Kepada Dr Maza Pula - Alang Ibn Shukrimun
KEPADA DR MAZA PULA -
Semakin ramai agamawan dijadikan pemain import untuk mempertahankan kebejatan perangai sesetengah wakil rakyat PAS yang cuba lompat parti. Jika dahulu masing-masing marah dengan tindakan wakil rakyat Dap dan Pkr yang membuat onar sehingga jatuh kerajaan PR Perak, atau setidaknya membisu bagi menjaga maslahah diri, kini mereka muncul membenarkan, malah menyokong tindakan tidak bermaruah ini.
Dr Maza adalah salah seorangnya. Dalam status terbaru, beliau menyatakan baiah ta'liq talak merupakan suatu perkara yang menggadaikan keharmonian keluarga demi matlamat politik. Institusi kekeluargaan sepatutnya menjadi teras tertinggi yang tidak boleh diusik mana-mana kepentingan lain. Ini yang saya faham dari kenyataannya.
Saya akan respon melalui beberapa point:
1. Pemikiran ini tercetus apabila memahami politik Islam sebagaimana politik konvensional dalam kerangka sekular yang lain, iaitu suatu urusan yang hanya bermatlamat keduniaan tanpa ada hubungkait dengan agama. Parti politik samada Islam atau ideologi lain sama sahaja. Dia tidak memahami parti politik itu boleh jadi sebuah gerakan Islam yang mempunyai disiplin tersendiri dan bergerak berdasarkan manhaj politik baginda SAW.
Sekiranya beliau memahami bahawa matlamat kita berpolitik adalah untuk mendirikan syariat Allah, maka ia termasuk dalam kerja jihad tertinggi untuk agama. Para ulama' telah menyusun prioriti maslahah yang perlu dijaga yang digelar kulliyat khams. Ia bermula dengan agama, kemudian nyawa, diikuti akal, maruah/keturunan dan harta. Maka demi menjaga agama, dibolehkan mengorbankan harta, maruah, akal hatta nyawa sekalipun.
Berpolitik adalah wasilah ke arah kelangsungan maslahah agama itu sendiri, dan perkahwinan pula adalah syariat yang bermaslahah keturunan/maruah sahaja. Maka mendahulukan urusan politik Islam ke atas perkahwinan, bahkan segala harta dan nyawa adalah perlu.
2. Seandainya diamati, baiah talak sebenarnya tidak menganjurkan supaya rumahtangga itu runtuh. Tetapi sebenarnya mengikat kedudukan wanita dan kelangsungan keluarga, setaraf dengan perjuangan agama. Apabila mereka menjaga agama, keluarga mereka terpelihara. Namun sekiranya mereka belot terhadap janji agama, mereka juga telah merosakkan keluarga sendiri.
Yang meruntuhkan rumahtangga bukan baiah talak, tetapi perangai orang yang berbaiah itu. Kalaupun mereka tidak sayang perjuangan ini, mereka tetap akan istiqamah kerana sayangkan keluarga, sekurang-kurangnya sehingga tamat tempoh bertugas. Melanggar baiah membuktikan mereka sebenarnya lebih sayangkan sesuatu yang lain dari ikatan keluarga jua perjuangan.
3. Perlu diimbas kembali, Rasulullah SAW mengikat janji setia pengikutnya dengan baiah yang lebih dahsyat. Sewaktu baiah aqabah di Mekah sebelum hijrah, Nabi bukan sahaja menjamin perjuangan ini dengan ikatan keluarga, malah turut menggadaikan seluruh harta benda dan masyarakat.
Antara isi kandungan baiah golongan nuqaba Ansar sebelum didirikan kerajaan Madinah ialah:
"Kami memberi bai'ah kepada kamu wahai Rasulullah (untuk mempertahankan Nabi s.a.w dan memperjuangkan Islam) walaupun terpaksa membiarkan harta benda kami musnah dan terbunuhnya golongan bangsawan dikalangan kami".
4. Dr Maza juga memetik pendapat Ibu Taimiah secara serong. Dia tidak menyebutpun ta'liq tidak jatuh untuk tujuan 'meyakinkan'. Yang dimaksudkan hanya sekadar menakutkan atau mempengaruhi si isteri supaya si isteri mengikut kehendak suami atau neninggalkan larangan suami. Bukalah Fatawa Kubranya ataupun Fatawa Muasarah Qardawi sendiri yang memetik pendapatnya, pendapat yang mereka kemukakan tidak sampai ke arah tujuan meyakinkan, apatah lagi yang ingin diyakini itu pihak ketiga, bukannya si isteri.
Sebagai seorang mufti, menyatakan tidak jatuh talak orang berta'liq atas tujuan meyakinkan sebagai seorang mufti adalah amat berbahaya. Ia bakal membuka suatu ruang berhelah. Akan ada politikus lain yang berani bersumpah talak untuk meyakinkan rakannya yang lain untuk mendapatkan kuasa. Akan ada juga penjual yang bersumpah talak untuk meyakinkan pembeli. Akan wujud pekerja-pekerja yang berani bersumpah talak dengan majikannya untuk mendapatkan jawatan. Malah ketetapan ta'liq yang diwajibkan oleh jabatan agama negeri-negeri juga tidak akan terpakai.
Pendapat Ibn Taimiyah ada benarnya kerana si suami mungkin terdesak untuk menyatakan sebegitu untuk mendidik isteri. Tetapi apa yang difahami oleh Dr Maza adalah terlalu jauh dari kata-kata Ibn Taimiyah dan para muridnya. Ia terlalu menyimpang dari roh kebenaran Islam dan seolah meniru ideologi pragmatis yang menghalalkan apa sahaja demi mencapai matlamat.
5. Apa yang disebut oleh sesetengah sarjana Islam dahulu sebagai tidak jatuh ialah apabila ia bertujuan untuk mempengaruhi si isteri sahaja. Mereka tidak langsung membincangkan soal ta'liq yang dijadikan item dalam transaksi pertukaran untuk memperoleh kuasa. Ini suatu perkara yang sangat berbeza dan perlu kepada perbahasan khusus.
Dalam hal mempengaruhi isteri semata-mata, ianya boleh jadi benar seperti yang dinyatakan Ibn Taimiah dan muridnya kerana suami punya kuasa mutlak untuk menceraikan isteri bila-bila masa. Tetapi apabila ia berkait dengan mempengaruhi kepercayaan pemimpin seperti baiah untuk jawatan, ia menjadi lebih luas dan niat suami tidak boleh menjadi satu-satunya sandaran kerana kuasanya terhad dalam baiah. Ia tertakluk kepada give and take ruling dan konsep taradhi antara keduanya.
6. Dr Maza tidak sepatutnya taqlid teks Ibn Taimiah semberono tanpa memahami perbezaan konteks fatwa beliau dan situasi kita. Ini bukanlah sikap mufti yang baik. Seorang mufti harus mengeluarkan ijtihad baru sesuai dengan situasi apabila perkara tersebut tidak dibincangkan oleh sarjana sebelum ini.
Walaupun saya amat menyanjungi Ibn Taimiah dan para muridnya, janganlah kita bekukan fiqh dengan sikap taasub kepada mereka pula. Ia hanya akan menghodohkan ketrampilan sebenar insan agung itu. Sedangkan Imam Syafie sendiri lagi boleh berbeza dengan gurunya Imam Malik, inikan pula kita yang terlalu jauh situasi dan kondisi dengan mereka.
7. Apapun, pendapat jumhur(majoriti) ulama adalah menghukumkan jatuh talak ta'liq walaupun berniat atau tidak. Mereka bersandar kepada hadis Nabi SAW: Tiga perkara, dalam keadaan bergurau pun dianggap serius dan keadaan serius tetap menjadi serius;
1)akad nikah;
2)talak; dan
3)rujuk.
Menerusi hadis ini, seorang yang hanya melafaz talak dengan niat bergurau pun Nabi SAW hukum sebagai benar-benar mahu talak. Maka apatah lagi seandainya ia dikaitkan dengan urusan penting yang bakal mencorak masadepan negara?
8. Mengambil pandangan terpencil tanpa mengambil kira istidlal dari semua pendapat bukan peranan sebenar seorang mufti. Ia tidak lebih seperti sikap muqallid awam yang memilih pendapat mengikut hawa nafsu semata-mata. Kenapa pula pendapat yang terlalu jauh dari realiti waqi', terlalu jauh dari perbincangan semasa dan terlalu jauh dari pendapat majoriti Ulama sedunia juga yang diterima pakai?
9. Mereka yang melafazkan talak ta'liq tersebut, adakah mereka sememangnya berpegang sebagaimana pendapat Ibn Taimiyah itu semasa melakukannya? Jika tidak, mereka dikira sebagai muqallid awam dan mazhab utama orang awam tetap mengikut peraturan syariah Islam di Malaysia.
Jangan pula pendapat ini hanya dipilih sebagai jalan keluar buat mereka yang tersepit, demi menghalalkan tindakan rakan-rakan tanpa menelusuri disiplin akademik yang sepatutnya. Sangat bahaya sikap seorang mufti sebegini.
10. Seorang mufti perlu memberikan pendapat bukan untuk kes ini semata-mata. Mereka juga perlu melihat kesan dari pandangan yang dilontarkan itu terhadap masadepan umat Islam. Jangan kerana kelangsungan politik sesetengah pihak, ta'liq talak menjadi ruang besar bagi si penipu untuk menarik kepercayaan orang lain demi matlamat peribadi mereka.
Saya harap pandangan ini diambil kira oleh Dr Maza sebagai seorang mufti yang budiman. Bukalah ruang bermusyawarah dan seandainya berlaku kesilapan dalam pendapat ataupun fatwa, adalah menjadi suatu kemuliaan di sisi Allah sekiranya diperbetulkan kembali. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak berfatwa buruk padahnya.
Wallahualam.
(Alang Ibn Shukrimun)
Alang Ibn Shukrimun
--
Sila kongsi artikel ini...