Kenyataan PSM - 27 JULAI 2015 - Keganasan di GATCO – Polis di Pihak Mana?
27 July 2015
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengutuk tindakan polis menahan pemimpin Jawatankuasa Bertindak Peneroka Gatco Cikgu John Cantius Francis dan beberapa Peneroka Gatco lain dan mendesak mereka dibebaskan serta-merta. Kami difahamkan alasan penahanan keatas Pemimpin Gatco John adalah bahawa beliau telah menyerang samseng-samseng yang menceroboh rumah beliau .
PSM amat kecewa dengan insiden-insiden yang berlaku di Gatco, Negeri Sembilan terutamanya peristiwa yang berlaku pada Julai 22 dan 23 dan ia dengan jelas memberi gambaran bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Hj. Muhamad B. Haji Hasan pada 15hb. Jun 2015 di Jempol bahawa masalah tanah 40 tahun Gatco sudah selesai adalah tidak tepat dan salah sama sekali. Masalah ini bukan sahaja belum selesai tetapi menjadi semakin teruk dan mudarat setiap hari.
PSM juga amat kecewa kerana masalah ini gagal diselesaikan malah insiden berlaku rusuhan dan keganasan sehingga mencederakan para Peneroka Gatco sebenarnya boleh diselesaikan dan dikawal; andaikata pihak berkuasa bertindak lebih awal. Lambat bertindak adalah sebab utama isu ini telah berleluasa.
Kami berpendirian masalah ini juga menjadi semakin teruk kerana kegagalan PDRM mengawal keadaan dan bertindak lembab. PSM bersama Peneroka Gatco telah menyerahkan satu memorandum dan berjumpa dengan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof pada 27hb. Mei 2015. Dalam perjumpaan dengan Ketua Polis Negeri, kami juga telah meminta IPK campurtangan dan menangani masalah ini kerana kami yakin jika ia berlarutan, maka akan menjadi lebih teruk. Malah spekulasi kami menjadi nyata apabila keadaan sekarang lebih teruk. Pihak Peneroka juga telah membuat lebih 400 aduan polis malah semasa berjumpa dengan Dato CPO, jumlahnya adalah hampir 300.
Kami juga meminta setiap aduan kami disiasat tetapi sehingga insiden tempoh hari, tidak ada seorang pun ditahan dan kami juga semakin curiga samada siasatan dibuat kerana permohonan kami untuk mengetahui status aduan kami tidak mendapat sebarang maklumbalas walaupun kini sudah lebih 60 hari .
Isu pokok disini sebenarnya adalah pokok getah itu sendiri. Pokok yang ditoreh dan dijaga oleh Peneroka selama dua dekad kini dipotong oleh kontrakter swasta dengan restu Kerajaan Negeri walaupun Mahkamah Rayuan dengan jelas dalam keputusan pada 25 Februasi 2014 memberitahu bahawa status pemilik Tanah Tamarai menjadi tanda soal dan meminta kes ini dibicarakan semula. Maka jelaslah Peneroka mempunyai kepentingan atas pokok getah dan akan menggunakan segala apa untuk mempertahankan dan menyelamatkan pokok-pokok ini daripada ditebang. Menebang dan mencuri pokok getah adalah tindakan jenayah keatas periuk nasi para Peneroka.
Namun demikian polis dalam kes ini langsung tidak menghormati keputusan Mahkamah dan bertindak menyebelahi Kerajaan Negeri walaupun pihak Kerajaan Negeri bersama Tamarai tidak mempunyai sebarang hak atas tanah tersebut buat masa ini. Sekurang-kurangnya polis menasihatkan kesemua pihak untuk menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan tetapi polis telah membenarkan pihak-pihak swasta yang menceroboh dan menebang pokok Peneroka ini bermaharajalela.
Kami juga pernah ditunjukkan gambar orang-orang yang bertopeng bertindak ganas keatas Peneroka Gatco dan mereka ini berdiri bersama pihak polis. Mengapa orang yang mahu melakukan keganasan berada disebelah pihak polis dan pihak polis membiarkan mereka bertindak. Adakah ini bukan bersubahat dengan mereka yang melakukan keganasan. Dan kini kami dimaklumkan bahawa orang-orang yang bertopeng juga telah membakar lori-lori yang membawa pokok getah.
Bolehlah polis menyiasat insiden ini secara neutral?
Kami juga cukup curiga apabila setiap kali Penduduk membuat halangan keatas lori yang ambil dan mencuri pokok-pokok getah mereka, pihak polis begitu cepat dan pantas bertindak tetapi apabila Peneroka diserang, polis seperti tidak berada di tempat kejadian. Adakah ini kebetulan atau dirancang?
Maka PSM mendesak pihak Bukit Aman membuat satu pasukan khas yang neutral untuk ambilalih siasatan. Kami juga memohon pihak SUHAKAM untuk menyiasat pencabulan hak kehidupan peneroka Gatco yang telah lama hidup disana. Kami juga kecewa kerana Suruhanjaya Pencegah Rasuah masih belum menyiasat kenyataan kami sebelum ini dimana kami bertanyakan siapakah yang mendapat untung dari penjualan pokok-pokok getah ini dan dimanakah duit ini diaudit.
PSM juga meminta semua Peneroka yang ditahan dibebaskan serta merta dan Kerajaan Negeri Sembilan memulakan dialog untuk menyelesaikan masalah ini. Kegagalan membendung dan menyelesaikan masalah ini dengan cepat hanya akan mengancam keharmonian dan keamanan di kampong tersebut.
Yang Benar
S.Arutchelvan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM
0192537791
--
Sila kongsi artikel ini...