjirus air panas di atas luka pesakit kencing manis. Walau selepas itu luka tersebut dibalut dengan pembalut, ia tidak membantu penyembuhan sebaliknya ia hanya mempercepatkan kaki dipotong.

Manakala tindakan Peguam Negara mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah menutup kes berhubung dana derma RM2.6 billion pula ibarat orang yang jack kereta yang pancit tayar sehingga kereta terbalik. Ia bukan dapat pujian sebaliknya mendapat cercaan dan kutukan orang ramai.

Rakyat melihat adegan politik ini dengan dua watak di mana seorang bersikap seolah-olah macam badut manakala seorang lagi seperti Pak Pandir yang sedang cuba membuat rakyat merasa bodoh dan ketawa. Inilah keadaan sebenar negara yang amat menyayatkan hati semua.

Hari ini, negara diterajui oleh satu team barisan kepimpinan yang hanya fikir kepentingan peribadi bukan lagi masa depan negara. Mereka terlupa mereka juga mewakili orang Islam. Tindakan mereka hari ini menyebabkan orang Islam pada amnya merasa malu.

Tiada satu rakyat Malaysia yang berfikiran waras yang merasa bangga tentang kehebatan PM mendapat derma RM2.6 bilion. Kesemua mereka merasa mual dan jijik dengan apa yang berlaku.

Kepada para pemimpin Umno, tak marah ke, kalau dana yang sepatutnya digunakan untuk Umno, dipulangkan? Berapa kerat pemimpin dalam Umno yang tahu duit ini pernah datang dan kemudian dipulangkan? Bayangkan kalau baki RM2 bilion dibawa bincang di dalam Umno, apakah anda percaya ada siapa-siapa di dalam Umno yang sudi wang itu dikembalikan?

Yang mempercayai Peguam Negara dan PM hari ini mungkin tinggal para ahli Parlimen Barisan Nasional menyokong penuh perjanjian TPPA tempoh hari.

Pada asalnya, PAS menjangka sekurang-kurangnya 10 ke 20 orang Ahli Parlimen BN yang akan membantah TPPA demi kedaulatan negara. Namun, apa yang berlaku sangat mengecewakan. Ahli Parlimen BN menyokong TPPA sebagaimana mereka merasakan tiada kepelikan dalam keputusan Peguam Negara.

Benarlah apa yang diungkap oleh pujangga: "kita hanya boleh mengharapkan keadilan daripada sistem dan pejuang yang adil” - malangnya di Malaysia, kedua-duanya tiada. Yang ada hanyalah sekumpulan manusia yang diamanahkan rakyat berusaha mempertahankan kareer politik seorang yang menerima dana RM2.6 bilion.

Bayangkan sebanyak 26 undang-undang yang terpaksa dirombak bagi disesuaikan dengan kehendak TPPA sedangkan akta yang ada tersebut digubal demi menjaga negara.

Kemelut yang melanda negara, nilai ringgit dan harga minyak yang lemah, bebanan ekonomi yang sedang ditanggung rakyat dan hilangnya daya saing negara kini menuntut rakyat bangkit membuat perubahan.

Sebagaimana yang kita ikrarkan dalam himpunan membantah TPPA di Padang Merbok jangan lagi memberi undi kepada mana-mana ahli parlimen yang menyokong TPPA, mari kita sama-sama gerakkan usaha dan gemblingkan tenaga bagi membangkitkan kesedaran rakyat demi masa depan negara.

Buat masa ini, negara tidak perlu dikejutkan dengan satu lagi skandal kewangan. Oleh itu, buat Lembaga Tabung Haji, memandangkan LTH sedang menunggu keputusan Ketua Audit Negara sebelum memutuskan jumlah dividen dan bonus, saya menyarankan agar laporan audit Ketua Audit Negara terhadap LTH juga didedahkan dalam waktu tersebut.

Ini kerana penafian masalah LTH yang dibuat oleh ahli-ahli parlimen BN yang memacu LTH seperti Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang mempertahankan pembelian tanah TRX sudah tidak lagi akan diyakini rakyat.

Hanya dengan cara pengesahan kesihatan kewangan oleh Ketua Audit Negara dan juga Bank Negara Malaysia, keyakinan rakyat terhadap LTH akan dipulihkan selepas terjejasnya keyakinan mereka ekoran pendedahan surat amaran Bank Negara Malaysia yang telah diakui benar oleh Pengerusi LTH sendiri. Lebih elok, jika Pengerusi LTH tidak lagi dilantik daripada kalangan orang politik.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
29 Januari 2016

Skim Caruman Tabung Haji : Antara Patuh Syariah Dan Menepati Kehendak Syariah - Prof Mohd Nazari Ismail



Skim Caruman Tabung Haji : Antara Patuh Syariah Dan Menepati Kehendak Syariah

Oleh Prof Mohd Nazari Ismail
Ketua, Biro Penyelidikan IKRAM

Beberapa laporan berita berkenaan urusniaga Tabung Haji (TH) semenjak tahun 2015 telah membuat orang ramai menjadi bimbang. Ini terutama sekali di kalangan pencarum TH, sama ada yang mencarum untuk tujuan menunaikan fardhu haji atau yang mencarum semata-mata untuk melabur bagi mendapatkan pulangan.
Di antara berita yang menjadi kontroversi ialah berkenaan pembelian tanah 1MDB oleh TH pada harga yang dirasakan sangat mahal oleh beberapa pihak. Akibatnya ramai yang sangsi sama ada TH bertindak demikian untuk manfaat pencarumnya atau untuk manafaat 1MDB. Berita terkini pada 26 Januari yang lalu mendedahkan satu surat dari gabenor BNM kepada pengerusi TH yang memberi amaran bahawa tanggungan TH adalah melebihi asetnya dan dalam satu surat lain kepada menteri di JPM, gabenor BNM telah memberi amaran bahawa keadaan kewangan TH akan memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Ekoran dari pendedahan tersebut, ramai pencarum mula tertanya-tanya adakah caruman mereka di TH selamat atau tidak.

Sebenarnya isu sama ada simpanan di TH adalah selamat atau tidak bukanlah satu isu yang besar yang perlu dibimbangkan. Ini adalah kerana konsep simpanan di TH adalah berdasarkan konsep `Wadi’ah Yad Dhamanah’ di mana pendeposit menyimpan wangnya dan TH sebagai penjaga bersetuju untuk menjaga wang tersebut. Dalam kontrak ini, pendeposit juga memberi keizinan kepada TH untuk menggunakan simpanan mereka bagi tujuan perniagaan, pelaburan dan sebagainya. Tambahan pula simpanan tersebut dijamin sepenuhnya oleh kerajaan. Dalam erti kata yang lain, jika TH mengalami kerugian yang teruk dalam aktiviti pelaburannya, wang yang dilaburkan oleh pencarum tidak akan terjejas satu sen pun kerana kerajaan akan memastikan pencarum akan mendapat balik duit simpanan mereka sepenuhnya.

Dari sudut keuntungan yang diperolehi, ia adalah milik penuh TH. Oleh itu, keuntungan yang diagihkan adalah menurut budi bicara TH termasuk juga memberi pulangan pada kadar yang berbeza dari tahun ke tahun kepada para pendeposit.
Keadaan ini amat berbeza berbanding jika kita melabur dalam sebuah syarikat perniagaan biasa secara kontrak `Musharakah’ atau `Mudarabah’ di mana jika syarikat tersebut muflis, maka pelaburan yang dibuat oleh para pelabur mungkin akan hilang terus.

Jadi, mengapakah kerajaan sanggup menjamin pelaburan di dalam TH sepenuhnya? Jawapannya adalah kerana sejarah TH itu sendiri di mana ia bermula dengan mendapat caruman dari orang Islam yang menyimpan wang di TH untuk tujuan menunaikan fardhu haji. Sebelum itu, ramai orang Islam di Malaysia yang menyimpan wang di dalam tabung persendirian. Bahkan mungkin ada yang menyimpan di dalam tabung buluh atau di bawah bantal. Namun demikian, di atas cadangan Profesor Di Raja Ungku Aziz yang merasakan bahawa umat Islam akan kerugian besar jika meneruskan amalan menyimpan semata-mata dan akan terlepas peluang untuk mendapatkan keuntungan berbanding jika wang simpanan tersebut dilaburkan, maka TH telah diwujudkan untuk membantu melaburkan wang simpanan berkenaan. Namun, oleh kerana pelaburan perniagaan mempunyai elemen risiko kerugian, maka kerajaan telah memberikan jaminan penuh kepada semua caruman di dalam TH.

Dengan jaminan yang sebegitu rupa, maka tidak hairanlah bagaimana TH telah berkembang dengan pesat dari hanya 1,281 pencarum pada tahun 1963 dengan jumlah caruman sebanyak RM46,600 kepada hampir 9 juta pencarum dengan jumlah simpanan pendeposit bernilai lebih dari RM54.1 billion pada masa kini. Tambahan pula sebahagian besar dari pencarum TH yang ada sekarang bukan lagi terdiri dari mereka yang ingin menunaikan haji semata-mata tetapi juga yang mencarum untuk tujuan pelaburan sahaja. Oleh kerana pelaburan di TH adalah salah satu pelaburan yang tidak mempunyai sebarang risiko kerana dijamin sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia maka ianya menjadi tarikan utama bagi orang Islam di Malaysia untuk melabur dan mendapatkan pulangan.
Pada tahun 2014, TH telah mengumumkan jumlah bonus sebanyak 8.25%, yang terdiri dari 6.25% bonus tahunan dan 2% bonus Haji. Keputusan TH membayar bonus yang begitu tinggi dikatakan tidak berhemah oleh pihak BNM kerana ianya bermakna TH telah membayar dividen yang lebih berbanding keuntungan yang diperolehi iaitu sebanyak RM1.07 bagi setiap RM1 keuntungan yang diperolehinya. Kesan dari tindakan tersebut akan mengakibatkan rizab TH berkurangan. BNM juga berasa bimbang jika di masa akan datang pembayaran dividen yang pasti akan berkurangan mungkin akan mengakibatkan ramai pencarum mengeluarkan caruman mereka dari TH sekaligus akan mengancam kedudukan kewangan TH dan juga kestabilan sistem kewangan negara.
Hakikatnya kini, jika semua pencarum ingin mengeluarkan caruman mereke sepenuhnya yang berjumlah RM54.1 billion dengan serta merta dalam bentuk tunai, sudah tentu TH tidak akan dapat memenuhi kehendak tersebut. Ini kerana asetnya dalam bentuk tunai hanyalah lebih kurang RM10 billlion sahaja. Walau bagaimanapun, TH sebenarnya mempunyai pelaburan yang banyak dalam berbagai sektor. Oleh itu jika diberi masa, TH boleh sahaja mencairkan semua aset pelaburannya yang dianggarkan bernilai lebih dari RM100 billion dan menggunakan dana tersebut untuk membayar balik tuntutan-tuntutan pencarum.

Walaupun mungkin senario ini sukar untuk berlaku, namun adalah baik juga untuk kita memikirkannya secara bersama. Apakah yang akan terjadi jika nilai dana yang diperolehi setelah aset TH dicairkan sepenuhnya adalah kurang dari jumlah caruman sebanyak RM54.1 billion itu? Jawapannya ialah, memandangkan pelaburan oleh TH dijamin penuh oleh kerajaan maka kerajaan perlu membantu dengan menyuntik dana ke dalam TH. Namun demikian, oleh kerana kerajaan juga kini sedang menanggung beban hutang sebanyak hampir RM700 billion, maka sudah tentu kerajaan akan terpaksa meminjam dari sumber lain untuk mendapatkan dana yang bakal disalurkan kepada TH serta juga menanggung kos pinjaman tersebut.

Jika ini berlaku, maka bukan sahaja hutang kerajaan akan bertambah bahkan jumlah matawang di dalam sistem kewangan negara juga akan bertambah. Ini bermakna rakyat keseluruhannya dari segenap lapisan, termasuk yang miskin akan dipaksa ‘membantu’ demi memastikan kesemua pencarum TH (yang sebahagiannya terdiri dari yang kaya juga) mendapatkan balik pelaburan mereka sepenuhnya. Bantuan yang akan diberikan melalui suntikan dana oleh kerajaan ini akan diperolehi dari pelbagai sumber dana kerajaan termasuk GST (iaitu yang disumbangkan oleh setiap lapisan masyarakat termasuk yang miskin juga). Di samping itu, oleh kerana pertambahan jumlah matawang akan disusuli oleh inflasi, maka nilai matawang yang dipegang oleh rakyat Malaysia (termasuk yang miskin) juga akan susut sedikit akibat dari tindakan membantu pelabur-pelabur di dalam TH (yang mungkin terdiri dari golongan yang kaya). Dari satu aspek, satu `kecurian nilai matawang’ akan berlaku jika kerajaan menunaikan jaminannya kepada pencarum dan pelabur TH itu.

Sebagai rumusan, ada dua persoalan yang timbul dari kaedah pelaburan di dalam tabung TH. Pertama, adakah kaedah meletakkan jaminan pelaburan ke atas kerajaan, iaitu sebenarnya ke atas bahu rakyat keseluruhannya (termasuk yang miskin) untuk membantu pencarum TH mendapat keuntungan pelaburan tanpa risiko sesuai dengan kehendak Shariah? Kedua, jika kedudukan TH terjejas teruk dan kerajaan terpaksa meminjam duit untuk memastikan semua simpanan dipulangkan sepenuhnya kepada pencarum TH, maka kes ‘kecurian nilai’ ke atas matawang yang dimiliki oleh rakyat akan berlaku akibat inflasi. Adakah `kes kecurian nilai’ ini sehaluan dengan kehendak Shariah? Tambahan pula, jika ini berlaku, siapakah yang akan menanggung dosa `kecurian nilai’ matawang yang dipegang oleh rakyat Malaysia itu?

Kenyataan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Dikesali - Mujahid Yusof



Kenyataan Media

KENYATAAN PENGERUSI LEMBAGA TABUNG HAJI DIKESALI

Pengerusi Lembaga Tahung Haji (LTH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim perlu menjawab soalan-soalan dari surat Bank Negara Malaysia (BNM) yang sedang berlegar di media sosial tentang kedudukan kewangan yang menjejaskan pulangan dividen kepada pendeposit. Pengerusi LTH itu juga menggunakan kaedah menggugut terhadap pembocor maklumat seolah-olah cuba mengalihkan isu sebenar yang berlaku atas risiko 9 juta pendepositnya dari kalangan umat Islam. Pengerusi LTH tidak menjawab soalan utama iaitu;


1. Bagaimana Lembaga Pengarah dan pengurusannya membuat keputusan strategik tentang portfolio pelaburannya dari sudut kepentingan 9 juta pendeposit yang mempunyai kepercayaan tinggi terhadap LTH.

2. Pulangan dividen berasakan untung adalah untuk LTH melabur terus supaya masadepannya akan lebih berkembang. Bagaimana LTH dapat berbuat demikian jika ia membayar dividen lebih daripada untungnya? (107 peratus purata sejak 2012-2014)

3. Akibatnya, nilai rezabnya menjadi lebih rendah dari liabiliti (obligasinya) lalu menjejaskan pemberian dividen berdasarkan kepada Akta Lembaga Tabung Haji seksyen 22(2)(i). Adakah Lembaga Pengarahnya akan melanggar undang-undang dengan Pengerusinya terus menjaminkan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang? Betulkan nilai aset rezabnya 98sen berbanding RM1 nilai liabilitinya?

4. Pengerusi LTH juga tidak menjelaskan bahaya kepada porfolio pelaburannya apabila 5 peratus dari pendepositor secara berinstitusi menguasai 75 peratus saiz deposit. Berbeza dengan pendeposit individu yang tidak bertujuan keuntungan hanya menyimpan untuk melakukan ibadat Haji, pendeposit “instituitional” bermotifkan keuntungan. Apakah mereka mahu mengalami kerugian dengan kedudukan sekarang atau mahukah mereka meneruskan pelaburan dalam keadaan pengurusan korporat LTH yang tidak telus dan melanggar undang-undang? Penarikan mereka daripada pelaburan TH akan menyebabkan kedudukan LTH lebih parah.

5. Memasukkan Peguam Negara sebagai ALP baru tidak akan membetulkan keadaan malah menimbulkan lebih spekulasi tentang “conflict of interest” seolah-olah bertujuan untuk sekali lagi ‘menyelamatkan’ LTH daripada tindakan undang-undang dan bukan untuk menjawab persoalan kedudukannya sekarang.

Akhirnya, janganlah membunuh pembawa berita (don't shoot the messenger) tetapi carilah apa permasalahannya supaya LTH kekal dihormati oleh umat Islam sebagai institusi pengurusan Haji yang unggul di mata dunia.

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Amanah
Ahli Parlimen Malaysia

Bertarikh 28 Januari 2016

Recent Posts Widget

.

.