Langkah menyekat Sarawak Report silap besar - Tuan Ibrahim Tuan Man
Langkah menyekat Sarawak Report silap besar
Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan kerajaan Malaysia menyekat laman Sarawak Report adalah satu kesilapan besar dan bakal memakan diri.
Pertama, di alam internet hari ini, sekatan itu tidak akan menjadi efektif malah menyemarakkan lagi keinginan rakyat dan masyarakat antarabangsa untuk membaca apa yang dipaparkan laman itu. Tindakan ini akan menyebabkan rakyat memberikan kepercayaan lebih kepada Sarawak Report berbanding kerajaan Malaysia. Sepatutnya, pihak yang merasakan Sarawak Report sedang menyebarkan fitnah perlu menfail saman fitnah terhadapnya.
Kedua, alasan yang mengatakan laman itu mengganggu “kestabilan negara” itu tidak betul. Yang mengganggu “kestabilan negara” hari ini ialah masalah 1MDB dan cara 1MDB sedang melangsaikan hutangnya. Selepas Tabung Haji, KWSP, KWAP kini TNB pula muncul untuk berniaga dengan 1MDB dengan cadangan membeli 13 aset tenaga 1MDB. Apakah rakyat akan menanggung kos perniagaan ini melalui bayaran tarif elektrik yang lebih tinggi selepas ini?
Untuk menjamin kestabilan negara, sepatutnya Pasukan Petugas Khas yang sedang menyiasat 1MDB harus mengemukakan tarikh untuk menyiapkan siasatan secepat mungkin, malah menjamin bahawa hasil siasatan akan dibentang secara awam.
Saya berharap kes penangkapan bekas pengarah PetroSaudi International Xavier Andre Justo yang menyebabkan terbangkitnya isu penjualan maklumat palsu mengenai 1MDB bukanlah alasan untuk melengah-lengahkan atau menghentikan siasatan yang sedang dibuat Pasukan Petugas Khas pada akhirnya.
Ketiga, apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menyaman WSJ? Tempoh 14 hari yang diberikan kepada WSJ bermula 8 Julai untuk menuntut penjelasan akan tamat dua hari lagi. Jika Najib tidak jadi menyaman WSJ, maka Najib perlu bercuti dengan kadar segera. Dalam keadaan serabut ini, elok kerap Najib pergi umrah. Muhasabah diri dan apa yang sedang ditanggung oleh rakyat akibat kepimpinan beliau.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
20 Julai 2015
Sila kongsi artikel ini...